May Day Message 2023 (Malay)

PM Lee Hsien Loong | 30 April 2023

Prime Minister Lee Hsien Loong's May Day Message 2023 in Malay. Scroll down for the links to read the Message in English, Chinese, and Tamil.

 

Amanat Hari Buruh 2023

Sedang kita bangkit daripada pandemik COVID-19, ekonomi kita juga semakin pulih. Tahun lalu, GDP Singapura tumbuh sebanyak 3.6 peratus. Sektor-sektor yang terjejas teruk sedang rancak pulih – tempat-tempat pelancongan dan hospitaliti telah kembali dibuka. Jumlah penumpang di Lapangan Terbang Changi telah mencecah sekitar 80 peratus daripada kadar sebelum pandemik, dan akan terus meningkat sejajar dengan semakin pulihnya kesalinghubungan antarabangsa.

Walaupun tahun ini kita menjangkakan pertumbuhan akan lebih perlahan, kita sepatutnya dapat mengelakkan daripada penguncupan ekonomi yang menyeluruh. Kadar inflasi masih tinggi, namun terdapat harapan bahawa ia akan reda dalam setengah kedua tahun ini. Sementara itu, kadar pengangguran kekal rendah, dan kadar pembuangan kerja pula masih terkawal. Secara keseluruhannya, kita masih boleh berpandangan agak optimistik terhadap prospek masa terdekat ekonomi kita.

Namun, keadaan di luar negara kita masih bergolak dan penuh dengan ketegangan geopolitik. Negara-negara Barat berhadapan dengan risiko kemelesetan ekonomi, sedang bank-bank pusat terus menaikkan kadar faedah untuk meredakan inflasi. Sistem perdagangan berbilang hala juga kian terjejas disebabkan sentimen-sentimen nasionalis dan sifat perlindungan yang semakin berkembang. Hal ini memberikan kesan terhadap perdagangan dan kerjasama antarabangsa. Pada masa yang sama, industri-industri memuncul seperti dalam bidang-bidang hijau dan digital, serta teknologi baru seperti kecerdasan buatan, akan menyebabkan gangguan terhadap ekonomi di seluruh dunia.

Kita harus menangani perkara-perkara ini dengan menyesuaikan diri mengikut perkembangannya, dan pada masa yang sama, membantu seberapa boleh mereka yang terjejas teruk. Penakatan Singapura bergantung kepada sama ada kita boleh terus bersikap terbuka dan mampu menjalinkan hubungan perniagaan dengan seluruh dunia. Ini bermakna kita mesti terus mengubah industri-industri kita, mempertingkatkan keupayaan sedia ada dan membangunkan yang baru sedang kita memasuki pasaran-pasaran meningkat. Ini boleh menjejaskan beberapa pekerjaan sedia ada, tetapi ia juga akan mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru dengan prospek yang lebih baik untuk masa hadapan.

Saya gembira melihat program-program latihan dan peningkatan kemahiran para pekerja kita sedang berjalan dengan lancar. Ia telah banyak membantu ramai pekerja untuk meningkatkan kemahiran dan mendapatkan kemahiran baru, supaya dapat bersedia untuk merebut peluang-peluang dalam ekonomi baru. Para majikan juga sedang berusaha untuk memaksimumkan potensi tenaga kerja mereka, menyediakan peluang latihan dan menggalakkan para pekerja mereka untuk menyertainya. Semakin ramai majikan juga telah mengambil kira keperluan berubah-ubah para pekerja, seperti dengan melaksanakan pengaturan kerja fleksibel dan reka semula pekerjaan untuk para pekerja lebih berusia. Ini membantu meningkatkan daya penghasilan, dan juga mengekalkan bakat.

Pemerintah akan terus melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat Singapura. Kami telah mencapai kemajuan dalam membantu para pekerja yang mudah terjejas melalui Gaji Progresif. Kami akan melakukan lebih banyak untuk menjadikan pekerjaan-pekerjaan yang memerlukan kemahiran sebagai satu bidang profesional. Ini dilakukan supaya dapat mewujudkan lebih banyak laluan untuk berjaya, dan untuk memperbaiki sokongan perancangan kerjaya bagi rakyat Singapura. Usaha Melakar Hala Tuju Singapura sedang membincangkan isu-isu ini, termasuk cara untuk membantu rakyat Singapura memperbaiki prospek pekerjaan dan daya tahan mereka, serta peralihan kepada pekerjaan dan kerjaya baru.

Semua ini memerlukan kerjasama yang kukuh dalam kalangan rakan-rakan perikatan tiga pihak. Gerakan Buruh memainkan peranan penting. Semasa pandemik, NTUC bekerja rapat dengan para majikan dan pekerja untuk melaksanakan langkah-langkah pemotongan gaji – dengan pihak pengurusan terlebih dahulu dipotong gaji mereka, untuk sama-sama merasakan keperitan, meneruskan perniagaan dan menyelamatkan pekerjaan. NTUC juga telah menubuhkan Majlis Jaminan Pekerjaan untuk menempatkan semula para pekerja daripada sektor-sektor yang terjejas teruk disebabkan pandemik seperti penerbangan kepada sektor-sektor lain yang memerlukan lebih banyak tenaga kerja seperti penjagaan kesihatan. Usaha-usaha sedemikian membolehkan kita untuk bersatu padu dalam mengharungi COVID-19, dan memperkukuh kepercayaan dalam kalangan rakan-rakan perikatan tiga pihak.

Model tiga pihak kita adalah unik dan sangat berharga. Sedang kita melangkah ke hadapan dalam sekitaran yang sukar ini, marilah kita memperkukuh dan memupuk semangat kerjasama rakan tiga pihak. Dengan setiap daripada kita memainkan peranan masing-masing dan kita semua bekerjasama, saya yakin kita mampu menjamin masa hadapan yang lebih cerah untuk Singapura dan rakyat Singapura.

Selamat Hari Buruh!

TOP