Prime Minister's May Day Message 2019 (Malay)

PM Lee Hsien Loong | 30 April 2019

Prime Minister Lee Hsien Loong's May Day Message 2019 in Malay. 

 

Amanat Hari Buruh 2019

Perdana Menteri Lee Hsien Loong

Lima dekad lalu, NTUC telah menganjurkan Seminar mengenai Pemodenan Gerakan Buruh. Ini adalah titik perubahan yang penting. Pada masa itu, kedudukan gerakan buruh rapuh. Bilangan anggotanya merosot. Tidak ramai berminat dengan gerakan buruh. Seminar tersebut telah merubah keadaan ini. Gerakan buruh tidak lagi bercorak konfrontasi tetapi mementingkan kerjasama. Ia telah bekerjasama dengan Pemerintah dan menyokong undang-undang baru seperti Akta Pekerjaan dan Akta (Pindaan) Perhubungan Perusahaan, dan penubuhan Mahkamah Timbang Tara Perusahaan. Kita telah menubuhkan NTUC Income dan banyak koperasi buruh untuk menyediakan barangan dan perkhidmatan asas dengan harga yang dalam kemampuan para pekerja. NTUC telah menjadi sebuah pertubuhan yang bertenaga dan progresif. Ia merupakan rakan penting dan setanding dalam model rakan tiga pihak Singapura yang unik.

Sekarang, gerakan buruh sedang melalui satu lagi detik perubahan. Keadaan luar negeri kita sedang pesat berubah. Banyak pekerjaan baru diwujudkan. Industri dan pekerjaan lama semakin berkurangan. Masa hadapan pekerjaan kelihatan sangat berbeza. NTUC perlu menjangkakan cabaran ini. Ia mesti mempersiapkan kesatuan-kesatuan, para pemimpinnya dan para pekerja dengan lebih awal untuk menghadapinya, sebelum ia menjadi beban kepada kita.

Contohnya, NTUC memainkan peranan yang besar dalam menggalakkan para majikan untuk mengambil para pekerja lanjut usia untuk bekerja semula. NTUC telah membantu rakan tiga pihak untuk mencapai persetujuan dalam menaikkan lagi usia persaraan dan mengambil pekerja lanjut usia untuk bekerja semula. NTUC juga telah menerajui model gaji progresif dan skim Daya Kerja. Kedua-dua inisiatif ini banyak membantu para pekerja bergaji rendah.

Satu lagi tugas besar untuk jangka panjang adalah usaha mempertingkat kemahiran dan melatih semula para pekerja . Pemerintah telah bekerjasama dengan NTUC dalam banyak program peningkatan dan latihan semula di bawah program SkillsFuture dan inisiatif Suai-Maju. Sebaik sahaja kami meraih pengalaman dan menghadapi keperluan baru, kami pertingkatkan program-program tersebut. Sebagai contoh, dalam Belanjawan tahun ini, kami telah memperkenalkan Pakej Bantuan Penggunaan Mesin dan Geran Meningkatkan Daya Penghasilan, yang akan membantu syarikat-syarikat untuk menggunakan teknologi dan menjadi lebih produktif.

Pada bulan Januari lalu, saya telah melawat Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat. Saya telah bertemu rakyat Singapura yang telah pertingkatkan kemahiran mereka melalui program-program di bawah Inisiatif Suai-Maju yang membolehkan mereka menyandang tugas baru atau memikul tanggungjawab yang lebih besar. Ada yang telah berpindah ke syarikat lain atau bertukar industri. Bank-bank, terutamanya, telah menjalankan usaha yang besar dengan melatih semula ribuan kakitangan kaunternya untuk menggunakan teknologi baru dan diberi tugas-tugas lain. Kami sedang menghimpunkan lebih banyak kisah-kisah kejayaan seperti ini yang saya harap boleh menjadi inspirasi kepada yang lain untuk berusaha mempertingkatkan kemahiran dan daya penghasilan anda.

Usaha-usaha ini sudah mula dapat dirasakan di peringkat makro. Tahun lalu, daya penghasilan buruh berkembang sebanyak 3.7%. Ini adalah satu pencapaian yang baik, walaupun kemajuan yang dicapai tidak sama rata di semua sektor. Kebanyakan keuntungan diraih adalah dalam sektor-sektor yang memandang ke luar, terutamanya perkilangan. Kita masih perlu bekerja lebih keras untuk meningkatkan daya penghasilan dalam perkhidmatan domestik, seperti sektor runcit serta sektor makanan dan minuman.

Pada tahun lalu, kadar pekerja yang diberhentikan kerja adalah rendah – yang terendah dalam masa lebih 10 tahun. Usaha kita untuk melatih semula para pekerja dan mempersiapkan mereka untuk menghadapi teknologi baru serta pekerjaan yang berbeza, telah membuahkan hasil. Kalau dahulu kita tidak menekankan peri pentingnya latihan, peningkatan diri dan penugasan semula kakitangan, syarikat-syarikat mungkin telah mengambil jalan mudah dengan memberhentikan para pekerja yang lebih tua dan menggantikan mereka dengan siswazah-siawazah baru. Ini boleh mengakibatkan keadaan yang lebih teruk lagi. Kita mesti teruskan usaha untuk melatih dan meningkatkan kemahiran para pekerja. Ini merupakan satu maraton tanpa penghujung, tetapi hasilnya menunjukkan kita ada kemajuan.

Gerakan buruh kita mempunyai sebab untuk berbangga dengan rekodnya sepanjang 50 tahun yang lalu. Kita masih memerlukan sebuah gerakan buruh yang kuat. Di banyak negara maju, bilangan anggota kesatuan sekerja semakin merosot dan persatuan-persatuan pekerja semakin terpinggir. Kebimbangan para pekerja tidak diatasi dan ini telah menyebabkan mereka berasa bingung dan berasa tidak mempunyai ketua serta tidak berdaya. Tidak hairanlah kalau mereka mengalihkan perhatian mereka ke arah ekstrem, seperti gerakan politik nativis. Tetapi gerakan sebegini berusaha mengatasi keresahan dan keadaan yang tidak terjamin para pekerja untuk kepentingannya sendiri. Jalan ini tidak menawarkan sebarang huraian yang realistik atau kepimpinan yang mempunyai inspirasi untuk memperbaiki kehidupan para pekerja.

Di Singapura, kesatuan sekerja yang mengamalkan sikap membina dan bekerjasama, serta para majikan yang mempunyai kesedaran dan pemerintah yang memberikan sokongan, telah membolehkan para pekerja meraih pendapatan yang lebih baik dan membawa kemajuan secara tetap pada negara. Kita mesti terus berada dalam keadaan ini, dan mengukuhkan kepercayaan dan kerjasama dalam kalangan rakan tiga pihak, agar walaupun terdapat keadaan yang tidak menentu dan cabaran-cabaran dalam ekonomi dunia, kita dapat terus berkembang maju dan mengecapi kemakmuran bersama sebagai sebuah negara.

Saya ucapkan Selamat Hari Buruh kepada semua rakyat Singapura.

TOP