National Day Message 2006 (Malay)

PM Lee Hsien Loong | 8 August 2006

Minister for Environment and Water Resources Dr Yaacob Ibrahim delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2006 in Malay. The message was recorded at the Istana and telecast on 8 August 2006.

 

Rakan-rakan setanah air yang dihormati,

Setelah mengambil langkah beberapa tahun yang lalu untuk meningkatkan dan menyusun semula ekonomi kita, Singapura kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh berbanding dengan masa lalu. Dasar-dasar kita membawa kejayaan dan ekonomi kita berkembang dan mewujudkan pekerjaan.

Bagi separuh pertama tahun ini, Singapura mencatat pertumbuhan sebanyak 9.4 peratus. Bagi seluruh tahun ini pula, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) meramalkan pertumbuhan di antara 6.5 dan 7.5 peratus. Ekonomi kita yang kukuh telah menjana 81,500 pekerjaan dalam separuh pertama tahun ini — bilangan pekerjaan tertinggi dalam sedekad. Lebih separuh pekerjaan-pekerjaan ini telah dijawat penduduk Singapura. Usaha kita untuk mereka semula pekerjaan dan membekalkan para pekerja dengan kemahiran baru juga menolong warga Singapura yang lebih tua dan yang berkemahiran rendah untuk meningkatkan diri dan mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Prospek bagi ekonomi global kekal positif. Ekonomi Amerika Syarikat tumbuh lebih perlahan. Bagaimanapun, kesederhanaan ini diimbangi oleh pertumbuhan yang lebih kukuh di Jepun dan keadaan yang beransur baik di beberapa negara Eropah, terutama sekali Jerman.

Di Asia, kadar pertumbuhan yang pesat di China dan India terus menyemarak dan memberi keyakinan di seluruh rantau ini. Ini menguntungkan Asia Tenggara, walaupun beberapa negara menghadapi masalah politik yang boleh menjejas keyakinan dan pertumbuhan.

Sementara prospek pada keseluruhannya adalah baik, kita mesti terus mengawasi dan menjangkakan perkembangan di sekeliling kita, terutama sekali ancaman-ancaman yang boleh menjejas pertumbuhan dan keselamatan kita.

Keadaan di Timur Tengah sedang bergolak. Program nuklear Iran mencetuskan kebimbangan antarabangsa. Iraq kini di ambang perang saudara. Pertempuran di antara Israel dengan Hezbollah dan Hamas berlarutan. Singapura berharap lingkaran keganasan yang tidak menentu ini dapat dihentikan. Jika krisis ini menjadi buruk dan mengganggu bekalan minyak dunia, harga minyak akan melambung lebih tinggi, dan mencetuskan kemelesetan global.

Rundingan Pusingan Doha Pertubuhan Perdagangan Dunia menghadapi jalan buntu. Sekiranya rundingan dagangan itu gagal, perlindungan dagangan akan bertambah. Sebagai sebuah ekonomi terbuka yang bergantung kepada pengaliran perdagangan dan pelaburan yang bebas, Singapura akan mudah terjejas, tetapi perjanjian-perjanjian perdagangan bebas kita akan melindungi kita dan melindungi jalan masuk kita kepada pasaran-pasaran yang penting.

Flu burung kian membimbangkan. Ia merupakan masalah serius di Indonesia. Jika virusnya menjalani mutasi dan merebak dari manusia ke manusia di seluruh dunia, berpuluh juta nyawa mungkin terkorban. Kita mempunyai pelan untuk menangani wabak sedemikian, tetapi tidak ada pelan yang boleh memberi perlindungan terhadap segala kejadian.

Pengganasan pelampau terus merupakan ancaman. Rangkaian pengganas telah dipatahkan di Malaysia dan Indonesia, tetapi sesetengah pengganas yang berbahaya masih bebas dan Singapura terus menjadi sasaran mereka.

Untuk menghadapi semua ini dan cabaran-cabaran lain, kita perlukan pemimpin yang berkebolehan dan berdedikasi dalam setiap sektor. Kita perlukan pemerintah yang baik dan berkesan untuk menerajui negara kita. Dan kita perlu rakyat yang berganding bahu untuk membawa negara kita ke depan.

Sebagai sebuah negera kecil, kita mesti menerima dunia seperti yang sedia ada dan bukannya dunia yang kita idamkan. Kita mesti awasi perubahan-perubahan pesat di sekeliling kita, dan segera bertindak jika peluang atau ancaman timbul. Kita menyerlah berbanding dengan pesaing kita kerana kita bertindak lebih pantas dan lebih berkesan terhadap keadaan-keadaan yang berubah. Kita mesti juga bekerja dengan negara-negara jiran kita untuk mengukuhkan kerjasama di dalam ASEAN, lantas menjadikan Asia Tenggara rantau yang bertenaga di mana para pelabur tidak mampu ketepikan. Oleh itu, sambil kita memberikan tumpuan kepada isu-isu dalam negeri, kita jangan sekali tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku di sekeliling kita, atau pun lambat untuk bertindak.

Saya tahu strategi ini menuntut banyak tenaga dan usaha rakyat Singapura. Ia menghendaki kita meneroka pendekatan yang baru dan berisiko dan tidak hanya bergantung kepada aturan-aturan yang terbiasa. Ia perlukan kepercayaan dan keyakinan antara rakyat dan Pemerintah. Ia juga perlukan kita untuk membantu mereka yang kurang upaya untuk mengatasi perubahan-perubahan pesat ini. Misalnya, apabila harga minyak naik, kos untuk hasilkan tenaga elektrik akan naik dan kos untuk mengendali bas, teksi dan kereta api MRT juga akan meningkat. Kita tidak boleh menetapkan tarif elektrik dan tambang pengangkutan awam pada kadar mati. Tetapi kita boleh dan akan membantu mereka yang perlukan bantuan, secara langsung. Inilah yang telah dilakukan Pemerintah melalui program-program seperti Jimat Perbekalan atau U-Save dan Pakej Progress baru-baru ini.

Satu strategi penting dalam persekitaran baru ialah membina ketahanan yang lebih kuat di kalangan rakyat kita supaya mereka dapat mengatasi isu-isu sendiri dan tidak mengharapkan Pemerintah untuk menyelesaikan setiap masalah. Kita menggalakkan masyarakat yang lebih terbuka, yang membahaskan isu-isu dengan hujah-hujah yang kuat dan tegas agar kita mencapai huraian yang terbit daripada pelbagai sudut pandangan. Pihak media mengutarakan lebih banyak isu dan perspektif. Orang awam lebih terlibat untuk membantu Pemerintah merumus dasar dan menghuraikan masalah. Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil telah menyusun diri mereka sendiri untuk mengendali sekolah-sekolah khas, melindungi suasana di kejiranan-kejiranan, atau menggalakkan perdebatan yang berasaskan maklumat yang tepat.

Internet adalah alat hebat yang sedang merubah dunia. Kita mesti menggunakan Internet dengan sepenuhnya untuk menjalin ikatan dengan dunia, berhubung dan berurusan dengan orang lain, dan menjadi sebuah ekonomi yang produktif dan sebuah masyarakat yang bertenaga. Tetapi Internet juga menimbulkan masalah baru. Tidak semua yang terdapat di Internet adalah benar; bukanlah mudah untuk membezakan di antara fakta dan rekaan di alam maya; dan perhubungan segera boleh menyebabkan orang bertindak segera secara berlebih-lebihan dan tanpa berfikir panjang apabila mereka dimaklumkan mengenai sesuatu kejadian. Oleh kerana itu, kita mesti belajar bagaimana untuk hidup dengan wadah baru ini, dan menyesuaikan diri dengannya. Ini adalah satu cabaran kepada semua masyarakat, bukan Singapura sahaja.

Untuk bergerak ke depan, kita akan terus membuka masyarakat kita dengan cara yang telah dipertimbangkan dan diperhitungkan. Rakyat Singapura harus melahirkan pendapat mereka secara bebas tetapi bertanggungjawab. Kita perlu membantu menyelesaikan masalah-masalah dan membina negara kita dan bukan memecahkan tiang-tiang masyarakat kita sedikit demi sedikit sehingga ia runtuh akhirnya. Kita tidak semestinya sering sependapat antara satu sama lain, tetapi kita mesti kekal bersatu padu dalam wawasan bersama kita untuk Singapura.

Undi yang diberi rakyat pada bulan Mei lalu telah menetapkan pasukan yang akan memimpin Singapura dan hala tuju yang harus diambil oleh Singapura sepanjang lima tahun akan datang. Kita kini harus memberi tumpuan kepada usaha untuk mengatasi masalah-masalah yang akan datang. Pada akhir penggal ini, Pemerintah akan membentangkan rekod prestasinya kepada rakyat, untuk para pengundi mengadili sama ada kehidupan mereka bertambah baik atau tidak. Dengan memberi tumpuan pada masa depan, kita akan dapat mengatasi cabaran-cabaran yang kita hadapi dan berada di hadapan dalam persaingan dengan negara-negara lain.

Di tengah-tengah semua perubahan ini, beberapa perkara tetap kekal sama kita masih sebuah negara yang kecil dalam dunia yang tidak menentu, negara-negara lain adalah lebih besar dan kaya dengan hasil bumi, dan kita masih terpaksa bekerja lebih kuat dan secara lebih bijak daripada mereka. Dari itu, sedang kita menggalak kepelbagaian, kita mesti juga memperkukuhkan teras kita dan kekal bersatu padu sebagai satu rakyat.

Ini lebih penting lagi bagi generasi muda. Mereka membesar dalam alam Internet dan kehidupan mereka berhubung kait dengan dunia melalui pelbagai bentuk perhubungan, dan lanskap baru ini adalah sebahagian daripada kehidupan semula jadi mereka. Rakyat muda Singapura menikmati pendidikan kelas pertama. Mereka mempunyai banyak peluang untuk menceburi bidang-bidang yang mereka amat minati dan meraih kejayaan baik di Singapura mahupun di luar negeri. Kita mesti berusaha lebih untuk melibatkan rakyat muda dalam ehwal negara, mengukuhkan akar mereka dalam Singapura. Kita mesti menanam dalam jiwa mereka semangat bahawa Singapura adalah sebuah tempat yang istimewa dan unik yang dimiliki oleh mereka, dan masa depan Singapura bergantung kepada mereka. Mereka mesti mempunyai naluri rasa tanggungjawab untuk membalas jasa masyarakat dan membolehkan lebih ramai rakyat Singapura menikmati peluang-peluang yang mereka dapati.

Pada masa dulu, apabila Singapura hanyalah sebuah kampung nelayan, nenek moyang kita datang ke sini mencari kehidupan yang lebih baik. Pada tahun 1965, selepas melalui zaman persengketaan komunis dan kaum, kita dipaksa untuk merdeka. Tiba-tiba kita terpaksa berdikari. Tetapi kita telah bekerja keras dan membina Singapura yang moden ini yang tidak mempunyai sebarang asas pada masa itu. Marilah kita kekalkan semangat berdikari ini, sikap keterbukaan untuk membuat perubahan, dan azam untuk berjaya, sedang kita bina masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat.

Saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Singapura.

 

TOP