2023 National Awards Investiture Citations (Malay)


THE ORDER OF TEMASEK (WITH HIGH DISTINCTION)
[Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian Tinggi)]


1. PUAN HALIMAH YACOB
Presiden Kelapan Republik Singapura

PUJI-PUJIAN

Puan Halimah Yacob telah berkhidmat dengan cemerlang untuk Singapura sepanjang tempoh empat dekad.

Beliau berjaya mengatasi pelbagai rintangan dan telah membuka jalan bagi kaum wanita. Dalam berbuat demikian, beliau telah mencatatkan banyak pencapaian sulung: Rakyat Singapura yang pertama dipilih untuk menyertai Badan Pentadbiran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO); wanita Melayu pertama dipilih menjadi Anggota Parlimen (AP); wanita pertama menjadi Speaker Parlimen; dan wanita pertama menyandang jawatan tertinggi negara – Presiden Republik Singapura.

Puan Halimah telah memulakan kerjayanya dalam Gerakan Buruh pada 1978. Beliau telah mengabdikan dirinya untuk memperjuangkan isu-isu pekerja, sebelum akhirnya menyandang jawatan selaku Timbalan Ketua Setiausaha, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC). Sepanjang 33 tahun menabur bakti setia, beliau telah membuat sumbangan yang meluas dalam menggubal, memperkukuh dan menguatkuasakan piawaian buruh, baik di dalam mahupun di luar negara.

Dipilih menjadi Anggota Parlimen pada 2001, beliau telah berkhidmat selama empat penggal. Selaku Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (2011-2012), dan kemudiannya di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (2012-2013), beliau tidak pernah jenuh memperjuangkan pelbagai isu sosial, termasuk mewujudkan peluang-peluang untuk ibu-ibu tunggal dan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah, sokongan untuk individu-individu yang mempunyai masalah kesihatan mental, dan penjagaan kesihatan untuk golongan kurang upaya serta warga emas.

Setelah berkhidmat selaku Speaker Parlimen selama empat tahun (2013-2017), Puan Halimah telah dipilih menjadi Presiden Singapura yang kelapan pada 2017. Selaku Ketua Negara, beliau telah memartabatkan imej Singapura di mata dunia, mengeratkan jalinan Singapura dengan negara-negara sekutu, baik yang dekat mahupun jauh, dan membuka peluang-peluang ekonomi baru untuk syarikat-syarikat Singapura.

Beliau juga merupakan simbol perpaduan yang kuat untuk rakyat Singapura; satu inspirasi kepada semua, baik tua dan muda; “Presiden untuk semua”, seperti yang dijanjikan beliau pada hari perlantikannya. Selain tugas-tugas rasmi, Puan Halimah merupakan penaung banyak badan amal dan kebajikan. Beliau telah memperluas acara Cabaran Presiden bagi menggalakkan peningkatan kemahiran dan pekerjaan, menyokong usaha mewujudkan lebih banyak tempat kerja yang inklusif dan mudah diakses, serta menyokong kesihatan mental golongan muda. Beliau juga telah memulakan Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Bersatu Padu bagi menggalakkan dialog antara agama dan pelbagai budaya. Sepanjang menyandang jawatan Presiden, beliau telah bekerja keras tanpa mengenal penat demi mengukuhkan sikap saling memahami, kepercayaan dan rasa hormat antara pelbagai kaum, serta mendekati rakyat Singapura daripada segenap lapisan masyarakat.

Semasa pandemik COVID-19, Puan Halimah telah menggunakan kuasa Presiden sebagai pelindung rizab terkumpul pada skala yang belum pernah disaksikan sebelum ini, dengan meluluskan jumlah pengeluaran hingga $69 bilion. Beliau telah menetapkan tanda aras yang tinggi tentang bagaimana seorang Presiden, yang dinasihatkan oleh Majlis Penasihat Presiden, harus menggunakan kunci rizab negara yang kedua. Dengan pengajuan soalan-soalan yang mendalam dan menyeluruh, serta sokongan beliau yang dipertimbangkan dan termaklum, Pemerintah telah dapat menggunakan rizab terkumpul secara bijak dan tegas demi menyelamatkan nyawa, mengekalkan pekerjaan, dan menstabilkan ekonomi. Sejarah akan mencatatkan sumbangan besar Puan Halimah kepada rakyat sebagai Presiden Krisis pertama mereka.

Perjalanan hidup luar biasa Puan Halimah, daripada permulaan yang sederhana hingga menjadi Ketua Negara wanita berbangsa minoriti yang pertama menjadi bukti bahawa setiap rakyat Singapura boleh mencapai impian mereka, tanpa mengira bangsa, bahasa, agama, atau latar belakang keluarga.

Sebagai seseorang yang mencerminkan dengan begitu menyeluruh Kisah Singapura, juga atas khidmat setia dan cemerlang sepanjang hidup beliau – Puan Halimah Yacob dianugerahkan Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian Tinggi).


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


2. ENCIK BOBBY CHIN YOKE CHOONG
Mantan Pengerusi, Lembaga Perumahan & Pembangunan

PUJI-PUJIAN

Selaku Pengerusi Lembaga Perumahan & Pembangunan (HDB), Encik Bobby Chin Yoke Choong telah memimpin Lembaga tersebut dalam menyediakan perumahan awam yang mudah dimiliki dan berada dalam kemampuan rakyat Singapura. Semasa tempoh khidmat beliau, dasar-dasar dan skim-skim perumahan telah dipertingkatkan, dan jenis-jenis perumahan baru diperkenalkan.

Encik Chin telah memperkukuh struktur pembangunan korporat dan tadbir urus dalaman HDB, menerajui transformasi tenaga kerja HDB, dan mengeratkan lagi hubungan antara pihak Pengurusan dan Kesatuan Sekerja. Di bawah kepimpinan beliau, HDB telah memperkenalkan Rangka Kerja Kewangan Hijau dan melancarkan bon hijau sulungnya pada 2022. Langkah ini mengesahkan komitmen HDB terhadap pembangunan mampan.

Encik Chin telah banyak menyumbang kepada tadbir urus Singapura menerusi pelbagai jawatan yang disandangnya sepanjang beberapa tahun lalu: selaku anggota Majlis Penasihat Presiden; selaku Pengerusi Penguasa Pembangunan Semula Bandar; dan selaku Pengerusi Jawatankuasa Semakan MediShield Hayat. Selaku Pengerusi NTUC Fairprice Co-operative Ltd, Encik Chin telah memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan gangguan terhadap bekalan makanan Singapura.

Atas sumbangan beliau yang banyak kepada pembangunan serta program perumahan awam Singapura, Encik Bobby Chin Yoke Choong dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


3. ENCIK TIMOTHY JAMES DE SOUZA
Anggota, Jawatankuasa Taman Tugu Pengasas

PUJI-PUJIAN

Selaku anggota Majlis Presiden bagi Hak-Hak Kaum Minoriti, Encik Timothy James De Souza telah memberi nasihat yang arif bagi perkara-perkara yang menjejas kumpulan-kumpulan kaum dan agama di Singapura.

Sewaktu tempoh khidmat beliau selaku Presiden (dan kemudian Pemegang Amanah) Persatuan Serani (EA), EA telah diberikan status sebagai Badan Bantu Diri. Ia menyaksikan jumlah anggota persatuan tersebut bertambah menerusi usaha mendekati masyarakat, dan pelancaran program-program bantuan sosial dan dana baharu yang bertujuan mengukuhkan masyarakat berkenaan.

Selaku anggota Jawatankuasa Taman Tugu Pengasas, Encik De Souza memainkan peranan penting dalam pembentukan konsep, reka bentuk dan pembangunan projek tersebut. Beliau turut memastikan pandangan rakyat Singapura diutarakan.

Selaku Pengerusi pengasas Panel Rayuan Generasi Perintis dan Generasi Merdeka, Encik De Souza telah menyelia semakan ke atas lebih daripada 5,000 rayuan, memastikan setiap rayuan benar-benar dipertimbangkan secara menyeluruh.

Selaku Pengerusi Panel Penasihat Sistem Pesawat Tanpa Pemandu, Encik De Souza membolehkan pelaksanaan tadbir urus yang lebih mantap bagi sektor pesawat tanpa pemandu Singapura.

Atas sumbangan beliau yang cemerlang kepada Singapura dalam pelbagai sektor sepanjang tiga dekad, Encik Timothy James De Souza dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


4. PUAN KAY KUOK OON KWONG
Mantan Pengerusi, National Healthcare Group
Pengerusi, Lembaga Pentadbir Kolej Yale-NUS

PUJI-PUJIAN

Selaku Pengerusi National Healthcare Group (NHG) dari 2009 hingga 2021, Puan Kay Kuok Oon Kwong mengemudi NHG melalui beberapa pencapaian penting. Ini termasuk penyepaduan NHG dengan Alexandra Health System, kerjasama NHG dengan Sekolah Perubatan Lee Kong Chian dan pembangunan usaha NHG dalam kesihatan masyarakat. Beliau telah memainkan peranan penting dalam penubuhan Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit dan telah memimpin NHG dalam respons negara terhadap COVID-19.

Selaku Pengerusi pengasas Lembaga Pentadbir Kolej Yale-NUS (YNC), Puan Kuok telah mengemudi pembangunan YNC sebagai kolej seni liberal berasrama pertama Singapura. Beliau terus membimbing YNC dalam penggabungannya dengan Program Sarjana Universiti, bagi memastikan kolej baharu itu akan terus menawarkan pendidikan bermutu pada skala yang lebih besar.

Sumbangan Puan Kuok merangkumi pelbagai sektor. Ini termasuk sektor-sektor penjagaan kesihatan, pendidikan, pelancongan, seni dan sekitaran. Beliau telah mempengerusikan atau berkhidmat dalam beberapa lembaga dan majlis pertubuhan-pertubuhan masyarakat, kumpulan-kumpulan industri dan badan-badan pemerintah. Ini termasuk Dana Keberanian, Sekolah NorthLight, Universiti Nasional Singapura, Agensi Sekitaran Kebangsaan, Lembaga Pelancongan Singapura dan Majlis Seni Kebangsaan. Dalam setiap jawatan yang disandangnya, beliau telah menyumbang pengalaman dan kepakaran beliau, memberikan nasihat bernas serta kepimpinan yang stabil.

Atas sumbangan cemerlang sepanjang hayat beliau kepada Singapura, Puan Kay Kuok Oon Kwong dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE DISTINGUISHED SERVICE ORDER
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]


5. ENCIK KWA CHONG SENG
Mantan Pengerusi, Singapore Technologies Engineering Ltd

PUJI-PUJIAN

Selaku Pengerusi ST Engineering, Encik Kwa Chong Seng telah memainkan peranan penting dalam pengukuhan keupayaan dan kesediaan pertahanan Singapura. Sistem-sistem canggih telah diperoleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bagi menyokong transformasi generasi ketiganya. Sokongan operasi dan penyenggaraan bagi platform-platform SAF juga diperkukuh. Ini membolehkan SAF mencapai tahap kesediaan operasi dan daya tahan yang tinggi. Encik Kwa turut memainkan peranan penting dalam mengembangkan teknologi kritikal serta tenaga kerja dan kepakaran kejuruteraan tempatan yang telah dimanfaatkan semasa pandemik COVID-19.

Selaku Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Encik Kwa telah membimbing pemilihan dan pembangunan bakat dalam Perkhidmatan Awam. Langkah ini membantu mempersiapkan barisan pemimpin yang memiliki sifat-sifat dan nilai-nilai yang diperlukan bagi jawatan-jawatan utama. Beliau telah membimbing semakan peraturan-peraturan, dasar-dasar dan proses-proses bagi memperbaiki sistem disiplin di dalam Perkhidmatan Awam dan menangani kes-kes dengan lebih tegas dan pantas. Encik Kwa juga mantan anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Guaman dan kini berkhidmat di Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman.

Atas sumbangan beliau yang luar biasa kepada pertahanan negara dan Perkhidmatan Awam Singapura, Encik Kwa Chong Seng dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


6. HAKIM CHAN SENG ONN
Mantan Presiden, Mahkamah Timbang Tara Perusahaan

PUJI-PUJIAN

Selaku Presiden Mahkamah Timbang Tara Perusahaan dari Oktober 2007 hingga Januari 2021, Hakim Chan Seng Onn telah menghakimi beberapa kes berprofil tinggi. Penghakiman beliau menjadi rujukan kesatuan-kesatuan sekerja dan para majikan pelbagai sektor.

Penghakiman Hakim Chan menetapkan corak hubungan perusahaan di tempat kerja. Selain perspektif undang-undang, beliau turut mempertimbangkan implikasi lebih luas keputusannya ke atas hubungan perusahaan serta norma-norma dan amalan-amalan industri. Beliau bukan sahaja memberi tumpuan pada huraian bagi pertikaian perusahaan yang sedang ditangani, tetapi juga bagaimana untuk mengekalkan hubungan baik dan suasana harmoni di tempat kerja antara kesatuan sekerja dan pihak pengurusan.

Atas sumbangan besar beliau dalam mengurangkan pertikaian perusahaan di tempat kerja dan mengekalkan hubungan perusahaan yang harmoni di Singapura, Hakim Chan Seng Onn dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


7. ENCIK LEE FOOK SUN
Pengerusi, Ensign InfoSecurity
Timbalan Pengerusi, SMRT Corporation Limited

PUJI-PUJIAN

Encik Lee Fook Sun memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem keselamatan siber Singapura sebagai Pengerusi pengasas syarikat Ensign InfoSecurity. Beliau telah mengemudi Ensign untuk membangunkan keupayaan dan bakat siber negara serta menyelia pertumbuhan syarikat tersebut menjadi salah sebuah syarikat keselamatan siber terkemuka Asia.

Selaku Timbalan Pengerusi SMRT Corporation dan SMRT Trains, Encik Lee telah membimbing SMRT mencapai piawai kebolehpercayaan yang tinggi bagi perkhidmatan relnya. Selaku mantan Pengerusi Penguasa Bangunan dan Binaan, beliau telah menerajui usaha-usaha transformasi sektor persekitaran binaan dari sudut kemampanan, daya penghasilan dan pendigitalan.

Menyusuli khidmat cemerlang beliau di Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Singapura, Encik Lee telah menerajui penubuhan perniagaan-perniagaan yang berdaya saing di peringkat global dalam ST Engineering Group.

Atas sumbangan besar beliau kepada pembangunan keselamatan dan infrastruktur Singapura, Encik Lee dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


8. ENCIK MOSES LEE KIM POO
Pengerusi, Special Needs Trust Company Limited
Pengerusi, SG Enable Limited

PUJI-PUJIAN

Selaku Pengerusi Syarikat Amanah Keperluan Khas (sejak 2019), SG Enable (sejak 2022) dan Lembaga Tote Singapura (dari 2013 hingga 2020), Encik Moses Lee Kim Poo telah melancarkan banyak inisiatif bagi mengukuhkan sektor perkhidmatan sosial, serta memantapkan kedudukan kewangan orang-orang berkeperluan khas, dan menyokong aspirasi mereka. Inisiatif-inisiatif ini termasuk Skim Amanah Keperluan Khas Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Skim Tajaan Gift of A Lifetime, Inisiatif Pengupayaan Kehidupan Lembaga Tote dan Dana Upaya Goh Chok Tong.

Encik Lee juga pernah berkhidmat selaku Pengerusi Perbadanan Pembangunan Sentosa (2013-2019). Beliau bersara daripada Perkhidmatan Awam pada 2012 selepas kerjaya yang cemerlang, setelah berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap di beberapa kementerian - Buruh, Pembangunan Masyarakat, dan Kesihatan - serta Pesuruhjaya Hasil Mahsul.

Atas sumbangan cemerlang beliau kepada sektor perkhidmatan sosial dan Perkhidmatan Awam Singapura, Encik Moses Lee Kim Poo dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


9. PUAN OW FOONG PHENG
Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Negara

PUJI-PUJIAN

Selaku Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan Negara (MND), Puan Ow Foong Pheng memimpin MND dan Lembaga-lembaga Berkanun kementerian itu dalam merancang dan melaksanakan pelan-pelan pembangunan bandar yang penting.

Beliau telah menyelia Semakan Pelan Jangka Panjang bagi memantau pembangunan fizikal Singapura sepanjang tempoh 50 tahun yang akan datang. Beliau telah memacu usaha untuk menyediakan perumahan awam yang bermutu dan berada dalam kemampuan rakyat, merubah industri pembinaan, dan membuat sumbangan besar untuk menjadikan Singapura sebuah Bandar dalam Alam Semula Jadi. Puan Ow turut memimpin Pejabat Perkhidmatan Perbandaran untuk memperbaiki usaha menyediakan perkhidmatan perbandaran kepada para penduduk.

Awal dalam kerjaya beliau, selaku Setiausaha Tetap, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bandar Jurong (JTC), Puan Ow telah membuat sumbangan yang besar kepada pembangunan ekonomi Singapura. Beliau telah membantu menjalin Perjanjian Dagangan Bebas bagi mengukuhkan hubungan ekonomi Singapura dengan banyak negara, dan memimpin JTC mewujudkan landskap perindustrian yang lebih dinamik.

Atas sumbangan beliau yang banyak kepada pembangunan ekonomi dan fizikal Singapura, Puan Ow Foong Pheng dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


10. ENCIK QUEK SEE TIAT
Presiden, Majlis Agensi Hartanah

PUJI-PUJIAN

Selaku Presiden Majlis Agensi Hartanah (CEA), Encik Quek See Tiat telah memberikan bimbingan yang berkesan bagi memastikan agensi tersebut kekal relevan sebagai pengawal selia agensi-agensi hartanah. Di bawah kepimpinan beliau, CEA mengukuhkan keupayaan kawal selianya dan mengeratkan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan yang relevan untuk terus meningkatkan tahap keprofesionalan industri tersebut. Beliau mengetuai pasukan bertindak bersama CEA dan wakil-wakil industri bagi meningkatkan pembangunan profesional berterusan industri tersebut dan merumuskan Perancangan Perubahan Industri Hartanah.

Encik Quek merupakan mantan anggota Lembaga dan kemudian Pengerusi Penguasa Bangunan dan Binaan. Beliau juga merupakan anggota Lembaga, Pusat bagi Kota-kota yang Sesuai Didiami (CLC), dan kini merupakan anggota Panel Penasihat pusat tersebut yang ditugaskan untuk mengkaji semula hala tuju strategik dan aktiviti-aktiviti utama badan itu.

Menggunakan kepakaran beliau sebagai seorang profesional perakaunan yang disegani, Encik Quek telah berkhidmat selaku Pengerusi Jawatankuasa Piawaian Perakaunan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat, serta anggota Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Audit Penguasa Kewangan Singapura.

Atas sumbangan beliau kepada perkhidmatan awam, Encik Quek See Tiat dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE MERITORIOUS SERVICE MEDAL
[Pingat Jasa Gemilang]


11. PROFESOR TAN THIAM SOON
Profesor Institut / Mantan Presiden, Institut Teknologi Singapura
Timbalan Pengerusi, Penguasa Bangunan dan Binaan
Anggota Lembaga, Penguasa Pengangkutan Darat

PUJI-PUJIAN

Selaku Presiden Institut Teknologi Singapura (SIT) dari tahun 2013 hingga 2021, Profesor Tan Thiam Soon telah mengemudi penubuhan dan pertumbuhan universiti berautonomi kelima Singapura. Beliau telah mengukuhkan peranan SIT dalam skim SkillsFuture menerusi laluan-laluan peningkatan kemahiran yang inovatif untuk para pelajar dewasa dan pembelajaran di tempat kerja. Beliau terus menyumbang kepada SIT sebagai Profesor Institut.

Profesor Tan juga berkhidmat selaku Timbalan Pengerusi Penguasa Bangunan dan Binaan dan merupakan anggota Lembaga Penguasa Pengangkutan Darat (LTA). Selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Tadbir Urus Keselamatan LTA dan Panel Penasihat Antarabangsa, beliau memberikan hala tuju strategik kepada LTA mengenai hal-hal kejuruteraan dan keselamatan.

Profesor Tan juga merupakan Pengerusi pengasas Panel Penasihat Luar Kementerian Pertahanan bagi Kemampanan Persekitaran.

Atas sumbangan besar beliau kepada pendidikan dan prasarana Singapura, Profesor Tan Thiam Soon dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.


THE PUBLIC SERVICE STAR (BAR)
[Bintang Bakti Masyarakat (Lintang)]



THE PUBLIC SERVICE STAR
[Bintang Bakti Masyarakat]


PUJI-PUJIAN

Hari ini, kita memberi penghargaan kepada mereka yang telah menawarkan diri untuk berkhidmat secara sukarela kepada masyarakat dan menjadikan kehidupan orang lain lebih baik. Dalam kalangan mereka, ada yang dikurniakan anugerah Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) dan Bintang Bakti Masyarakat, bagi mengiktiraf usaha-usaha semua yang telah membantu untuk menjadikan Singapura sebuah tempat yang lebih baik. Negara ini mengucapkan terima kasih kepada mereka atas sikap tidak mementingkan diri dan segala sumbangan mereka.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


12. CIK TAN GEE KEOW
Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat & Belia

PUJI-PUJIAN

Cik Tan Gee Keow telah membuat sumbangan besar selaku Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat & Belia (MCCY). Beliau memacu usaha-usaha Seluruh Pemerintah (Whole-of-Government) untuk membina Singapura yang prihatin, sepadu dan berkeyakinan dalam bidang kesenian & kebudayaan, sukan, belia, amal derma dan penglibatan warga, dalam menyokong gerakan Singapura Bersama dan Melakar Hala Tuju Singapura. Dalam memimpin MCCY menjalani perubahan organisasi ke arah kecemerlangan pula, beliau mempamerkan azam yang kuat dengan memberikan rangsangan kepada kakitangan sewaktu menempuhi perubahan-perubahan mencabar, mengecap kemajuan meski berada dalam situasi-situasi baru dan penuh ketidaktentuan, serta mengenal pasti dan merealisasikan peluang-peluang baru untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat Singapura.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


13. CIK ELAINE NEO POH CHOO
Timbalan Setiausaha (Pentadbiran),
Kementerian Pertahanan

PUJI-PUJIAN

Cik Elaine Neo Poh Choo telah mempamerkan kepimpinan teguh dan komitmen untuk mencapai kecemerlangan sepanjang kerjaya perkhidmatan awam beliau. Di Kementerian Pertahanan, beliau telah mengubah dasar-dasar, sistem-sistem dan proses-proses dalam bidang-bidang seperti perkhidmatan negara, sumber manusia dan kewangan. Beliau juga telah memacu usaha-usaha besar bagi digitalisasi dan pembaikan perkhidmatan. Selaku Ketua Pegawai Eksekutif di Lembaga Perpustakaan Negara sebelum ini, beliau telah memimpin usaha-usaha untuk memperbaharu ruang-ruang fizikal dan penggunaan teknologi di perpustakaan-perpustakaan kita.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


14. PROF HO TECK HUA
Presiden dan Profesor Universiti Terhormat,
Universiti Teknologi Nanyang

Presiden Kanan dan Pejabat Provos bagi Timbalan Presiden Kanan dan Provos,
Universiti Nasional Singapura
Kementerian Pendidikan

PUJI-PUJIAN

Selaku Timbalan Presiden Kanan dan Provos di Universiti Nasional Singapura (NUS) dari tahun 2018 hingga 2023, Prof Ho Teck Hua telah mengemudi NUS untuk mengembangkan kolaborasi antara disiplin, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang inovatif, serta pendidikan sepanjang hayat.

Prof Ho juga telah menyumbang kepimpinan beliau selaku ketua eksekutif pengasas AI Singapore dan merupakan anggota lembaga aktif Agensi Sekitaran Kebangsaan, Agensi Teknologi Pemerintah, dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


15. CIK LAI WEI LIN
Setiausaha Tetap (Pembangunan Pengangkutan)
Setiausaha Tetap Kedua (Kewangan)
Kementerian Kewangan

PUJI-PUJIAN

Cik Lai Wei Lin telah menyumbang kepada bidang kewangan awam, pengangkutan darat, ekosistem undang-undang, dan pendidikan di Singapura. Beliau menerajui respons fiskal terhadap persaingan yang semakin hebat akibat perkembangan geopolitik dan cukai antarabangsa, serta telah mendorong pembangunan sektor perakaunan.

Cik Lai bekerja keras untuk memastikan kemampanan kewangan jangka panjang sistem pengangkutan awam. Beliau telah membantu membangunkan Pejabat Peguam Bela Awam, dan memacu pembangunan teknologi guaman dan inisiatif-inisiatif lain bagi hab undang-undang kita. Beliau juga telah mempertingkatkan sokongan bagi para pelajar dan mempelbagaikan laluan-laluan menuju pengajian tinggi, serta memulakan Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-kanak.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


16. ENCIK JERRY SEE BUCK THYE
Timbalan Pesuruhjaya (Dasar)
Pasukan Polis Singapura,
Kementerian Ehwal Dalam Negeri

PUJI-PUJIAN

Encik Jerry See Buck Thye telah berkhidmat selama lebih 36 tahun di Kementerian Ehwal Dalam Negeri, dan menyandang beberapa jawatan kanan. Selaku Timbalan Pesuruhjaya Pasukan Polis Singapura (SPF), beliau menyelia transformasi teknologi SPF dan pengukuhan proses-proses serta sistem-sistemnya bagi membanteras jenayah dan menjadikan Singapura negara yang paling selamat di dunia.

Beliau juga Ketua Eksekutif bagi yang dahulunya dikenali sebagai Penguasa Pengawalan Kasino (CRA), dan telah memainkan peranan penting dalam menjadikan CRA sebuah badan pengawal atur kasino terkemuka.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


17. CIK RENA LEE
Duta bagi Isu-isu Lautan dan Undang-undang Laut
dan Ketua Eksekutif Pejabat Hak Cipta Intelektual Singapura

PUJI-PUJIAN

Selaku Ketua Eksekutif Pejabat Hak Cipta Intelektual Singapura, Cik Rena Lee menyelia Strategi Hak Cipta Intelektual (IP) Singapura 2030 dan telah membantu mengembangkan serta mengukuhkan rangkaian IP antarabangsa negara melalui usaha penglibatan dua hala. Selaku Presiden Persidangan Antara Pemerintah sejak tahun 2018, Cik Lee telah mengendalikan dengan cekap pencapaian persetujuan dalam rundingan untuk perjanjian kepelbagaian biologi marin bagi kawasan melebihi bidang kuasa negara (BBNJ) pada 4 Mac 2023. Beliau telah menaikkan kedudukan Singapura di persada antarabangsa sebagai seorang pemimpin yang arif mengenai perkara undang-undang laut.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


18. ENCIK TAN CHOON SHIAN
Mantan Ketua Eksekutif,
Agensi Tenaga Kerja Singapura

PUJI-PUJIAN

Encik Tan Choon Shian memainkan peranan penting dalam merumuskan strategi dan menggalakkan inovasi di WSG untuk membantu para pencari kerja dan syarikat-syarikat untuk mengatasi cabaran tenaga kerja. Beliau menyokong proses membuat keputusan yang didorong oleh data dan tinjauan bagi segmen-segmen berbeza tenaga kerja serta perusahaan, dan mengubah cara khidmat pemadanan kerjaya disediakan. Selaku Ketua Operasi Majlis Pekerjaan Kebangsaan, beliau memastikan pengendalian pemadanan kerja dengan pelbagai agensi dan rakan-rakan tiga pihak dapat dilaksanakan dengan berkesan semasa pandemik COVID-19.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


19. ENCIK LIM ENG HWEE
Ketua Pegawai Eksekutif,
Penguasa Pembangunan Semula Bandar

PUJI-PUJIAN

Encik Lim Eng Hwee telah menerajui Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam Semakan Rancangan Jangka Panjang sebagai panduan pembangunan fizikal masa hadapan Singapura. Beliau telah mengemudi pelan-pelan pembangunan bagi Daerah Tasik Jurong serta Koridor Kereta Api, dan membantu menjadikan Singapura sebuah bandar yang bertenaga, mampan dan disenangi ramai. Encik Lim telah membimbing URA dalam menyokong respons negara terhadap COVID-19, termasuk mengenal pasti kemudahan penjagaan kesihatan serta penginapan yang genting, dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam memulihkan industri pelancongan.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


20. ENCIK KENNETH ER BOON HWEE
Timbalan Setiausaha (Perancangan),
Kementerian Pembangunan Negara (dipinjamkan)
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Taman Negara (NParks)

PUJI-PUJIAN

Selaku Ketua Pegawai Eksekutif NParks, Encik Kenneth Er Boon Hwee telah memimpin transformasi Singapura menjadi sebuah Bandar dalam Alam Semula Jadi. Beliau mempertingkatkan pemuliharaan Hutan Simpanan dengan mewujudkan rangkaian Taman Alam Semula Jadi sebagai penimbal dan membangunkan Koridor Alam Semula Jadi di seluruh negara. Beliau memperjuangkan pendekatan berasaskan sains untuk mempertingkatkan pengalaman kita dalam menjalani kehidupan bersama Alam Semula Jadi. Beliau memperkukuh pengurusan pokok dan haiwan, mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar, dan memupuk rasa bangga masyarakat terhadap sekitaran kita.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


21. ENCIK DENIS TANG SIEW TAENG
Pengarah, Biro Siasatan Amalan Rasuah
Pejabat Perdana Menteri

PUJI-PUJIAN

Encik Denis Tang Siew Taeng telah membuat sumbangan besar dalam bidang keselamatan dan antirasuah di Singapura. Beliau telah memainkan peranan penting dalam mengubah Biro Siasatan Amalan Rasuah menjadi sebuah pertubuhan berdasarkan digital serta pengetahuan, dan mempertingkatkan keupayaan operasi serta kesediaan masa hadapannya. Beliau telah mengukuhkan kerjasama dengan sektor swasta dan menjalin kerjasama dengan agensi-agensi antirasuah luar negeri. Di bawah kepimpinan beliau, kadar rasuah dapat dikawal dengan rapi di Singapura dan negara ini terus disegani di peringkat antarabangsa kerana usaha mencegah rasuah.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]


22. ENCIK KOK PING SOON
Mantan Ketua Eksekutif,
Agensi Teknologi Pemerintah

PUJI-PUJIAN

Encik Kok Ping Soon telah memainkan peranan penting dalam membangunkan Agensi Teknologi Pemerintah sebagai sebuah pertubuhan kejuruteraan utama yang membantu dalam usaha Singapura menjadi Negara Bijak. Beliau menerajui pelaksanaan Pelan Induk Digital Pemerintah, pembangunan prasarana utama Teknologi Perhubungan dan Maklumat & Sistem-sistem Pintar (ICT&SS) seperti ‘Tech Stack’ Pemerintah Singapura, Awan Komersil Pemerintah, Pusat Operasi Keselamatan Siber Pemerintah, dan huraian digital seperti TraceTogether dan SafeEntry ketika COVID-19. Semasa kepimpinan beliau, kepuasan rakyat, perniagaan dan kakitangan awam terhadap perkhidmatan digital pemerintah meningkat dengan ketara.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Tentera)]


23. LAKSAMANA MADYA AARON BENG YAO CHENG, PPA(G)
Panglima Pasukan Pertahanan
Angkatan Bersenjata Singapura

PUJI-PUJIAN

Selaku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng Yao Cheng telah mendorong penyusunan semula strategik Tentera Laut kita, meningkatkan keupayaan operasi, serta mengukuhkan identiti dan budayanya. Semasa pandemik COVID-19, VADM Beng mengetuai Tentera Laut meneruskan operasi keselamatan maritim, demi memastikan laluan perhubungan laut Singapura yang kritikal sentiasa terbuka dan keselamatannya terjamin. VADM Beng turut memupuk hubungan dan kerjasama pertahanan dengan negara-negara sekutu melalui platform-platform berbilang hala, pertukaran profesional dan latihan tentera laut.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (GOLD) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Tentera)]


24. MEJAR-JENERAL DAVID NEO CHIN WEE, PPA(G), PBS
Panglima Tentera Darat
Tentera Darat Singapura

PUJI-PUJIAN

Selaku Panglima Tentera Darat, Mejar-Jeneral (MG) David Neo Chin Wee telah mengekalkan tahap kesediaan operasi yang tinggi Tentera Darat, meluaskan julat keupayaannya, dan meningkatkan tahap saling kendali keselamatan negara dengan agensi-agensi pemerintah yang lain. MG Neo turut menerajui usaha transformasi Army 2040 bagi meningkatkan integrasi antara cabang perkhidmatan dan pelaksanaan konsep-konsep baru. Selaku Pengarah Operasi Bersama, MG Neo mengarahkan sokongan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) terhadap usaha COVID-19 negara, di samping memastikan latihan dan operasi SAF tetap berjalan lancar.


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Lintang)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (SILVER) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Tentera)]


PUJI-PUJIAN

Salah satu bahagian yang amat penting dalam pentadbiran awam adalah kaitan antara pembentukan dan pelaksanaan dasar. Para pengurus peringkat pertengahan di dalam perkhidmatan awam memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar-dasar, dan memproses maklum balas menjadi saranan-saranan yang berguna. Mereka yang telah menjalankan tugas dengan kesungguhan, imaginasi dan dedikasi untuk menghasilkan keputusan yang cemerlang diberikan penghargaan hari ini dengan dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Perak).


THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE) (BAR)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) (Lintang)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa)]



THE PUBLIC ADMINISTRATION MEDAL (BRONZE) (MILITARY)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) (Tentera)]


PUJI-PUJIAN

Dasar-dasar pemerintah yang telah dirancang dengan teliti boleh gagal jika kakitangan awam yang bertanggungjawab dalam pelaksanaannya tidak cekap. Kakitangan awam di barisan hadapan yang berdedikasi yang menjalankan tugas mereka tanpa rasa takut dan secara saksama dan memberikan khidmat yang terbaik secara tekal, diiktiraf hari ini dengan dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa).

TOP