National Day Message 2011 (Malay)

PM Lee Hsien Loong | 8 August 2011

Minister for Environment and Water Resources Dr Yaacob Ibrahim delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2011 in Malay. The message was telecast on 8 August 2011.

 

AMANAT HARI KEBANGSAAN

Ekonomi Singapura sedang mengukuhkan pemulihannya daripada krisis ekonomi dunia 2008. Hasil Kasar Dalam Negeri GDP meningkat 4.9% dalam separuh pertama tahun ini, manakala kadar pengangguran kekal rendah pada 2.1%. Walaupun kemungkinan terdapat beberapa risiko, kami meramalkan pertumbuhan yang tetap sebanyak 5-6 % bagi tahun ini.

Kita alami tempoh tidak menentu dan perubahan pesat sepanjang lima tahun lalu. Kita menikmati beberapa tahun yang amat baik semasa ekonomi kita berkembang, dan gaji meningkat. Tetapi, kita juga alami beberapa keadaan yang amat membimbangkan, terutama sekali semasa krisis ekonomi dunia.

Di tengah-tengah pergolakan yang tidak pernah berlaku dahulu, Pemerintah dengan sedaya upayanya telah melindungi rakyat Singapura daripada krisis ekonomi dunia. Kami mengenalkan Kredit Pekerjaan bagi membantu syarikat-syarikat agar berdaya maju dan menyelamatkan pekerjaan. Kami bentuk Jawatankuasa Strategi Ekonomi untuk kenal pasti peluang-peluang jangka panjang dan rancang laluan untuk masa depan.

Tahun ini, dengan kos kehidupan yang semakin meningkat, kami melancarkan Pakej Menjana & Mengongsi Pertumbuhan untuk membantu keluarga. Kami terus melatih semula para pekerja untuk menjadikan mereka lebih berdaya maju supaya mereka boleh terus diambil bekerja, dan membantu keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan melalui banyak program bantuan.

Secara keseluruhan, dasar-dasar Pemerintah adalah berkesan. Rizab negara yang kukuh yang dikumpul selama bertahun-tahun telah memberi kita keyakinan dan keupayaan untuk bergerak dengan tegas dengan Pakej Daya Tahan kita. Strategi pertumbuhan kita untuk meningkatkan pendidikan dan kemahiran, dan memasuki sektor-sektor yang bernilai lebih tinggi telah mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru yang baik bagi rakyat Singapura. Jika dibandingkan dengan lima tahun lalu, kebanyakan keluarga telah nikmati kenaikan gaji.

Tetapi, walaupun dengan usaha kita yang terbaik, kita tidak dapat melindungi rakyat Singapura sepenuhnya daripada kejutan-kejutan luar. Dalam keadaan yang kian pesat berubah, Pemerintah terpaksa atasi masalah-masalah yang paling penting dahulu – mantapkan ekonomi, selamatkan pekerjaan, bantu mereka yang terjejas teruk oleh krisis.

Beberapa dasar Pemerintah didapati tidak sesuai dengan keadaan masa kini. Tetapi kita telah menangani masalah ini. Kita akan bina lebih banyak flat HDB untuk kurangkan masa menunggu dan supaya harga rumah terus dimampui. Kita akan tambah laluan MRT dan khidmat bas untuk tingkatkan taraf perkhidmatan pengangkutan awam. Kita sedang menyederhanakan kemasukan pekerja asing dan pendatang baru, dan memaklumkan dengan lebih jelas bahawa rakyat Singapura akan diutamakan. Kita sedang semak jaringan keselamatan sosial untuk berikan sokongan lebih baik kepada rakyat Singapura dalam sekitaran yang lebih menggugat. Hasilnya tidak akan dapat dilihat dalam sekelip mata tetapi kita boleh melihat kesannya dalam masa beberapa tahun akan datang.

Namun, kita terutamanya perlu ambil sikap berhati-hati dalam satu isu ini. Sedang kita sentiasa utamakan rakyat Singapura, usahlah kita tunjukkan sikap negatif terhadap warga asing. Singapura berjaya mencapai kemakmuran kerana dasar terbuka kita kepada dunia dan kesedaran kita tentang persaingan dan perubahan ekonomi di sekeliling kita. Inilah caranya bagaimana kita menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan untuk rakyat Singapura, dan menjadikan Singapura sebuah bandar yang bertenaga. Kita tidak boleh utamakan diri kita sendiri sahaja atau kaitkan semua masalah kita dengan kehadiran warga asing. Kita mesti kekalkan hubungan dengan dunia dan terus terima kemasukan bakat dan idea, tidak kira dari negara mana. Hanya melalui cara ini, kita dapat terus berkembang dan membina sebuah Singapura yang lebih baik untuk semua.

Sedang kita atasi keprihatinan utama di dalam negeri, kita mesti terus berikan perhatian terhadap trend-trend global, dan ambil pandangan jangka panjang mengenai masa depan kita. Asia, yang didahului oleh China dan India, dijangka akan terus berkembang tetapi prospek global masih tidak menentu. Masalah hutang Eropah masih belum diselesaikan dengan tuntas, meskipun Greece menerima pakej penyelamat daripada EU. Ekonomi Amerika Syarikat terus lembab. Presiden Amerika dan Kongres negara itu bersetuju untuk meningkatkan paras hutang tetapi menangguhkan keputusan sukar untuk menaikkan cukai dan memotong perbelanjaan. Jepun pula hadapi beban tambahan ekoran gempa bumi dan tsunami. Ketiga-tiga ekonomi penting ini sedang terkial-kial dalam usaha mencari kepimpinan yang tegas yang diperlukan untuk menyelesaikan cabaran-cabaran dalam negara mereka. Ini akan melambatkan kemajuan ekonomi mereka dan menyusutkan prospek global.

Beberapa tahun mendatang akan membawa lebih banyak perubahan pesat dan kejutan. Kita mesti jangkakan dan hadapi peristiwa luaran ini seberapa baik yang mungkin, dan ambil jalan sesuai yang akan beri peluang terbaik kepada Singapura untuk berjaya.

Kita perlu teruskan pembangunan untuk jangka panjang. Kita akan kembangkan ekonomi kita dengan meningkatkan diri kita dan produktiviti lantas mengurangkan keperluan untuk membawa masuk ramai pekerja asing. Kita akan berikan pendidikan yang baik kepada rakyat muda kita, dan melatih semula pekerja kita yang lebih tua dengan berkesan. Dan kita akan wujudkan sekitaran hidup yang cemerlang untuk diri kita: sebuah Bandar dalam Taman, dan sebuah tempat kediaman yang bertenaga dan berkembang maju untuk semua rakyat Singapura. Kita mempunyai rancangan-rancangan menyeluruh untuk mencapai matlamat-matlamat ini.  

Selain daripada dasar-dasar yang khusus ini, kita mesti ubah cara kita mengurus ehwal kita. Masyarakat kita sudah berubah. Satu generasi warga Singapura yang baru kini mahu lebih banyak suara alternatif dan lebih banyak debat mengenai isu-isu yang menjejas mereka. Mereka mahu mainkan peranan lebih besar dalam mencari penyelesaiannya bersama. Saya alu-alukan perkembangan ini. Saya ingin mengajak rakyat Singapura yang mempunyai idea dan rancangan untuk tampil ke hadapan, dan bantu kami jalankan lebih banyak kerja dengan cara yang lebih baik lagi. Pemerintah akan mendekati semua segmen dalam masyarakat untuk memanfaatkan daya imaginasi, tenaga dan inisiatif anda. Ini bukan sahaja akan memperbaiki dasar dan hasilnya; ia akan menguatkan lagi rasa komitmen dan kekitaan pada tanah air kita.

Adanya lebih banyak pandangan yang berbeza-beza boleh mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih bertenaga, tetapi ia mungkin juga memecah-belah dan melemahkan kita. Kita harus luaskan ruang bersama, bukan perbesarkan jurang perbezaan kita sehingga menjadi sebuah negara yang berpecah belah. Dengan kekal bersatu, kita dapat berikan respons yang berkesan kepada cabaran-cabaran besar, dan terus mendahului negara-negara lain.

Anak-anak muda Singapura khususnya, boleh mainkan peranan lebih besar. Andalah masa depan kita. Anda tergolong dalam zaman Internet dan media sosial. Anda mempunyai pengalaman, perspektif, dan juga aspirasi yang berbeza daripada mereka yang lebih tua daripada anda. Dan anda bakal mewarisi negara yang telah dibangunkan dengan penuh cermat dan teliti oleh generasi awal.

Kita akan melakukan yang sedaya mungkin untuk membantu anda berjaya. Idealisme, keghairahan serta komitmen anda akan membawa perubahan. Anda akan mempunyai banyak peluang untuk mengejar impian dan memenuhi cita-cita anda. Saya gembira ramai anak muda Singapura turut menyahut seruan untuk berkongsi matlamat bersama yang lebih besar: anda sertai misi-misi bantuan kemanusian secara sukarela, libatkan diri di dalam kegiatan-kegiatan mesra alam, dan prihatin terhadap golongan tua dan yang kurang upaya. Semangat keSingapuraan ini akan menyatukan kita semua.

Puluhan tahun dahulu, nenek moyang kita telah bersatu dan bekerja keras untuk membina negara ini. Matlamat bersama mereka adalah untuk meneruskan kehidupan, dan menunjukkan kepada dunia bahawa kita mampu berjaya atas usaha sendiri. Dorongan kuat itu telah menyatupadukan dan memberi motivasi kepada seluruh generasi rakyat Singapura.

Kita kini berada di titik penentuan dalam sejarah kita. Dalam dunia global, kita boleh kekal bersaing dengan meningkatkan taraf pendidikan dan daya penghasilan. Kita boleh maju ke hadapan dengan meluaskan sumber bakat kita dan kekal sebagai sebuah masyarakat yang terbuka dan bertenaga. Dan yang paling penting, kita boleh atasi cabaran-cabaran berterusan dalam pembangunan negara dengan menjaga kebajikan satu sama lain dan berganding bahu untuk memperbaiki kehidupan kita.

Pulau ini adalah kediaman bersama kita. Bersama-sama, kita telah mencapai banyak kejayaan dalam 46 tahun sejak kita merdeka. Marilah kita terus bekerjasama untuk mewujudkan masa depan yang lebih cerah dan kediaman yang lebih baik bagi kita semua.

Saya ucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Singapura.

 

TOP