National Day Message 2018 (Malay)

National Day Message 2018 (Malay)

8 August 2018 | Kampung Admiralty

Mr Masagos Zulkifli, Minister for the Environment and Water Resources, delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's 2018 National Day Message in Malay. The message was recorded at Kampung Admiralty and telecast on 8 August 2018.

 

Saudara-saudari sekalian,

Setiap tahun pada 9 Ogos, kita sama-sama meraikan kemajuan kita sebagai sebuah negara, dan memperbaru ikrar kita untuk menjadi rakyat yang bersatu padu. Dalam masa 53 tahun saja, Singapura berjaya mencatat banyak pencapaian. Hari ini, Singapura sebuah bandar yang bertenaga dan berkembang maju. Beberapa tahun kebelakangan ini, ekonomi kita terus berkembang dan mencatat pertumbuhan sekitar 3 hingga 3.5 peratus. Daya penghasilan semakin baik dan gaji pekerja terus meningkat. Rakyat Singapura menikmati mutu kehidupan yang baik, malah lebih baik daripada negara-negara lain.

Namun, kita sedang hadapi keadaan yang tidak menentu. Sepanjang tahun lalu, ketegangan hubungan dagangan antara ekonomi-ekonomi besar semakin meruncing. Ini menjejas dagangan, pelaburan dan keyakinan syarikat-syarikat antarabangsa. Pertumbuhan dan kemakmuran Singapura juga terjejas. Pertikaian dagangan akan mengikis kepercayaan di antara kuasa-kuasa besar, dan menghambat kerjasama dalam isu-isu penting yang lain. Ini membawa risiko kepada keselamatan serantau dan antarabangsa.

Salah satu isu tersebut ialah keadaan di Semenanjung Korea. Dua bulan lalu, kita berjaya menjadi tuan rumah bagi sidang Puncak antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. Sidang puncak itu telah meredakan ketegangan. Namun, banyak cabaran yang perlu diatasi sebelum keamanan di Semenanjung Korea dapat dicapai.

Di rantau ini pula, ASEAN membawa kestabilan dalam dunia yang tidak menentu. Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, kita mahu perkukuh kerjasama dengan rakan-rakan ASEAN terutamanya dua jiran kita yang terdekat, Malaysia dan Indonesia. Kini, Malaysia dipimpin sebuah kerajaan baru menyusuli pilihan raya umumnya, Mei lalu. Kita akan terus berusaha untuk mempererat hubungan baik dengan Malaysia atas dasar saling memanfaatkan dan saling menghormati. Indonesia pula akan mengadakan pilihan raya Presiden tahun depan. Kita akan terus berganding bahu dengan Indonesia demi meningkatkan kerjasama erat dalam pelbagai bidan.

Biar apapun yang berlaku di luar negara, kita mahu rakyat Singapura terus berikan yang terbaik dalam apa juga yang diusahakan. Kami sedang kukuhkan daya ketahanan Singapura demi mewujudkan peluang-peluang baru. Sepanjang beberapa tahun lalu, Pemerintah telah menyemak dasar-dasar utama bagi perumahan, pendidikan dan jagaan kesihatan. Kami sedang membuat perubahan untuk meningkatkan kehidupan rakyat Singapura, memperkuat jaringan keselamatan sosial, dan membangun sebuah negara yang lebih kohesif.

Saya kini berada di Kampung Admiralty. Ia merupakan konsep perumahan awam yang inovatif: bersepadu dan direka khas untuk warga emas kita. Flat-flat di sini, dilengkapkan dengan pelbagai prasarana yang mesra warga emas supaya mereka dapat tinggal dengan selesa dan selamat. Di sini juga ada banyak kemudahan: sebuah pasar raya, pusat perubatan, kebun masyarakat, pusat jagaan kanak-kanak dan pusat penjaja.

Bagaimana gambaran kehidupan seharian di Kampung Admiralty? Ramai penduduk di sini bergelar datuk dan nenek. Anak-anak mereka yang telah berumah tangga tinggal berdekatan. Setiap pagi, cucu-cucu mereka dihantar ke tajaka di sini. Petang pula datuk dan nenek mengambil cucu-cucu mereka pulang. Ada pula yang sempat meluangkan masa untuk beriadah dan bersenam, berkebun, atau ke pusat perubatan bagi pemeriksaan kesihatan. Pusat penjaja pula, khusus bagi memenuhi selera mereka dan juga penduduk. Kanak-kanak seronok dapat bermain di taman permainan setelah pulang dari sekolah. Berdekatan terdapat pasar raya FairPrice bagi keperluan barangan dapur. Jelas, Kampung Admiralty adalah sebuah kawasan kediaman yang mampu penuhi keperluan para penduduknya - semuanya dapat dilakukan dalam persekitaran tidak jauh dari rumah mereka.

Di sini caranya dasar-dasar pendidikan, jagaan kesihatan dan perumahan disepadukan demi manfaat penduduk secara menyeluruh. Malah, pusat jagaan kanak-kanak di sini merupakan salah satu daripada pusat jagaan kanak-kanak baru yang kami lancarkan di seluruh Singapura. Mereka dibimbing oleh guru-guru yang berdedikasi, menikmati kemudahan yang baik dan waktu bermain yang bermutu. Kami akan terus menambah jumlah tempat di prasekolah, agar setiap kanak-kanak mempunyai asas yang kukuh untuk memulakan alam persekolahan mereka.

Pusat perubatan di sini pula merupakan antara kemudahan baru jagaan kesihatan masyarakat yang mendekatkan lagi khidmat jagaan kesihatan bermutu kepada penduduk. Ia akan terus dalam kemampuan masyarakat. Kita menyediakan MediShield Hayat, yang melindungi semua rakyat Singapura daripada perbelanjaan perubatan hospital yang besar dan tidak dijangka. Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat atau CHAS pula, menyediakan banyak subsidi bagi rawatan pesakit luar, terutamanya bagi penyakit kronik seperti darah tinggi atau kencing manis. Tidak lama lagi, kita akan laksanakan CareShield Hayat pula, yang akan melindungi rakyat muda Singapura apabila umur mereka meningkat dan mereka mula memerlukan jagaan jangka panjang. Rakyat Singapura yang lebih tua boleh juga menyertai CareShield Hayat dan mendapatkan subsidi.

Kampung Admiralty adalah sebuah model bagi perumahan awam masa depan. Ia memenuhi keperluan masyarakat kita yang semakin lanjut usia, memudahkan para penduduk dan keluarga mereka berkumpul serta membentuk sebuah masyarakat. HDB akan terus memperkenalkan konsep perumahan yang inovatif, untuk golongan muda dan tua agar generasi akan datang boleh memiliki rumah mereka sendiri dan hidup dalam kejiranan yang selesa.

Bagaimana pula dengan estet-estet perumahan sekarang? Ia akan disenggara dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Meskipun tempoh pajakan masih panjang, kita perlu merancang dari awal. Kita akan pastikan agar estet-estet lama kekal dalam keadaan yang baik untuk didiami dan pada masa yang sama menyediakan kediaman dan bandar baru bagi generasi akan datang.

Kampung Admiralty adalah satu contoh usaha baik Pemerintah untuk terus menaik-tarafkan pendidikan, jagaan kesihatan dan perumahan demi memperbaiki mutu kehidupan rakyat Singapura. Setiap kali rakyat Singapura bimbang tentang kos sara hidup, mereka ketengahkan tiga perkara utama ini. Kita akan pastikan bahawa khidmat awam penting ini bermutu tinggi dan dalam kemampuan semua masyarakat, baik yang kaya mahupun miskin. Selama lima dekad, inilah cara kita membantu keluarga untuk menampung kos sara hidup, terutama golongan yang amat memerlukan. Ternyata, pendekatan ini telah berjaya.

Saudara-saudari, tugas kita membangun Singapura masih belum selesai. Dengan membuat perancangan yang berani dan kreatif, kita boleh memberi bayangan baru tentang Singapura di masa hadapan, mencipta semula estet perumahan awam dan menyuntik kesegaran kepada masyarakat. Usaha membangunkan Singapura untuk 50 tahun akan datang adalah satu projek yang sangat besar dengan tugas jangka panjang, melibatkan lebih daripada satu generasi. Untuk menampung projek ini, kita perlukan ekonomi yang kukuh dan kedudukan kewangan yang mantap. Paling penting sekali, kita perlukan perpaduan masyarakat, kestabilan politik, dan pemerintah yang berkekalan dan berwibawa agar kita dapat mencapai visi kita ini. Hari ini, Singapura sebuah negara yang kaya dengan pelbagai peluang untuk generasi sekarang kerana asas kukuh yang dibina oleh generasi sebelumnya. Itulah sebabnya, hari ini, setiap rakyat Singapura boleh mengejar impian masing-masing, cemerlang dalam pelbagai bidang dan berusaha untuk mencipta masa depan yang lebih cerah. Kini tiba giliran generasi kita pula untuk memperteguh asas yang kita warisi dan menyumbang kepada negara.

Seperti seni kata lagu Hari Kebangsaan1, "Masa depan kita penuh dengan harapan Impian kita boleh menjadi nyata."

Saudara saudari sekalian, bersama-sama kita boleh mencapai kejayaan lebih besar, lagi bermakna buat Singapura.

Selamat Hari Kebangsaan!
 

- - - - - - - - 

1 Lagu Hari Kebangsaan, 'What Do You See?', dinyanyikan oleh Electrico, 2009.