National Day Message 2009 (Malay)

PM Lee Hsien Loong | 8 August 2009

Minister for Environment and Water Resources Dr Yaacob Ibrahim delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2009 in Malay. The message was telecast on 8 August 2009.

 

AMANAT HARI KEBANGSAAN 2009

Saudara saudari sekalian,

Singapura telah melalui tahun yang bergelora dan mencabar. Januari lalu, kita diselubungi awan mendung. Ekonomi kita dilanda ribut paling teruk dalam sejarah kita. Eksport menjunam sebanyak satu pertiga. Sektor pengilangan merosot dengan banyaknya kerana kita mengeluarkan barangan untuk pasaran dunia. Memandangkan keadaan ini, kita meramalkan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) bagi tahun ini akan mengecut sebanyak 6 hingga 9 peratus.

Kita tidak dapat mengelakkan ribut yang melanda ekonomi negara, tetapi kita tidak berpeluk tubuh dan menerima nasib dengan berdiam diri sahaja. Sebaliknya, kita telah menggembeleng rakyat Singapura untuk bersama-sama menangani krisis ini. Kita telah membentangkan Belanjawan lebih awal Januari lalu, melaksanakan Pakej Daya Tahan dan mengeluarkan sebahagian simpanan negara untuk membiayai skim Kredit Pekerjaan dan Inisiatif Perkongsian Risiko Khas.

Kini kita berada dalam kedudukan lebih kukuh. Suasana ekonomi dunia telah mantap sedikit. Langkah-langkah yang kita ambil telah melindungi pekerja daripada kesan buruk ribut ekonomi. Ekonomi kita adalah di antara yang paling teruk terjejas, tetapi kadar pengangguran kita adalah antara yang terendah di dunia. Rakyat Singapura juga telah memberi respons secara tegas dan bersepadu. Faktor-faktor ini membantu ekonomi Singapura bangkit semula dengan kukuh pada suku kedua tahun ini. Hasilnya, pertumbuhan bagi separuh pertama tahun ini ialah -6.5% – satu penguncupan besar tetapi tidak seburuk yang kita khuatiri. Oleh itu, kita telah menyemak semula ramalan pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini. Ekonomi kita akan tetap mengecut, tetapi “hanya” antara 4 peratus dan 6 peratus.

Tetapi masanya terlalu awal untuk kita bergembira. Jangkaan untuk masa depan masih muram. Ekonomi negara-negara maju dijangka tidak akan bangkit semula dalam masa terdekat. Eksport kita tetap jauh lebih rendah berbanding dengan tahun lalu, dan syarikat-syarikat seperti Syarikat Penerbangan Singapura (SIA) masih menghadapi keadaan amat sukar. Kita mungkin menyaksikan satu lagi gelombang pemberhentian kerja lewat tahun ini. Oleh itu, kita mesti terus berwaspada untuk hadapi lebih banyak cabaran.

Kita jangkakan keadaan global akan terus sukar selepas tahun ini untuk beberapa waktu. Tetapi sekitaran luaran yang susah tidak bermakna Singapura tidak boleh maju. Kita boleh dan mesti mencari jalan baru untuk berkembang dan makmur. Peluang masih ada, terutama di Asia, tetapi kita perlu gunakan daya cipta dan kepintaran untuk mencari dan memanfaatkannya.

Syarikat-syarikat dan para pekerja telah pun menyesuaikan diri dengan dunia baru ini. Banyak syarikat sedang mengubah proses niaga mereka, mencari jalan inovatif untuk mengurangkan kos dan menjana keuntungan, dan gigih mencari pasaran-pasaran baru. Para pekerja mengambil peluang daripada Program Kemahiran bagi Peningkatan dan Ketahanan (SPUR) untuk meningkatkan kemahiran dan menjalani latihan semula dalam bidang baru. Kesatuan sekerja bekerjasama rapat dengan majikan untuk sesuaikan diri dengan keadaan yang telah berubah, dan tidak menentang perubahan. Kita mesti teruskan amalan-amalan ini.

Sedang kita menangani cabaran-cabaran dalam kemelesetan ini, kita juga mesti melihat ke hadapan. Jawatankuasa Strategi Ekonomi sedang mengkaji bagaimana kita boleh mengubah ekonomi negara. Jawatankuasa itu akan meneliti bagaimana Singapura boleh mencari peluang-peluang baru, membina keupayaan baru, mengekalkan pertumbuhan seimbang dan mengatasi keterbatasan kita. Kita melibatkan sektor swasta untuk mengumpulkan idea-idea terbaik yang membolehkan kita makmur. Saya yakin Jawatankuasa itu akan mempunyai saranan-saranan baik apabila ia membentangkan laporannya tahun hadapan. Respons kita dalam mengatasi krisis ini akan memastikan bahawa sebaik sahaja Amerika Syarikat dan Eropah keluar daripada masalah-masalah mereka, dan ekonomi dunia pulih semula, Singapura akan meluncur semula dalam sebuah Asia yang dinamik.

Dari dekat, kesukaran-kesukaran yang kita hadapi sekarang mungkin tampak berat, tetapi kita perlu melihatnya dalam perspektif jangka panjang. 50 tahun telah berlalu sejak kita mencapai pemerintahan sendiri pada tahun 1959. Dalam masa setengah abad ini, Singapura telah menghadapi banyak cabaran yang serius – rusuhan kaum tahun-tahun 1960an, kejutan kenaikan harga minyak pada tahun-tahun 1970an, kemelesetan besar tahun-tahun 1980an, Krisis Kewangan Asia 1990an, serangan 11 September dan SARS pada tahun-tahun 2000. Setiap kali ia berlaku, rakyat kita memadu tenaga untuk mengatasinya. Justeru itu, Singapura dapat terus berkembang dan menikmati kemakmuran, dan berjaya pada hari ini.

Kita tidak bermula sebagai satu bangsa yang bersatu. Nenek moyang kita terdiri daripada berbagai suku kaum dan mereka datang ke Singapura dari segala pelosok untuk mencari kehidupan lebih baik bagi diri mereka dan anak-anak. Tetapi tahun-tahun awal perjuangan kita untuk menuntut kemerdekaan, diikuti usaha gigih sebagai sebuah negara baru untuk menjamin penakatan walaupun berdepan dengan banyak kesukaran besar, telah merapatkan ikatan kita. Setiap kali kita menghadapi cabaran, kita memberi respons sebagai satu bangsa, dengan setiap orang memadu tenaga dan bekerja untuk faedah bersama. Dan setiap kejayaan yang diraih mengukuhkan lagi perpaduan rakyat, dan membantu kita untuk menghadapi cabaran seterusnya.

Kita sedang melakukan ini sekali lagi dalam menempuhi krisis sekarang. Setiap pihak – pemerintah dan rakyat, majikan dan kesatuan sekerja – bekerjasama, memastikan syarikat-syarikat terus berdaya maju dan berdaya saing, memelihara pekerjaan dan mata pencarian, dan meningkatkan jaringan keselamatan sosial seperti Skim Daya Kerja dan ComCare. Walaupun krisis ini merupakan satu ujian yang berat, sejarah dan rekod kita memberikan keyakinan bahawa kita akan sekali lagi mengubahnya menjadi satu peluang untuk menguatkan lagi pakatan sosial, dan meningkatkan ekonomi kita.

Kita telah memberi respons kepada masalah penularan Influenza A (H1N1) dengan cara yang sama. Kita bekerja keras untuk melambatkan dan memperlahankan penularan virus baru ini di Singapura. Usaha ini bergantung bukan sahaja kepada sistem jagaan kesihatan dan golongan profesional kesihatan, tetapi juga kepada setiap warganegara untuk sentiasa berwaspada dan mengamalkan tanggungjawab sosial. Dengan menunda kedatangan virus ini, kita dapat mempelajari lebih banyak tentangnya dan mengukuhkan benteng pertahanan kita.

Baik semasa memerangi kemelesetan ekonomi atau flu H1N1, kita pastikan bahawa setiap rakyat Singapura tahu bahawa dia tidak bersendirian, tetapi masyarakat dan negara berada di sisinya. Selagi anda berusaha dan lakukan yang terbaik, kita semua akan membantu anda mengatasinya.

Perpaduan ini adalah kunci kejayaan kita dalam banyak bidang. Kita mesti bekerja keras untuk mengukuhkannya, dan merapatkan jurang-jurang yang mungkin berlaku dalam masyarakat kita, baik antara rakyat Singapura dengan warga-warga baru, antara yang kaya dengan yang miskin, atau yang paling penting, antara rakyat Singapura yang berlainan kaum dan agama. Kita sering lihat rusuhan kaum dan konflik agama berlaku di negara-negara lain. Tahun lalu, kita menyaksikan kejadian serangan pengganas di Mumbai, dan baru-baru ini serangan bom di Jakarta. Di Singapura, kita hendaklah menghormati kebudayaan, amalan dan kepercayaan satu sama lain, membina sikap saling mempercayai dan harmoni di kalangan masyarakat berbilang kaum kita, dan secara beransur-ansur meluaskan lagi ruang sekular bersama yang dikongsi semua golongan. Dengan cara ini, kita boleh menjadi satu bangsa, satu negara, dan satu Singapura.

Kita cukup bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran ini. Kita tidak hanya mengejar pertumbuhan ekonomi, memperkukuh masyarakat kita, atau mencipta semula bandar kita, tetapi juga membina sebuah Singapura baru.

Kita sedang memperbaiki sekitaran kehidupan kita, dan membangunkan kemudahan masyarakat yang lebih baik, menyediakan lebih banyak kawasan hijau dan taman penghubung. Kita sedang menyediakan lebih banyak laluan untuk para pelajar maju dalam pendidikan dan menyediakan lebih banyak peluang untuk mereka masuk ke universiti. Kita sedang membina hospital-hospital baru, memperbaiki jagaan kesihatan di rumah rawatan, dan menyediakan jagaan kesihatan yang lebih mudah didapati dan termampu untuk semua. Kita juga sedang memberi wajah baru kepada bandar raya – mempertingkat estet-estet perumahan di serata pulau, menyegarkan kawasan pusat bandar untuk menjadi kawasan membeli-belah dan hiburan utama dan membangunkan kawasan perniagaan baru di sekitar Marina Bay, yang sedang mula terbentuk hari demi hari.

Saudara saudari sekalian, dalam setengah abad sejak kita mencapai pemerintahan sendiri, kita telah melalui banyak ujian, tetapi kita juga telah mencipta banyak peluang untuk diri kita. Marilah kita berdiri bahu membahu, baik pada masa sukar atau senang, supaya kita boleh bekerjasama dan mencapai hasil yang terbaik untuk Singapura. Inilah caranya kita dapat membina sebuah negara yang lebih baik dan bertenaga, dan menjadikan Singapura sebuah tempat istimewa yang kita berasa bangga memanggilnya tanah air kita.

Saya ucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Singapura.

 

TOP