2021 National Day Awards Investiture Citations (Malay)


THE ORDER OF NILA UTAMA (WITH DISTINCTION)
[Darjah Utama Nila Utama (Dengan Kepujian)]


1. ENCIK PETER SEAH LIM HUAT
Pengerusi, DBS Group Holdings & DBS Bank Ltd
Pengerusi, LASALLE College of the Arts Ltd
Pengerusi, Majlis Gaji Kebangsaan
Pengerusi, Singapore Airlines Ltd
Anggota, Majlis Penasihat Presiden

PUJI-PUJIAN

Encik Peter Seah Lim Huat merupakan Pengerusi Majlis Gaji Kebangsaan (NWC), DBS Group Holdings, Singapore Airlines (SIA), dan Maktab Seni LASALLE (LASALLE). Beliau juga merupakan anggota Majlis Penasihat Presiden (CPA), seorang Pengarah dalam GIC Private Limited, dan mantan Pengerusi Singapore Health Services (SingHealth).

Selaku Pengerusi SingHealth dari tahun 2009 hingga 2021, Encik Seah telah menyelia pengembangan besar dalam perkhidmatan pertubuhan itu. SingHealth berkembang menjadi sebuah Pusat Perubatan Akademik serta sebuah Sistem Kesihatan Daerah, yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mudah didapatkan, bermutu dan berada dalam kemampuan rakyat Singapura.

Di bawah kepimpinan Encik Seah sejak 2015, NWC telah menerajui pertumbuhan gaji yang dipacu oleh daya penghasilan, struktur gaji yang fleksibel, dan peningkatan gaji pekerja bergaji rendah. Semasa pandemik COVID-19, NWC telah memberikan panduan penting kepada para majikan untuk mengekalkan perniagaan dan menyelamatkan pekerjaan.

Di DBS dan SIA, Encik Seah telah menyelia transformasi kedua-dua pertubuhan tersebut untuk menjadi pencipta inovasi digital, dengan DBS dinamakan sebagai “Bank Terbaik Dunia”. Di bawah kepimpinannya, LASALLE telah berkembang menjadi sebuah institusi pengajian tinggi pendidikan seni yang disegani di peringkat antarabangsa.

Encik Seah telah memanfaatkan wawasan dan kepintaran perniagaannya yang mendalam kepada pelbagai peranannya baik dalam sektor awam mahupun swasta.

Atas sumbangannya yang cemerlang kepada NWC, CPA dan GIC, dan dalam pelbagai sektor – daripada penjagaan kesihatan hingga kewangan, daripada penerbangan hingga pendidikan – Encik Peter Seah Lim Huat dianugerahkan Darjah Utama Nila Utama dengan Kepujian.


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


2. ENCIK BENNY LIM SIANG HOE
Pengerusi, Lembaga Taman Negara

PUJI-PUJIAN

Encik Benny Lim mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam Perkhidmatan Awam, hingga menyandang jawatan-jawatan kepimpinan utama di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Pejabat Perdana Menteri (PMO). Bagaimanapun, senarai jawatan yang pernah beliau sandang sahaja tidak dapat memberi gambaran penuh sumbangan cemerlang beliau yang meluas dan bermutu kepada Singapura. Kebijaksanaan praktikal, sentuhan peribadi dan kepintaran beliau telah memperkaya banyak dasar dan program serta merancakkan hasil kerja ramai kakitangan awam.

Encik Lim menghabiskan sebahagian besar kerjayanya di Pasukan Home Team. Beliau memulakan kerjayanya sebagai Konstabel Polis sebaik sahaja tamat sekolah, dan dinaikkan pangkat hingga menyandang jawatan Setiausaha Tetap MHA. Tidak ada sesiapa pun, baik yang datang sebelum atau selepas Encik Lim, yang berjaya mengikuti jejak langkah beliau. Encik Lim telah membantu membina Pasukan Home Team yang lebih kukuh dan bersepadu; menubuhkan Akademi Home Team; dan memainkan peranan penting dalam membangunkan program-program menentang pengganasan seperti Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Program Mendekati Masyarakat (CEP), yang merupakan pendahulu SG Secure. Beliau telah berusaha tanpa mengenal penat bersama pemimpin-pemimpin masyarakat dan menyokong inisiatif-inisiatif antara agama secara aktif. Beliau telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan keupayaan keselamatan dan daya tahan sosial negara ini selepas peristiwa 11 September.

Di PMO, Encik Lim telah menyelaraskan inisiatif-inisiatif keselamatan negara di samping inisiatif-inisiatif mendekati masyarakat seperti “Perbincangan Singapura Kita”. Di MND, beliau memastikan bahawa dalam membangunkan sekitaran kehidupan yang bertenaga, pihak Kementerian tetap memberi tumpuan kepada usaha membangunkan masyarakat yang bersatu padu dan memenuhi keperluan penduduk. Dan di Lembaga Taman Negara (NParks), di mana beliau dilantik sebagai Pengerusi pada 2018 setelah bersara, beliau terus memacu usaha untuk menjadikan Singapura sebagai sebuah “Bandar dalam Alam Semula Jadi”.

Atas sumbangan beliau yang cemerlang kepada keselamatan dan pembangunan Singapura, Encik Benny Lim dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


3. ENCIK RICHARD MAGNUS
Pengerusi, Majlis Pengangkutan Awam

PUJI-PUJIAN

Encik Richard Magnus bersara sebagai Ketua Hakim Daerah menyusuli kerjaya yang cemerlang dalam Perkhidmatan Undang-undang Singapura. Sebelum dan sejak itu, beliau telah menyumbang kepada perkhidmatan awam melalui cara-cara yang sangat beragam.

Encik Magnus merupakan Pengerusi pengasas Temasek Foundation Cares dan Timbalan Pengerusi Yayasan Temasek. Semasa menyandang jawatan-jawatan tersebut, beliau telah menerajui inisiatif-inisiatif yang memberi manfaat kepada lebih daripada 62,000 rakyat Singapura serta inisiatif-inisiatif berkaitan COVID yang telah membantu setiap keluarga di Singapura.

Selaku Pengerusi Majlis Pengangkutan Awam, Encik Magnus mengetuai pembentukan semula majlis tersebut pada tahun 2016. Beliau menerajui semakan meluas ke atas formula tambang dan telah mengembangkan skim-skim konsesi pengangkutan awam. Beliau juga mempengerusikan sebuah jawatankuasa berbilang agensi untuk memupuk budaya menggunakan pengangkutan awam yang lebih penyayang.

Encik Magnus mempengerusikan Jawatankuasa Penasihat Bioetika dan merupakan Wakil pertama Singapura ke Suruhanjaya Antara Pemerintah ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia, dan rakyat Singapura pertama yang dipilih sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa Bioetika Antarabangsa, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Encik Magnus merupakan Pengerusi pengasas Penguasa Pengawalan Kasino dan terus berkhidmat dalam Panel Penilaian mengenai Resort Bersepadu. Beliau adalah Pengerusi pertama Lembaga Penjaga Awam dan anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dari tahun 2009 hingga 2020.

Encik Magnus mempengerusikan dengan cekap Jawatankuasa Siasatan mengenai Serangan Siber SingHealth pada 2018 yang memberi saranan untuk memperkukuh daya tahan sektor penjagaan kesihatan terhadap serangan-serangan siber.

Atas sumbangannya kepada Singapura yang meluas dan mencakupi pelbagai aspek, Encik Richard Magnus dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


4. CIK SANTHA BHASKAR
Pengarah Artistik, Akademi Seni Bhaskar

PUJI-PUJIAN

Cik Santha Bhaskar merupakan artis dan penari yang sangat disegani. Beliau telah lama menyandang jawatan Pengarah Artistik Akademi Seni Bhaskar, dan juga merupakan Penasihat kepada Persatuan Estetika Nrityalaya dan Pereka Tari Tetap bagi tarian India di Pusat Seni (Centre for the Arts), Universiti Nasional Singapura (NUS). Dikenali sebagai seorang yang menerapkan unsur-unsur silang budaya dengan pendekatan antara disiplin dalam karya-karya beliau, Cik Bhaskar telah mengabdikan hidupnya kepada usaha memperkayakan warisan seni negara kita.

Cik Bhaskar telah dianugerahkan Pingat Kebudayaan (1990) dan Bintang Bakti Masyarakat (2016). Baru-baru ini, beliau dilantik menyertai Balai Kemasyhuran Wanita Singapura, Majlis Pertubuhan-pertubuhan Wanita Singapura (SCWO). Cik Bhaskar sekarang ini merupakan Anggota Panel Anugerah Pengelola Warisan Budaya Tidak Ketara, Lembaga Warisan Negara (NHB).

Atas sumbangannya yang luar biasa kepada bidang tarian India di sini, baik sebagai penari mahupun pendidik, dan sebagai penyokong kuat bagi kepelbagaian budaya dalam seni, Cik Santha Bhaskar dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL (MILITARY)
[Pingat Jasa Gemilang (Tentera)]


5. LEFTENAN JENERAL (LG) MELVYN ONG SU KIAT, PPA(E), PPA(P), PBS
Panglima Pasukan Pertahanan
Angkatan Bersenjata Singapura

PUJI-PUJIAN

Leftenan Jeneral Melvyn Ong Su Kiat merupakan pemimpin teladan sepanjang kerjaya beliau dalam tentera. Sebagai Panglima Pasukan Pertahanan, beliau mengetuai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dalam usahanya mencapai tahap kesediaan operasi yang tinggi. Di bawah kepimpinannya, SAF telah menjalankan misi-misi keselamatan siang malam untuk melindungi kedaulatan Singapura, serta menjalankan latihan-latihan dan pembangunan teknologi demi meningkatkan keupayaan pertahanan negara. LG Ong telah mengatur strategi-strategi bagi transformasi SAF sedang ia mengamalkan konsep-konsep pertempuran yang baru dan canggih, pembangunan dan pengerahan modal insan yang lebih berkesan, serta pembangunan yang mampan. LG Ong juga telah memainkan peranan penting dalam memupuk hubungan pertahanan yang baik dengan tentera-tentera asing, meningkatkan kedudukan SAF di peringkat antarabangsa, dan menjadikannya rakan pertahanan yang berharga, baik di peringkat serantau mahupun antarabangsa.


THE PUBLIC SERVICE STAR (BAR)
[Bintang Bakti Masyarakat (Lintang)]



THE PUBLIC SERVICE STAR
[Bintang Bakti Masyarakat]


PUJI-PUJIAN

Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) dan Bintang Bakti Masyarakat dianugerahkan kepada mereka yang telah menyumbang kepada kebajikan sesama rakyat. Mereka menunjukkan kepedulian terhadap kesejahteraan masyarakat mereka, dan perkhidmatan awam mereka telah membantu menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang lebih baik.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Lintang)]


6. ENCIK CLARENCE YEO GEK LEONG
Penasihat Kanan (Tugas Khas)
Kementerian Ehwal Dalam Negeri

PUJI-PUJIAN

Encik Clarence Yeo telah berkhidmat selama 41 tahun dalam Perkhidmatan Awam, 31 tahun daripadanya di Kementerian Ehwal Dalam Negeri. Selaku Pesuruhjaya, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), beliau telah mengubah ICA, memperkenalkan huraian teknologi inovatif untuk keselamatan sempadan dan pengenalpastian pelancong, serta wadah-wadah elektronik yang mesra pengguna untuk orang ramai membuat permohonan bagi khidmat-khidmat imigresen. Beliau juga telah berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif, Akademi Home Team, dan membantu menjadikannya sebuah institut latihan terkemuka dalam bidang keselamatan dalam negeri.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Lintang)]


7. ENCIK ONG CHONG TEE
Mantan Timbalan Pengarah Urusan (Penyeliaan Kewangan)
Penguasa Kewangan Singapura

PUJI-PUJIAN

Encik Ong Chong Tee telah mempamerkan iltizam dan kepimpinan yang kukuh di Penguasa Kewangan Singapura (MAS). Selaku Timbalan Pengarah Urusan, beliau telah menyelia beberapa fungsi utama MAS. Beliau menyelia pengurusan portfolio rizab MAS, pelaksanaan dasar kewangan, dan penggalakan sektor kewangan. Beliau juga telah mengetuai fungsi penyeliaan kewangan MAS dan menyelia pengenalan lesen perbankan digital dan pengukuhan penyeliaan risiko yang berkaitan dengan pengubahan wang haram, keselamatan siber dan perkhidmatan pembayaran. Beliau merupakan anggota yang aktif dalam banyak forum kawal selia antarabangsa.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


8. CIK DAPHNE HONG FAN SIN
Ketua Pengarah
Divisyen Ehwal Antarabangsa
Pejabat Peguam Negara

PUJI-PUJIAN

Selaku Ketua Pengarah Divisyen Ehwal Antarabangsa Pejabat Peguam Negara, Cik Daphne Hong telah membuat sumbangan besar dalam hal-hal perundangan penting mengenai hubungan Singapura dengan negara-negara asing. Beliau telah memberi nasihat mengenai banyak isu undang-undang antarabangsa yang sangat penting bagi Singapura dan memainkan peranan penting dalam rundingan antarabangsa dan penyelesaian pertikaian utama, termasuk kes Pedra Branca. Beliau juga telah membina keupayaan dalam bidang undang-undang antarabangsa yang baru muncul dan membangunkan generasi peguam antarabangsa yang akan datang.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


9. ENCIK SANTA MARIA KEVIN JOHN
Pengarah
Kementerian Pertahanan

PUJI-PUJIAN

Kepimpinan luar biasa Encik Kevin Santa Maria memainkan peranan yang sangat penting dalam transformasi dan pengembangan MINDEF. Beliau telah memimpin dan memperkukuh pertubuhan ini dengan cara-cara mendasar dalam bidang operasi, perancangan, pengurusan risiko, penggubalan dasar dan pembangunan insan. Atas sumbangan beliau dalam memastikan MINDEF berupaya untuk melaksanakan misinya dengan berkesan, Encik Kevin Santa Maria dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Emas).


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


10. PROF CHONG TOW CHONG
Presiden
Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura
Kementerian Pendidikan

PUJI-PUJIAN

Prof Chong Tow Chong telah memainkan peranan penting dalam membentuk institusi-institusi pendidikan tinggi dan penyelidikan yang utama di Singapura. Beliau menyandang jawatan Presiden Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) sejak April 2018, dan merupakan Provos pengasas SUTD dari 2010 hingga 2018. Di bawah kepimpinan teguh beliau, SUTD telah berkembang menjadi sebuah universiti yang mempunyai tempat di peringkat antarabangsa dalam jangka masa sesingkat 12 tahun.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


11. PROF FONG KOK YONG
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan Perkhidmatan Perubatan & Klinikal
Singapore Health Services
Perunding Kanan, Reumatologi & Imunologi
Hospital Besar Singapura
Kementerian Kesihatan

PUJI-PUJIAN

Selaku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan di dalam Singapore Health Services (SingHealth), Prof Fong telah mempamerkan kepimpinan contoh dalam mendorong SingHealth dan khidmat penjagaan kesihatan awam Singapura ke tahap yang lebih tinggi. Dihormati sebagai pakar perubatan dan seorang pendidik, pencapaian beliau juga termasuk dalam bidang berkaitan strategi dan amalan klinikal, mengoptimumkan keupayaan penjagaan kesihatan awam dan penyepaduan rawatan. Dalam perjuangan negara memerangi COVID-19, beliau telah menyelia operasi di Kemudahan-kemudahan Penjagaan Masyarakat dan menyumbang kepada usaha penilaian vaksin untuk digunakan di Singapura. Atas sumbangan cemerlang beliau kepada bidang penjagaan kesihatan Singapura, Prof Fong Kok Yong dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Emas).


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


12. ENCIK RAJA KUMAR S/O THAMBY RAJAH
Penasihat Kanan (Antarabangsa)
Kementerian Ehwal Dalam Negeri

PUJI-PUJIAN

Encik Raja Kumar telah berkhidmat selama 36 tahun di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA). Beliau dinaikkan pangkat sehingga menjadi Timbalan Pesuruhjaya Pasukan Polis Singapura, dan membantu menjadikan ia sebuah Pasukan yang sangat dihormati sekarang ini. Beliau menubuhkan Penguasa Pengawalan Kasino, dan menjadi Ketua Eksekutif pertama pertubuhan tersebut. Selaku Timbalan Setiausaha di MHA, beliau telah memperkukuh rangkaian antarabangsa MHA untuk mengetengahkan kepentingan Singapura dalam memerangi jenayah dan dadah rentas negara, di samping perkara-perkara lain.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


13. ENCIK HARRY SEAH
Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi)
Pejabat Pengerusi / Ketua Eksekutif
PUB, Agensi Air Negara

PUJI-PUJIAN

Encik Harry Seah telah memberikan sumbangan yang besar dalam mempertingkatkan jaminan bekalan air untuk Singapura. Selaku Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi), beliau telah memberikan sumbangan besar untuk memastikan keberkesanan dan kecekapan operasi di PUB, Agensi Air Negara. Beliau merupakan salah seorang perintis dalam melaksanakan projek AirBaru (NEWater) dan menerajui usaha berterusan PUB dalam penerokaan, penyelidikan dan pembangunan teknologi air. Beliau juga aktif dalam melibatkan industri untuk melaksanakan dan menggunakan secara komersil teknologi-teknologi air yang baru.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


14. ENCIK LEE CHUAN TECK
Setiausaha Tetap (Pembangunan)
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan

PUJI-PUJIAN

Selaku Setiausaha Tetap (Pembangunan), Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Encik Lee Chuan Teck menyelia kegiatan-kegiatan ekonomi baru, perusahaan-perusahaan yang berpangkalan di Singapura, sektor pelancongan, sektor perbekalan, dan isu-isu persaingan dan pengguna. Dalam bidang perdagangan antarabangsa, beliau memberikan tumpuan pada usaha membuka pasaran baru untuk syarikat-syarikat Singapura. Sebelum bertugas di MTI, Encik Lee merupakan Timbalan Setiausaha (Darat & Korporat), Kementerian Pengangkutan, di mana beliau memimpin penyusunan semula sektor bas dan rel awam dan menerajui penggunaan kenderaan bebas (autonomous vehicles) di Singapura.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


15. CIK ONG TOON HUI
Timbalan Setiausaha (Kepimpinan) dan Dekan (CSC)
Divisyen Perkhidmatan Awam
Kolej Perkhidmatan Awam

PUJI-PUJIAN

Selaku Timbalan Setiausaha (Kepimpinan), Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dan Dekan/Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej Perkhidmatan Awam (CSC), Cik Ong Toon Hui telah menjadi contoh dalam memimpin perubahan di PSD dan CSC. Di PSD, beliau telah memberikan sumbangan besar dalam mengembangkan keupayaan-keupayaan kepimpinan di dalam Perkhidmatan Awam dan memperluas saluran kepimpinan. Di CSC, Cik Ong mempelopori usaha-usaha untuk mempertingkatkan keupayaan pegawai-pegawai awam dan mempersiapkan mereka bagi menghadapi masa hadapan.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


16. ENCIK CHAN CHEOW HOE
Timbalan Ketua Eksekutif
Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital
Agensi Teknologi Pemerintah

PUJI-PUJIAN

Encik Chan Cheow Hoe, Ketua Pegawai Teknologi Digital Pemerintah, mengetuai fungsi Teknologi Infokom & Sistem-sistem Pintar Pemerintah, dan pada masa yang sama berkhidmat selaku Timbalan Ketua Eksekutif, Agensi Teknologi Pemerintah. Beliau telah membantu membina semula keupayaan-keupayaan sektor awam dalam teknologi digital, membolehkan khidmat digital yang mengutamakan warga dapat disediakan dan memastikan langkah tindakan segera terhadap COVID-19 dapat dilaksanakan. Beliau juga telah mengamalkan sikap kepimpinan pemikir dalam memperjuangkan perkongsian ilmu mengenai pendigitalan dalam kalangan pemerintah-pemerintah seluruh dunia.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Tentera)]


17. MEJAR-JENERAL (MG) GOH SI HOU, PPA(G)
Panglima Tentera Darat
Angkatan Bersenjata Singapura

PUJI-PUJIAN

MG Goh Si Hou telah mempamerkan sifat kepimpinan contoh sepanjang kerjaya beliau dengan SAF. Selaku Panglima Tentera Darat, beliau telah memperkukuh keupayaan Tentera Darat untuk menangani pelbagai operasi dan memacu pengembangan rancangan transformasi generasi seterusnya. Beliau juga telah memimpin usaha bantuan Tentera Darat dalam perjuangan Singapura untuk memerangi COVID-19, dan telah menjalinkan hubungan pertahanan yang baik dengan rakan-rakan pertahanan tentera asing, menaikkan kedudukan Tentera Darat di peringkat serantau dan antarabangsa.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Lintang)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Tentera)]


PUJI-PUJIAN

Para pegawai peringkat pengurusan pertengahan, yang sering menyumbang di belakang tabir, merupakan hubungan penting antara penggubalan dasar dan pelaksanaannya. Kesungguhan dan dedikasi mereka mendorong kakitangan mereka untuk mencapai matlamat organisasi dan memberikan perkhidmatan awam dengan piawaian tertinggi. Pingat Pentadbiran Awam (Perak) dianugerahkan kepada mereka yang telah melaksanakan tugas-tugas tersebut dengan cemerlang.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) (Lintang)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) (Tentera)]


PUJI-PUJIAN

Kejayaan sebarang dasar pemerintah pada akhirnya terletak pada pelaksanaannya yang berkesan. Para pegawai yang bertugas di lapangan mesti mempunyai kecekapan, keberanian dan kemahiran untuk melaksanakan dasar-dasar ini. Mereka harus menunjukkan fleksibiliti dan pemahaman dalam pelaksanaan, tanpa kompromi dalam piawaian kecemerlangan. Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) dianugerahkan kepada para pegawai ini sebagai mengiktiraf khidmat mereka.

TOP