2022 National Day Awards Investiture Citations (Malay)


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


1. ENCIK GOPINATH PILLAI
Mantan Pengerusi
Lembaga Penasihat Pusat Warisan India

PUJI-PUJIAN

Mantan Duta Kelana Encik Gopinath Pillai telah berkhidmat dengan cemerlang untuk Singapura selama lebih tiga dekad, baik di dalam mahupun di luar negara.

Encik Pillai telah banyak menyumbang kepada hubungan Singapura dengan Asia Selatan. Beliau telah mempertingkatkan hubungan perniagaan dua hala kita dengan India. Beliau dilantik sebagai Utusan Khas ke Andhra Pradesh, dan dalam peranan itu beliau telah menasihati pemerintah negeri tersebut mengenai pembangunan ibu kota barunya, dan pada masa yang sama meneroka peluang bagi syarikat-syarikat Singapura melabur di negeri itu. Selaku Pengerusi Institut Pengajian Asia Selatan (ISAS), beliau memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang benua kecil itu, termasuk menerajui Konvensyen Diaspora Asia Selatan yang julung-julung kali diadakan.

Encik Pillai juga telah berkhidmat sebagai Duta Bukan Pemastautin ke Iran, dan Pesuruhjaya Tinggi Bukan Pemastautin ke Pakistan.

Di tanah air, Encik Pillai merupakan tunggak masyarakat India Singapura. Beliau memainkan peranan penting dalam menubuhkan Pusat Warisan India, yang menjadi tumpuan masyarakat India. Selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Hindu, beliau menasihati Pemerintah mengenai hal-hal yang dianggap penting oleh para penganut Hindu. Sebagai seorang anggota terkemuka dan sangat dihormati masyarakat kecil Malayalee Singapura, beliau telah membantu menubuhkan biasiswa pengajian tinggi untuk anak-anak muda Malayalee dan mempromosikan bahasa Malayalam.

Sumbangan khidmat sosial Encik Pillai bukan hanya terbatas kepada masyarakat India. Beliau telah menyumbang kepada gerakan buruh, dan merupakan Pengerusi Pengasas NTUC FairPrice Co-operative Limited. Beliau juga berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Hospital Ang Mo Kio-Thye Hua Kwan.

Atas sumbangannya yang tidak terkira kepada Singapura, Encik Gopinath Pillai dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


2. ENCIK LEE TZU YANG
Pengerusi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam

PUJI-PUJIAN

Encik Lee Tzu Yang mempengerusikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC); Lembaga Pemegang Amanah Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD); Lembaga The Esplanade Co Ltd; dan Jawatankuasa Pemandu Taman Tugu Pengasas. Encik Lee juga merupakan Naib Presiden Suruhanjaya Perkhidmatan Guaman dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman.

Encik Lee telah memimpin PSC dalam memperbaharui pendekatannya untuk mencari dan memilih bakat bagi Perkhidmatan Awam. Di bawah kepimpinannya, PSC telah mempertimbangkan calon-calon biasiswa dari lebih banyak institusi prapengajian tinggi serta para mahasiswa dan siswazah dari universiti-universiti. PSC juga telah menyemak kaedah pemilihan untuk mengenal pasti ciri-ciri penting Perkhidmatan Awam yang berprestasi tinggi dan lebih rencam.

Encik Lee menyelia pertumbuhan SUTD menjadi sebuah universiti yang mempunyai rangkaian penyelidikan yang kukuh, kerjasama dengan industri dan keberhasilan para siswazah mendapat pekerjaan. Beliau memainkan peranan utama dalam pembangunan sektor seni dan budaya Singapura, mempengerusikan dan mengemudi Esplanade sejak 2015 untuk menjadi salah satu tempat kegiatan seni yang paling sibuk di dunia. Encik Lee juga telah membimbing pembangunan Taman Tugu Pengasas dengan memastikan bahawa ia akan mencerminkan nilai-nilai dan cita-cita kita, dan apabila siap kelak, ia akan memainkan peranan untuk menyatukan dan menjadi sumber inspirasi rakyat Singapura.

Atas pelbagai sumbangan beliau kepada perkhidmatan awam, pendidikan dan kesenian, Encik Lee Tzu Yang dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


3. PROFESOR TAN CHORH CHUAN
Ketua Saintis Kesihatan
Kementerian Kesihatan

Pengarah Eksekutif, Pejabat Transformasi Penjagaan Kesihatan MOH

PUJI-PUJIAN

Selaku Ketua Saintis Kesihatan, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan & Potensi Manusia, dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Saintifik Pemerintah, Prof Tan Chorh Chuan memainkan peranan penting dalam membentuk pertumbuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi sains bioperubatan yang bertenaga. Beliau membimbing penubuhan pelbagai program penyelidikan nasional bagi persediaan menghadapi pandemik dan pembangunan vaksin. Prof Tan juga telah memainkan peranan penting dalam transformasi sistem penjagaan kesihatan kita. Ini termasuk reka bentuk dan pelaksanaan peningkatan utama daripada penjagaan asas hingga ke penjagaan sakit tenat, dan inovasi dalam model-model penjagaan.

Prof Tan berkhidmat sebagai Presiden NUS dari 2008 hingga 2017, di mana pada masa itu Universiti tersebut telah mencapai kemajuan besar dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan keusahawanan. Terdahulu, sebagai Ketua Eksekutif pertama National University Health System, beliau menyatukan Sekolah-sekolah Perubatan dan Pergigian NUS dan Hospital Universiti Nasional di bawah satu tadbir urus, untuk mencapai sinergi yang merentasi amalan klinikal, penyelidikan dan pendidikan.

Prof Tan merupakan Pengarah Perkhidmatan Perubatan antara 2000 dan 2004. Sepanjang tempoh khidmatnya, beliau telah mengetuai respons kesihatan awam negara terhadap wabak SARS, dan memperkenalkan beberapa inisiatif yang berkesan dalam sistem penjagaan kesihatan kita.

Atas sumbangan beliau yang begitu banyak dan besar kepada Singapura, Prof Tan Chorh Chuan dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


4. ENCIK CHAN YENG KIT
Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan

PUJI-PUJIAN

Selaku Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Encik Chan Yeng Kit memainkan peranan penting dalam memastikan penjagaan kesihatan awam dan insurans kesihatan mudah didapatkan dan berada dalam kemampuan rakyat Singapura. Beliau juga menerajui usaha Seluruh Pemerintah untuk merumuskan dan menyelaraskan rancangan bagi Langkah-langkah Pengurusan Selamat COVID-19 dan peta hala tuju ke arah Kebiasaan Baru COVID. Usaha beliau telah membantu membolehkan aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial kembali kepada keadaan seperti biasa, sambil mengelakkan sistem penjagaan kesihatan daripada terlalu dibebankan.

Selaku Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan (2012-2019), Encik Chan telah memberi sumbangan besar dalam mempertingkatkan hubungan pertahanan dengan rakan-rakan kongsi utama dan membangunkan keupayaan pertahanan baru, khususnya dalam bidang digital dan maklumat. Selaku Setiausaha Tetap di Kementerian Penerangan, Perhubungan & Kesenian (2008-2012), dan Pengerusi pengasas Penguasa Pembangunan Infokom Media, Encik Chan telah membantu memastikan infrastruktur infokom Singapura adalah yang termaju, membolehkan negara ini menjadi pemimpin dalam bidang ekonomi digital.

Atas sumbangan besar beliau kepada Singapura, Encik Chan Yeng Kit dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


5. DR ANDREW PHANG BOON LEONG
Hakim Mahkamah Rayuan

PUJI-PUJIAN

Hakim Andrew Phang Boon Leong telah memberi sumbangan yang besar kepada kesarjanaan undang-undang di Singapura sepanjang 40 tahun lalu. Beliau telah terlibat dalam bidang akademik selama 23 tahun sebelum dilantik sebagai hakim pada 2005 dan menyandang jawatan Pesuruhjaya Kehakiman. Beliau telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun yang sama dan kemudian sebagai Hakim Rayuan, pada 2006. Beliau menyandang jawatan Naib Presiden Mahkamah Rayuan sejak 2017.

Selaku seorang ahli akademik, Hakim Phang telah menerbitkan tulisannya secara prolifik. Sebagai seorang hakim pula, beliau telah menulis beberapa penghakiman yang paling penting dan berpengaruh, terutamanya dalam bidang kewajipan swasta. Tulisannya telah dikaji secara meluas di Singapura dan di peringkat antarabangsa.

Hakim Phang telah berkhidmat sebagai Naib Presiden Senat Akademi Undang-undang Singapura sejak 2005. Di bawah kepimpinannya, Singapore Law Reports (Reissue) — sebuah kompendium setebal 84 jilid mengenai penghakiman penting Singapura yang telah dikeluarkan sejak Kemerdekaan — diterbitkan.

Atas sumbangannya yang besar dan meluas kepada kesarjanaan undang-undang Singapura, Hakim Andrew Phang Boon Leong dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


6. ENCIK SEAH MOON MING
Pengerusi, SMRT Corporation Ltd

PUJI-PUJIAN

Selaku Pengerusi SMRT sejak 2017, Encik Seah Moon Ming telah memainkan peranan penting dalam SMRT untuk mencapai piawaian kebolehpercayaan yang terbaik dalam kelasnya. Beliau membantu mempertingkatkan keupayaan kejuruteraan rel SMRT, menambah baik operasi dan penyelenggaraannya, dan memperkenalkan inovasi yang memperbaiki khidmat di stesen-stesen.

Encik Seah mengukuhkan kerjasama SMRT dengan Kementerian Pengangkutan dan Penguasa Pengangkutan Darat. Beliau juga merintis forum lembaga pengendali-pengawal selia bersama demi menghasilkan pendekatan bersama untuk menyelesaikan isu-isu kejuruteraan yang rumit. Beliau turut memberi sumbangan besar kepada projek Sistem Gerak Cepat Johor Bahru-Singapura.

Selaku Pengerusi Lembaga Gabenor Sekolah Tinggi NUS, Encik Seah memimpin sekolah tersebut memupuk para pelajarnya dengan perspektif antarabangsa. Beliau membantu sekolah tersebut menjalin kerjasama dengan pihak industri, yang membolehkan para pelajar menimba pengalaman industri yang sebenar.

Atas sumbangan besar beliau terhadap kewibawaan sistem rel awam kita, serta sumbangannya kepada sektor pendidikan, Encik Seah Moon Ming dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


7. ENCIK DAVID WONG CHEONG FOOK
Pengerusi, Politeknik Republic

PUJI-PUJIAN

Encik David Wong Cheong Fook telah berkhidmat sebagai Pengerusi Panel Semakan Luar bagi Rangka Kerja Jaminan Mutu Universiti-universiti Berautonomi dan Pengerusi Lembaga Gabenor Politeknik Republic sejak 2014.

Encik Wong telah menerajui pengesahan enam universiti berautonomi dengan cemerlang sepanjang lapan tahun lalu. Kepimpinan beliau dalam proses jaminan mutu telah menyumbang dengan ketara kepada pembangunan berterusan dan peningkatan universiti-universiti awam kita.

Di bawah kepimpinan Encik Wong, Politeknik Republic telah memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah institusi pembelajaran sepanjang hayat yang bereputasi baik, menerusi jalinan kerjasama yang kukuh dengan industri dan masyarakat. Encik Wong telah menjadi penyokong yang berkesan bagi mendapatkan sokongan lebih besar untuk para pelajar. Ini termasuk para pelajar yang mempunyai keperluan pendidikan khas dan dalam aspek kesihatan mental.

Atas sumbangan besar beliau kepada pendidikan tinggi, Encik David Wong Cheong Fook dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE PUBLIC SERVICE STAR (BAR)
[Bintang Bakti Masyarakat (Lintang)]



THE PUBLIC SERVICE STAR
[Bintang Bakti Masyarakat]


PUJI-PUJIAN

Sering kita menunjukkan keprihatinan terhadap negara dan warga senegara kita dengan melakukan perbuatan-perbuatan baik yang kecil. Dan perbuatan-perbuatan baik yang kecil inilah apabila dilakukan berulang kali boleh membawa kebaikan kepada masyarakat. Kita tidak dapat memberikan ganjaran dalam bentuk kebendaan kepada semua yang telah membuat sumbangan. Bagaimanapun, kita boleh menghargai sumbangan mereka dengan menganugerahkan mereka Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) dan Bintang Bakti Masyarakat.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Lintang)]


8. CIK SURIYIACALA JENNIFER MARIE
Mantan Timbalan Ketua Hakim
Pejabat Ketua Hakim
Mahkamah Negara

PUJI-PUJIAN

Cik Suriyiacala Jennifer Marie merupakan Timbalan Ketua Hakim Mahkamah Negara, sebelum bersara pada 2022. Sepanjang tempoh 11 tahun beliau berkhidmat, beliau telah menerajui banyak inisiatif penting, dalam bidang-bidang kerja daripada tadbir urus dalaman hinggalah memudahkan proses untuk mendapatkan keadilan. Beliau juga menyelia pembinaan Menara Mahkamah Negara. Dari 2021 hingga 2022, beliau mempengerusikan Konsortium Antarabangsa Kecemerlangan Mahkamah (di mana Mahkamah Negara merupakan anggota pengasas), yang telah meningkatkan kedudukan badan kehakiman Singapura di peringkat antarabangsa.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


9. ENCIK JOSEPH LEONG WENG KEONG
Setiausaha Tetap (Perhubungan dan Penerangan) / Setiausaha Tetap (Keselamatan Siber),
Pejabat Perdana Menteri / Setiausaha Tetap (Negara Bijak dan Pemerintah Digital),
Pejabat Perdana Menteri
Kementerian Perhubungan dan Penerangan

PUJI-PUJIAN

Selaku Setiausaha Tetap (Pembangunan Pertahanan), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Encik Joseph Leong memainkan peranan penting dalam menggerakkan usaha transformasi digital MINDEF dan pembangunan pelan Masyarakat Teknologi Pertahanan (DTC) 2040. Beliau mengetuai transformasi perancangan sumber dan tadbir urus serta usaha-usaha MINDEF dalam memerangi COVID-19. Dalam tugasnya sekarang sebagai Setiausaha Tetap (Perhubungan dan Penerangan) dan Setiausaha Tetap (Keselamatan Siber), beliau menerajui strategi-strategi siber dan digital Pemerintah.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


10. ENCIK LIM HOCK YU
Ketua Pengarah Eksekutif
Persatuan Rakyat

PUJI-PUJIAN

Encik Lim Hock Yu telah memberikan sumbangan besar dalam menggerakkan penyelarasan langkah-langkah tindakan Seluruh Pemerintah terhadap COVID-19 menerusi pelaksanaan proses terakhir bagi usaha-usaha, dengan memberikan tumpuan pada kesihatan dan keselamatan awam serta pengukuhan daya tahan sosial. Beliau mengetuai Persatuan Rakyat dalam mendekati serta menyatukan masyarakat semasa pandemik dan telah melakarkan hala tuju untuk Pelan Induk Masyarakat 2025 sebagai persiapan awal usaha-usaha membangunkan masyarakat pasca-COVID bagi pelaksanaan perkhidmatan awam Seluruh Pemerintah yang lebih bersepadu.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


11. ENCIK LAI CHUNG HAN
Setiausaha Tetap (Pendidikan)
Ibu Pejabat MOE
Kementerian Pendidikan

PUJI-PUJIAN

Selaku Setiausaha Tetap (Pendidikan), Encik Lai Chung Han telah melaksanakan pengawasan yang strategik terhadap semakan dasar-dasar penting sistem pendidikan Singapura. Ini termasuk membantu mewujudkan sebuah ekosistem untuk pembelajaran sepanjang hayat yang akan mengukuhkan daya tahan kerjaya bagi tenaga kerja kita. Beliau juga telah memberikan sumbangan besar dalam meningkatkan keupayaan Sains & Teknologi Pasukan Home Team bagi melindungi keselamatan Singapura. Atas sumbangan besar beliau kepada Perkhidmatan Awam, Encik Lai Chung Han dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Emas).


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


12. PUAN CHIA-TERN HUEY MIN
Timbalan Pesuruhjaya
Antarabangsa, Penyiasatan & Cukai Tak Langsung
Penguasa Hasil Mahsul Singapura

PUJI-PUJIAN

Puan Chia-Tern Huey Min memainkan peranan penting dalam mengetengahkan dan melindungi kepentingan Singapura di peringkat antarabangsa dalam bidang ketelusan cukai serta Penghakisan Asas Cukai dan Peralihan Untung. Beliau juga memainkan peranan utama dalam pengukuhan pentadbiran Cukai Barangan & Perkhidmatan. Puan Chia membantu melaksanakan skim-skim bantuan sewa yang berkesan untuk perniagaan semasa COVID-19 dan mengemudi pentadbiran Cukai Hartanah sehingga ia mencapai tahap inovasi dan daya penghasilan lebih tinggi. Di bawah kepimpinan tegas beliau, Penguasa Hasil Mahsul Singapura telah memperkukuh dengan ketara keupayaannya untuk memerangi jenayah cukai.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


13. PROFESOR YEOH KHAY GUAN
Ketua Pegawai Eksekutif
National University Health System
Perunding Kanan, Jabatan Gastroenterologi
Hospital Universiti Nasional
Kementerian Kesihatan

PUJI-PUJIAN

Antara sumbangan Profesor Yeoh Khay Guan termasuk kepimpinan dalam penjagaan kesihatan, bidang penyelidikan dan juga akademik. Di bawah kepimpinan beliau selaku Ketua Eksekutif, National University Health System telah melancarkan beberapa usaha inovasi yang membantu mengatasi keadaan sukar disebabkan COVID. NUHS juga memberikan sokongan padu kepada usaha nasional untuk menangani pandemik dan merawat para pesakit COVID-19. Selaku Dekan Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS (2011-2018), beliau menerajui perubahan yang ketara dan Sekolah tersebut telah diiktiraf sebagai sekolah perubatan yang unggul di Asia.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


14. PENOLONG PESURUHJAYA KANAN NG SER SONG
Pengarah
Biro Narkotik Pusat
Kementerian Ehwal Dalam Negeri

PUJI-PUJIAN

Encik Ng Ser Song telah berkhidmat selama 34 tahun di Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan memegang beberapa jawatan kanan. Di bawah kepimpinan beliau, Biro Narkotik Pusat telah mencapai banyak kejayaan operasi terhadap pengedar dadah, membangunkan keupayaan risikan jangka panjang, dan mengukuhkan usaha mendidik tentang pencegahan penggunaan dadah. Banyak pindaan undang-undang yang penting telah dilaksanakan sepanjang beliau berkhidmat, termasuk penambahbaikan kepada rejim pemulihan dadah di Singapura. Inisiatif-inisiatif ini dan banyak lagi yang diperjuangkan beliau telah mengurangkan kadar pesalah dadah berulang, dan membantu memastikan Singapura rata-ratanya bebas daripada dadah.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


15. ENCIK TAN MENG DUI
Ketua Pegawai Eksekutif
Pengurusan
Lembaga Perumahan & Pembangunan

PUJI-PUJIAN

Encik Tan Meng Dui telah memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan dalam sektor prasarana dan alam sekitar di Singapura. Selaku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan & Pembangunan, beliau menunjukkan kepimpinan teguh dalam perancangan dan pembangunan perumahan yang mampu dimiliki serta bermutu dalam masyarakat inklusif dan kian berkembang di estet-estet kita. Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar, pelan dan program yang menyumbang kepada persekitaran bersih serta mampan semasa beliau menyandang jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Sekitaran Kebangsaan sebelum ini.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


16. ENCIK TAY TIANG GUAN
Timbalan Pengarah Agung 1 / Ketua Pegawai Risiko
Pejabat Ketua Kelompok dan Ketua Kumpulan
Penguasa Penerbangan Awam Singapura

PUJI-PUJIAN

Encik Tay Tiang Guan telah memberikan sumbangan besar dalam mengetengahkan kepentingan Singapura terhadap penerbangan awam dan memantapkan kedudukan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sebagai peneraju global dan serantau. Beliau memainkan peranan utama dalam mengembangkan keupayaan CAAS untuk membina ekosistem penerbangan yang kukuh, menyokong pembangunan industri dan meningkatkan piawai keselamatan. Beliau mempamerkan ciri-ciri kepimpinan yang dapat menjadi contoh dalam menangani krisis COVID-19 dan usaha mengurangkan kesan teruk terhadap sektor penerbangan Singapura sepanjang dua tahun lalu.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


17. ENCIK EDWARD SURENDRAN ROBINSON
Timbalan Pengarah Urusan (Dasar Ekonomi) & Ketua Pakar Ekonomi
Pejabat Pengarah Urusan
Penguasa Kewangan Singapura

PUJI-PUJIAN

Encik Edward Surendran Robinson telah membangunkan Kumpulan Dasar Ekonomi di Penguasa Kewangan Singapura sehingga ia menjadi sebuah badan penyelidikan yang kukuh dan boleh dipercayai dalam bidang makroekonomi gunaan di Singapura. Beliau telah mengetuai kumpulan tersebut untuk menjalankan pengamatan makroekonomi bermutu tinggi dan merumuskan saranan-saranan munasabah bagi dasar kadar pertukaran, yang telah membantu dalam pertumbuhan ekonomi bukan inflasi (non-inflationary). Encik Robinson juga telah memainkan peranan penting dalam menyediakan analisis ekonomi yang teliti untuk perbincangan-perbincangan antara agensi mengenai pelbagai isu dasar ekonomi.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Tentera)]


18. BRIGEDIER JENERAL (BG) KELVIN FAN SUI SIONG, PPA(P)
Ketua Turus (Staf Bersama)
Pejabat Panglima Pasukan Pertahanan
Angkatan Bersenjata Singapura

PUJI-PUJIAN

BG Kelvin Fan Sui Siong telah mencapai kecemerlangan dalam pelbagai jawatan penting sepanjang kerjayanya dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). Sebagai Ketua Turus (Staf Bersama), beliau menerajui usaha pembangunan keupayaan SAF, termasuk perancangan induk bagi konsep peperangan generasi akan datang SAF dan struktur organisasi. BG Fan juga merupakan Ketua Pegawai Kemampanan pengasas Kementerian Pertahanan/SAF yang melakarkan rancangan kemampanan SAF. Selaku Pengarah (Dasar), BG Fan telah melibatkan rakan kongsi antarabangsa untuk meningkatkan hubungan diplomatik dan melindungi kepentingan pertahanan Singapura.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Lintang)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Tentera)]


PUJI-PUJIAN

Pengurus-pengurus peringkat pertengahan dalam perkhidmatan awam, sama ada pegawai-pegawai bukan beruniform atau tentera, memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan dengan berkesan. Ramai pengurus peringkat pertengahan dalam perkhidmatan awam melaksanakan tugas-tugas yang mencabar dengan bersungguh-sungguh dan daya imaginasi sehingga mereka mampu menunjukkan hasil kerja yang cemerlang. Bagi menghargai jasa mereka, pegawai-pegawai ini dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Perak).


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) (Lintang)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) (Tentera)]


PUJI-PUJIAN

Kejayaan dalam pelaksanaan dasar-dasar pemerintah bergantung pada dedikasi dan kerja keras setiap anggota perkhidmatan awam. Perkhidmatan Awam Singapura beruntung kerana mempunyai ramai pegawai yang sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik. Sebagai penghargaan terhadap khidmat mereka, mereka dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa).

TOP