2020 National Day Awards Investiture Citations (Malay)


THE ORDER OF TEMASEK (WITH HIGH DISTINCTION)
[Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian Tinggi)]


1. PROF S JAYAKUMAR
Penasihat Undang-Undang Kanan kepada Menteri Ehwal Luar

PUJI-PUJIAN

Prof S Jayakumar telah mengabdikan seluruh usia dewasa beliau untuk berkhidmat kepada Singapura. Beliau bertugas dalam kabinet di bawah ketiga-tiga Perdana Menteri Singapura, sebagai Menteri Ehwal Dalam Negeri (1985-1994), Menteri Undang-Undang (1988-2008), Menteri Ehwal Luar (1994-2004), Timbalan Perdana Menteri (2004-2009), Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara (2005-2010), dan Menteri Kanan (2009-2011).

Prof Jayakumar mempunyai ciri-ciri unik dalam kalangan penjawat awam. Beliau memanfaatkan cara pemikiran undang-undangnya yang tajam dalam mengendalikan pelbagai isu, daripada keselamatan negara dan dasar ehwal luar, kepada pembangunan politik dan perlembagaan.

Di dalam negeri, beliau telah menyelia perubahan asas perlembagaan dan perundangan negara, termasuk Akta Mengekalkan Keharmonian Agama yang merupakan satu mercu tanda, serta pembentukan skim-skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi, Anggota Parlimen Dilantik dan Presiden Dipilih.

Di peringkat antarabangsa, beliau menjadikan kedaulatan undang-undang sebagai teras pendekatan Singapura terhadap hubungan luar negara. Beliau bukan sahaja membentangkan visi yang menarik tentang bagaimana kedaulatan undang-undang dapat menjamin kepentingan serta hubungan aman Singapura dengan negara-negara lain, bahkan beliau sendiri telah memimpin rundingan dan pengadilan antarabangsa. Prof Jayakumar merupakan diplomat terulung Singapura, menjalin hubungan dengan rakan-rakan sejawat jauh dan dekat, dan pada masa yang sama, beliau merupakan ketua peguam bela dan peguam negara.

Di peringkat ASEAN khususnya, Prof Jayakumar telah menjalin rangkaian rakan-rakan yang luas. Beliau berkhidmat dalam Kumpulan Tokoh-tokoh  Terkemuka (Eminent Persons Group) bagi Piagam ASEAN. Kepercayaan yang beliau nikmati telah banyak membantu dalam menangani cabaran-cabaran yang sukar.

Singapura akan sentiasa terhutang budi kepada Prof Jayakumar atas peranan beliau dalam rundingan-rundingan penting dengan negara-negara jiran kita. Beliau telah merundingkan Perjanjian Kerjasama Pertahanan dan Perjanjian Ekstradisi dengan Indonesia. Beliau telah mengusahakan penyelesaian pertikaian dengan Malaysia berhubung Pedra Branca selama 40 tahun, yang membawa kepada kejayaan kes di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2007, dan keputusan Malaysia menarik balik permohonannya yang dibuat sedekad kemudian untuk menyemak dan mentafsirkan semula Penghakiman asal.

Lama selepas bersara sebagai Menteri, Prof Jayakumar masih memanfaatkan pengalamannya yang luas dalam beberapa isu dasar ehwal luar negara kita yang paling sensitif, sebagai Penasihat Undang-Undang Kanan kepada Menteri Ehwal Luar.

Atas sumbangan beliau yang unik, meluas dan tidak ternilai kepada kesejahteraan dan keselamatan Singapura, Prof S Jayakumar dianugerahkan Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian Tinggi).


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


2. ENCIK KOH CHOON HUI
Pengerusi, Persatuan Kanak-kanak Singapura

PUJI-PUJIAN

Seorang tokoh berwawasan yang telah berkhidmat dalam sektor sosial selama lebih empat dekad, Encik Koh Choon Hui telah memupuk pembangunan beberapa agensi perkhidmatan sosial di Singapura. Usaha-usaha beliau telah memberikan manfaat kepada ramai rakyat Singapura.

Encik Koh merupakan Pengerusi Persatuan Kanak-kanak Singapura (SCS) sejak 1978, dan telah merintis banyak khidmat dan program baru seperti Pusat Pembangunan Anak Latchkey pada 1979 dan talian bantuan Tinkle Friend pada 1984. Pada 2004, persatuan tersebut melancarkan Program Bebas Buli untuk menangani isu membuli di sekolah-sekolah. Di bawah kepimpinan Encik Koh, SCS telah mendekati ramai kanak-kanak, belia dan keluarga yang memerlukan bantuan sepanjang tahun-tahun sudah. Persatuan tersebut telah memenangi banyak anugerah di peringkat serantau dan kebangsaan.

Selaku Naib Presiden Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) dari 1994 hingga 2000, beliau telah memulakan usaha menyemak gaji para pekerja dalam sektor perkhidmatan sosial. Semakan itu menyediakan asas bagi sektor tersebut menggaji dan mengekalkan kakitangan yang berbakat.

Encik Koh merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penghubung Masyarakat Rumah Tumpangan Juvenil di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan dari 2000 hingga 2004. Beliau telah memulakan usaha melibatkan masyarakat dalam pemulihan belia-belia bermasalah dengan menyediakan setiap seorang daripada mereka seorang pembimbing sukarela yang terlatih.

Encik Koh telah berkhidmat di dalam banyak lembaga, termasuk sebagai Pengerusi Singapore Pools dan iShine Cloud Ltd sekarang ini. Beliau juga merupakan Wakil Pemerintah Singapura di Suruhanjaya ASEAN untuk Penggalakan dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-Kanak.

Atas sumbangan beliau kepada sektor perkhidmatan sosial Singapura, Encik Koh Choon Hui dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


3. PROFESOR WANG GUNGWU
Mantan Pengerusi, ISEAS - Institut Yusof Ishak
Mantan Pengerusi, Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Nasional Singapura
Mantan Pengerusi, Institut Asia Timur, Universiti Nasional Singapura

PUJI-PUJIAN

Profesor Wang Gungwu merupakan Pengerusi pengasas Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, dan mantan Pengerusi kedua-dua ISEAS - Institut Yusof Ishak (ISEAS) dan Institut Asia Timur.

Profesor Wang telah memainkan peranan yang penting dalam memperkukuhkan keupayaan penyelidikan ketiga-tiga institut tersebut dan mengembangkannya hingga menjadi pusat-pusat kecemerlangan yang disegani di peringkat antarabangsa. Seorang cendekiawan unggul, Profesor Wang telah membantu memperkukuhkan kepimpinan intelektual Singapura dalam isu-isu yang berkaitan dengan China, Asia Tenggara, dan Asia Timur.

Selaku salah seorang sejarawan terkemuka di dunia, Profesor Wang telah membuat sumbangan yang sangat besar pengaruhnya dalam kajian diaspora Cina di Asia Tenggara dan Singapura. Penerbitan, ceramah dan artikel yang beliau hasilkan mengenai pelbagai subjek, terutamanya China kontemporari, telah memberikan wawasan yang berharga kepada para penggubal dasar dan ahli akademik.

Atas kesarjanaan dan kepimpinan beliau yang cemerlang dalam membangunkan institusi-institusi penyelidikan bertaraf dunia di Singapura, Profesor Wang Gungwu dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


4. CIK CHAN LAI FUNG
Setiausaha Tetap, Penyelidikan dan Pembangunan Nasional
Setiausaha Tetap, Pejabat Dasar dan Rancangan Sains dan Teknologi Sektor Awam
Pengerusi, A*STAR

PUJI-PUJIAN

Cik Chan Lai Fung telah membuat sumbangan yang bermakna sepanjang lebih 34 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Selaku Setiausaha Tetap (Undang-Undang) dan kemudian Setiausaha Tetap (Kewangan) (Prestasi), Cik Chan telah mendorong peningkatan yang ketara dalam bidang-bidang seperti khidmat e-Pemerintah dan proses pemerolehan.

Selaku Setiausaha Tetap (Pendidikan), beliau telah menyelia perubahan-perubahan asas kepada dasar-dasar pendidikan, termasuk Pengumpulan Berdasarkan Subjek, Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan pemilihan sekolah bagi pelajar Menengah 1, pendidikan prasekolah dan penyertaan pelajar berkeperluan khas dalam rangka kerja Pendidikan Wajib. Beliau turut menyelia penubuhan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura sebagai sebuah Universiti Berautonomi.

Selaku Setiausaha Tetap (Penyelidikan dan Pembangunan Nasional) dan Setiausaha Tetap (Pejabat Dasar dan Rancangan Sains dan Teknologi), beliau telah memimpin pembangunan Pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2025. Beliau telah menggabungkan usaha pelbagai pertubuhan penyelidikan untuk membina keupayaan sains dan teknologi sektor awam yang lebih kukuh.

Atas sumbangan beliau yang cemerlang, Cik Chan Lai Fung dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


5. PROFESOR MADYA BENJAMIN ONG KIAN CHUNG
Mantan Pengarah
Perkhidmatan Perubatan

PUJI-PUJIAN

Profesor Madya Benjamin Ong telah berkhidmat dengan cemerlang dalam perkhidmatan kesihatan awam selama lebih 30 tahun. Selaku Pengarah Perkhidmatan Perubatan di Kementerian Kesihatan (2014-2020), beliau telah memainkan peranan penting dalam peningkatan ketara sistem penjagaan kesihatan Singapura.

Profesor Madya Ong telah menyelia pembukaan kemudahan-kemudahan penjagaan kesihatan awam yang baru bagi meningkatkan keupayaan dan berusaha untuk merubah model-model penjagaan kita dalam usaha memenuhi keperluan penduduk yang semakin menua. Beliau telah meluaskan usaha-usaha penjagaan kesihatan pencegahan, penjagaan asas dan penjagaan warga emas yang berasaskan masyarakat. Beliau juga telah memperkukuhkan keupayaan kawal selia penjagaan kesihatan dan penilaian teknologi kesihatan kita. Wawasan beliau dalam usaha memperkukuhkan keupayaan pengurusan penyakit berjangkit kita telah meletakkan Singapura dalam kedudukan yang baik untuk menangani penularan wabak COVID-19.

Atas sumbangan beliau kepada sistem penjagaan kesihatan Singapura, Profesor Madya Benjamin Ong dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE PUBLIC SERVICE STAR (BAR)
[Bintang Bakti Masyarakat (Lintang)]



THE PUBLIC SERVICE STAR
[Bintang Bakti Masyarakat]


PUJI-PUJIAN

Hari ini, kita memberi penghargaan kepada mereka yang telah menawarkan diri untuk berkhidmat secara sukarela kepada masyarakat dan menjadikan kehidupan orang lain lebih baik. Di kalangan mereka, ada yang dikurniakan anugerah Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) dan Bintang Bakti Masyarakat, bagi mengiktiraf usaha-usaha semua yang telah membantu untuk menjadikan Singapura sebuah tempat yang lebih baik. Negara ini mengucapkan terima kasih kepada mereka atas sikap tidak mementingkan diri dan segala sumbangan mereka.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Lintang)]


6. ENCIK DAVID CHONG GEK SIAN
Ketua Peguam, Divisyen Sivil

PUJI-PUJIAN

Selaku Ketua Peguam dan ketua Divisyen Sivil Pejabat Peguam Negara (AGC), Peguam Kanan David Chong Gek Sian merupakan seorang pemimpin teladan. Seorang peguam yang tajam akal dan berpengalaman, Encik Chong telah membantu memperoleh hasil keputusan yang baik bagi Pemerintah dalam banyak kes mahkamah yang rumit. Beliau telah meningkatkan piawaian sokongan dan pengurusan pengetahuan di AGC. Di bawah kepimpinan beliau, nasihat undang-undang yang bernas dan praktikal yang diberikan oleh AGC telah membantu melindungi kepentingan dan mencapai objektif-objektif Pemerintah.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


7. ENCIK CHEONG CHEE HOO
Ketua Pegawai Eksekutif, Makmal Nasional Pertubuhan Sains Pertahanan (DSO)

PUJI-PUJIAN

Selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Makmal Nasional Pertubuhan Sains Pertahanan (DSO), sebuah pertubuhan Penyelidikan dan Pengembangan (R&D) pertahanan nasional Singapura, Encik Cheong Chee Hoo telah meletakkan DSO pada kedudukan yang baik untuk menyediakan keupayaan dan sistem-sistem strategik. Ini merupakan sumbangan yang penting kepada kelebihan teknologi yang dimiliki Angkatan Bersenjata Singapura, dan menyokong keperluan keselamatan nasional Singapura yang lebih luas. Beliau telah menyelia pembangunan dan penggunaan teknologi dalam bidang-bidang keupayaan yang kritikal, serta memainkan peranan penting dalam merintis inovasi-inovasi baru.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


8. PUAN LIM YEN CHING
Timbalan Pengarah Agung Pendidikan (Pembangunan Profesional) dan Pengarah Eksekutif, Direktorat Akademi Guru-Guru Singapura

PUJI-PUJIAN

Puan Lim Yen Ching telah membuat sumbangan yang bermakna dalam usaha meningkatkan taraf bidang perguruan di Singapura sehingga menjadi model kecemerlangan profesional yang boleh dijadikan contoh. Seorang pendidik yang memberi inspirasi dan pemimpin dalam bidang pendidikan, beliau juga telah menyumbang kepada penggubalan dasar dan pembangunan program dalam perkembangan kurikulum serta pengurusan sekolah, terutamanya bagi pelajar yang kurang bernasib baik. Atas sumbangan beliau yang tidak ternilai, Puan Lim dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Emas).


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


9. PROFESOR CHEONG HEE KIAT
Presiden
Pejabat Presiden, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura

PUJI-PUJIAN

Profesor Cheong Hee Kiat telah membuat sumbangan besar kepada pembangunan sistem pendidikan universiti Singapura sepanjang 35 tahun lalu. Profesor Cheong merupakan salah seorang anggota pasukan kepimpinan perintis apabila Universiti Teknologi Nanyang ditubuhkan pada 1991. Beliau dilantik sebagai Presiden pengasas Universiti Institut Pengurusan Singapura (SIM) pada 2005, dan memainkan peranan penting dalam pembangunan program-program bagi para pelajar matang. Pada 2017, Universiti SIM menjadi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura, Universiti Berautonomi keenam kita.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


10. ENCIK NG WAI CHOONG
Pesuruhjaya Hasil Mahsul / Ketua Pegawai Eksekutif, Penguasa Hasil Mahsul Singapura

PUJI-PUJIAN

Encik Ng Wai Choong telah membantu menempatkan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) sebagai penguasa cukai terulung di peringkat global. Di bawah kepimpinan Encik Ng, IRAS telah menjalin kerjasama cukai di peringkat antarabangsa, dan menyediakan kepimpinan pemikir di Forum Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) berhubung Pentadbiran Cukai. Beliau memainkan peranan utama dalam usaha memupuk sekitaran cukai yang berdaya saing, dan mempertingkatkan pengalaman pembayar cukai dengan memanfaatkan bidang analitik dan proses pendigitalan. Atas sumbangannya yang besar terhadap landskap ekonomi dan sosial Singapura, Encik Ng Wai Choong dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Emas).


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


11. ENCIK DESMOND CHIN KIM THAM
Pesuruhjaya Penjara
Perkhidmatan Penjara Singapura

PUJI-PUJIAN

Encik Desmond Chin telah menyumbang kepada Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) selama lebih 30 tahun. Di bawah kepimpinan beliau yang cemerlang sebagai Pesuruhjaya Penjara dari Oktober 2016 hingga September 2020, beliau telah mentransformasikan SPS dengan memanfaatkan teknologi dan kerjasama dengan rakan-rakan kongsi masyarakat. Ini dilakukan demi melaksanakan misi berkembar SPS dalam urusan penahanan pesalah, dan pemulihan serta penyerapan semula pesalah ke pangkuan masyarakat dengan lebih berkesan. Hari ini, SPS merupakan sebuah pusat perkhidmatan pemulihan yang progresif dan menjadi sumber inspirasi yang disegani baik di dalam mahupun di luar negara.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


12. ENCIK PETER NG JOO HEE
Ketua Pegawai Eksekutif, PUB
Agensi Air Negara Singapura

PUJI-PUJIAN

Selaku Ketua Eksekutif (PUB), Encik Peter Ng Joo Hee telah membuat sumbangan besar dalam memastikan negara ini mempunyai bekalan air yang mampan dan terjamin, prasarana sistem saliran yang berkesan, dan menjadikan PUB sebagai penguasa perlindungan kawasan pantai nasional untuk melindungi Singapura terhadap kenaikan paras air laut. Beliau juga telah menerajui usaha-usaha kemampanan seperti Tuas Nexus bagi memaksimumkan pemulihan tenaga dan sumber, serta penggunaan sistem fotovoltan solar yang terapung di kolam-kolam air.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


13. ENCIK LIM MENG LIANG GABRIEL
Setiausaha Tetap (Perdagangan & Perusahaan), Kementerian Perdagangan & Perusahaan

PUJI-PUJIAN

Selaku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Encik Gabriel Lim telah memimpin usaha kementerian itu dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Singapura, mewujudkan pekerjaan bagi rakyat Singapura, dan pembangunan perusahaan-perusahaan kita. Tahun ini, Encik Lim mengetuai sumbangan keluarga besar MTI kepada usaha negara kita untuk memerangi COVID-19. Sebelum menyertai MTI, Encik Lim merupakan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan Penerangan, di mana beliau telah membangunkan Pelan Induk Ekonomi Digital.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


14. ENCIK PNG CHEONG BOON
Ketua Pegawai Eksekutif, Enterprise Singapore

PUJI-PUJIAN

Selaku Ketua Pegawai Eksekutif pengasas Enterprise Singapore, Encik Png Cheong Boon telah menyelia penggabungan fungsi-fungsi Spring Singapore dan International Enterprise Singapore yang telah dilaksanakan dengan jayanya. Beliau telah memimpin dengan baik usaha pertubuhan itu dalam pembangunan dan pengantarabangsaan perusahaan; transformasi industri; penggalakkan inovasi dan keusahawanan; serta perkembangan perdagangan. Di bawah kepimpinan Encik Png, Enterprise Singapore telah memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan-pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


15. CIK TAN BENG TEE
Penolong Ketua Eksekutif (Pembangunan)
Pengerusi / Pejabat Ketua Eksekutif
Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura

PUJI-PUJIAN

Atas peranan utama beliau dalam membentuk Singapura menjadi sebuah Pusat Maritim Antarabangsa terulung; mengangkat Singapura menjadi pusat perkapalan terbaik dunia dalam kalangan 43 hab perkapalan global dalam Indeks Pembangunan Pusat Perkapalan Pertukaran Xinhua-Baltik, yang mana kita telah berjaya mengekalkan kedudukan ini selama 7 tahun berturut-turut; sehingga Singapura meraih pencapaian sebagai ibu kota maritim terbaik dunia buat kali keempat berturut-turut dalam kajian penandaan aras antarabangsa “Ibu Kota Maritim Terulung Dunia”, Cik Tan Beng Tee dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Emas).


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Tentera)]


16. MEJAR-JENERAL (MG) KELVIN KHONG BOON LEONG, PPA(P)
Panglima Tentera Udara
Angkatan Udara Republik Singapura

PUJI-PUJIAN

MG Kelvin Khong Boon Leong telah membuat banyak sumbangan penting sepanjang kerjaya beliau dalam tentera. Selaku Panglima Tentera Udara, MG Khong telah memperkukuh tahap kesediaan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan menyelia pembangunan keupayaan-keupayaan baru. Beliau juga telah memacu pelan-pelan transformasi generasi seterusnya bagi RSAF, termasuk konsep-konsep peperangan dan struktur-struktur pertubuhan yang baru. MG Khong telah menjalin hubungan pertahanan yang baik dengan angkatan-angkatan tentera udara dan rakan-rakan negara asing, sehingga menaikkan martabat RSAF dan Singapura pada mata mereka.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Tentera)]


17. BRIGEDIER-JENERAL (BG) NG CHAD-SON, PPA(G), PBS
Pengarah Perisikan Tentera / Ketua C4I Direktorat Perisikan Bersama Angkatan Bersenjata Singapura

PUJI-PUJIAN

BG Ng Chad-Son telah memainkan peranan utama dalam Kumpulan Pemerintah, Kawalan, Perhubungan, Komputer dan Risikan (C4I) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), serta fungsi-fungsi perisikan lain. Selaku Ketua C4I dan Pengarah Perisikan Tentera, beliau telah membangunkan keupayaan dan menyelia operasi-operasi kritikal. Beliau telah memacu pembangunan pertahanan siber SAF, serta Kemudahan Maklumat Tentera Serantau bagi Bertindak Balas Terhadap Keganasan. BG Ng juga telah memupuk hubungan pertahanan yang baik dengan rakan-rakan pertahanan asing dan meningkatkan kedudukan SAF di peringkat antarabangsa.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Tentera)]


18. BRIGEDIER-JENERAL (BG) TAN CHEE WEE, PPA(P), PBS
Ketua Turus (Staf Bersama)
Pejabat Panglima Pasukan Pertahanan
Angkatan Bersenjata Singapura

PUJI-PUJIAN

BG Tan Chee Wee telah memegang pelbagai jawatan penting sepanjang kerjaya beliau bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). Selaku Ketua Turus (Staf Bersama), beliau menerajui usaha-usaha pembangunan keupayaan SAF, termasuk melakar pelan induk konsep peperangan generasi seterusnya, dan bentuk-bentuk pertubuhan untuk SAF. Beliau memainkan peranan besar dalam usaha-usaha transformasi digital Kementerian Pertahanan/SAF. Pada masa yang sama menyandang jawatan sebagai Inspektor-Jeneral SAF, BG Tan telah menubuhkan Inspektorat Keselamatan SAF dan mempertingkatkan tadbir urus keselamatan bagi memperkukuh pengurusan dan budaya keselamatan di dalam SAF.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Lintang)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Tentera)]


PUJI-PUJIAN

Salah satu bahagian yang amat penting dalam pentadbiran awam adalah kaitan antara pembentukan dan pelaksanaan dasar. Para pengurus peringkat pertengahan di dalam perkhidmatan awam memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar-dasar, dan memproses maklum balas menjadi saranan-saranan yang berguna. Mereka yang telah menjalankan tugas dengan kesungguhan, imaginasi dan dedikasi untuk menghasilkan keputusan yang cemerlang diberikan penghargaan hari ini dengan dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Perak).


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) (Lintang)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) (Tentera)]


PUJI-PUJIAN

Dasar-dasar pemerintah yang telah dirancang dengan teliti boleh gagal jika kakitangan awam yang bertanggungjawab dalam pelaksanaannya tidak cekap. Kakitangan awam di barisan hadapan yang berdedikasi yang menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut dan secara saksama dan memberikan khidmat yang terbaik secara tekal, diiktiraf hari ini dengan dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa).


THE PRESIDENT’S CERTIFICATE OF COMMENDATION
Sijil Kepujian Presiden


PUJI-PUJIAN AM ATAS SUMBANGAN DALAM PENGANJURAN
MEMPERINGATI BICENTENNIAL SINGAPURA PADA 2019

Pejabat Bicentennial Singapura telah menganjurkan dengan cemerlang sambutan bagi memperingati 200 tahun sejak kedatangan Sir Stamford Raffles ke Singapura pada 1819. Sambutan untuk memperingati Bicentennial Singapura ini memberikan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai sejarah Singapura sepanjang 700 tahun lalu.

Sambutan memperingati Bicentennial Singapura yang berlangsung selama setahun diisi dengan lebih daripada 200 acara, pameran-pameran seni, pesta dan pameran khas, melibatkan lebih daripada 300 rakan kerjasama dari sektor awam, rakyat dan swasta meliputi pelbagai lapisan masyarakat. Lebih daripada 9 juta orang mengambil bahagian dalam sambutan memperingati Bicentennial Singapura ini.

Teras sambutan iaitu pameran Negara Kepada Warga: Perjalanan Bicentennial Singapura telah diadakan di Taman Fort Canning. Pengalaman mengasyikkan yang merangsang pelbagai deria ini telah merintis cara baru dalam menceritakan sejarah Singapura dan berjaya menarik lebih daripada 760,000 pengunjung, menjadikan ia satu rekod bagi sesebuah pameran tempoh terhad di Singapura. Pameran ini telah dilanjutkan selama tiga bulan lagi atas permintaan ramai.

Bicentennial Singapura telah mendorong ramai peserta untuk merenung kembali nilai-nilai utama yang membentuk Singapura sepanjang sejarahnya - Sikap Terbuka, Berbilang Budaya, dan Negara Berdaulat.


THE PRESIDENT’S CERTIFICATE OF COMMENDATION
Sijil Kepujian Presiden


PUJI-PUJIAN AM ATAS SUMBANGAN DALAM PENGANJURAN
KONVENSYEN SINGAPURA MENGENAI PENGANTARAAN

Konvensyen Singapura mengenai Pengantaraan merupakan perjanjian pertama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dinamakan sempena negara Singapura. Majlis Penandatanganan dan Persidangan Konvensyen Singapura pada 6 – 7 Ogos 2019 merupakan satu peristiwa bersejarah. Rundingan tentang Konvensyen dan penganjuran acara tersebut mengambil masa setahun. Kerja-kerja ini melibatkan lebih daripada 10 agensi pemerintah, 30 institusi undang-undang dan pendidikan, dan 100 sukarelawan pelajar. 11 pasukan telah diiktiraf atas sumbangan besar mereka dalam menjayakan acara tersebut:

  • Kementerian Undang-Undang mendorong penglibatan Singapura dalam Konvensyen ini, dan menerajui pelaksanaan acara ini.
  • Kementerian Ehwal Luar, Duta-duta Kelana Profesor Chan Heng Chee, Profesor Tommy Koh, Encik Ong Keng Yong, Duta Thambynathan Jasudasen, dan mantan Duta Kelana Encik Bilahari Kausikan menyokong usaha mempromosikan  Konvensyen tersebut di peringkat antarabangsa.
  • Penguasa Pengangkutan Darat dan Pasukan Polis Singapura memastikan acara tersebut berjalan lancar tanpa sebarang insiden keselamatan.
  • Maxwell Chambers menganjurkan sebuah acara berkaitan yang meningkatkan kedudukan Singapura sebagai sebuah hab undang-undang antarabangsa.
  • Kementerian Perhubungan dan Penerangan menyokong strategi dan operasi media bagi acara ini.
  • Lembaga Taman Negara membantu dengan menamakan sejenis bunga anggerik hibrid sempena nama Konvensyen ini.
  • Fakulti Undang-undang Universiti Nasional Singapura, Universiti Pengurusan Singapura dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura serta 13 buah sekolah menyelaraskan penglibatan para sukarelawan pelajar dan ahli akademik dalam acara ini.

Usaha kesemua pertubuhan dan individu yang terlibat telah meletakkan Singapura di peta dunia, memajukan kepentingan Singapura, dan memupuk rasa bangga dalam kalangan rakyat Singapura.

TOP