National Day Message 2013 (Malay)

PM Lee Hsien Loong | 8 August 2013

Minister for Communications and Information Dr Yaacob Ibrahim delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2013 in Malay. The message was recorded at SAFRA Toa Payoh and telecast on 8 August 2013.

 

Saudara-saudari setanahair

Sekarang ini, saya berada di kelab SAFRA yang baru di Toa Payoh. Di sinilah, SAFRA membina kelabnya yang pertama pada tahun 1975. Kami baru membangunkannya semula dengan kemudahan lebih baik untuk anggota kerahan Perkhidmatan Negara kita dan keluarga mereka. Ini satu tanda kecil penghargaan kami ke atas sumbangan dan pengorbanan besar anda. Kelab ini juga contoh bagaimana kita mempertingkatkan kemudahan dan sekitaran kita sedang Singapura membangun dari tahun ke tahun.

Sepanjang tahun lalu, kita telah mencapai kemajuan yang stabil. Semua permohonan untuk membeli flat HDB yang tertunggak, telah dipenuhi. Harga flat BTO, kini mantap dan peraturan ke atas spekulasi hartanah dan pinjaman berlebihan sudah diperketatkan. Kita telah menambah jumlah bas awam dan laluan bas. Kita sedang mencuba skim tambang percuma MRT ke kawasan bandar pada awal pagi. Kita juga akan menambah jumlah kereta api untuk laluan MRT. Pada Disember ini, fasa pertama Laluan Downtown akan dibuka dan lebih banyak laluan MRT akan dibina selepas itu. Kita juga meraikan beberapa kejayaan dalam bidang seni dan sukan, termasuk kemenangan pasukan bola sepak Singa XII kita dalam Liga Super Malaysia.

Pada masa yang sama, kita juga sedang tangani isu-isu jangka panjang, terutamaa soal perkahwinan, keibubapaan dan kependudukan. Pada Januari lalu, Kertas Putih mengenai Kependudukan telah mencetuskan reaksi yang hangat. Namun perbahasan itu, membantu kita memahami isu-isu tersebut dengan lebih baik. Kita berdepan dengan pilihan-pilihan yang sukar: Kita perlukan pekerja asing untuk menyumbang kepada ekonomi dan memenuhi keperluan rakyat Singapura. Kita juga perlukan pendatang asing untuk bantu atasi masalah kekurangan bayi. Tetapi kita juga bimbang tentang masalah kesesakan, dan cabaran mengekalkan identiti keSingapuraan kita. Oleh itu, kita melangkah ke hadapan dengan berhati-hati. Kita sedar akan keperluan dan keterbatasan kita dalam kita berusaha mencari huraian terbaik bagi rakyat Singapura.

Ekonomi kita kekal mantap di tengah-tengah keadaan dunia yang tidak menentu. Kita menarik lebih banyak pelaburan bermutu. Penggangguran kekal rendah. Dalam separuh pertama 2013, ekonomi kita tumbuh sebanyak 2 peratus. Ekonomi dijangka tumbuh antara 2.5 hingga 3.5 setengah peratus tahun ini, lebih tinggi daripada yang dijangka sebelum ini. Walaupun kita ketatkan kemasukan pekerja dan pendatang asing, kita mesti kekalkan keyakinan para pelabur dan pastikan Singapura terus menjadi destinasi menarik untuk perniagaan.

Dunia begitu pesat berubah dan tanpa disangka-sangka. Teknologi sedang merubah hidup kita. Masyarakat di mana-mana juga merasa tertekan. Pekerjaan tidak lagi terjamin, kenaikan gaji kini lebih perlahan atau mendatar, keluarga perlu bekerja lebih keras, dan ibu bapa bimbang sama ada anak-anak boleh mencapai kejayaan yang lebih baik berbanding keadaan mereka.

Singapura juga sedang berubah. Ekonomi semakin matang dan penduduk kita semakin menua. Kini kumpulan-kumpulan dalam masyarakat memiliki kepentingan yang bukan sahaja pelbagai malah ada kalanya bercanggah. Rakyat Singapura yang lanjut usia bimbang tentang penjagaan kesihatan dan kos sara hidup. Warga lebih muda pula, mahu peluang pendidikan yang meluas dan lebih banyak rumah yang dimampui.

Laluan di hadapan kita berbeza dari laluan yang telah kita tempuhi sebelum ini. Oleh itu, kita mesti menilai semula kedudukan kita, semak semula hala tuju kita, perbaharui strategi untuk maju dalam dunia yang baru ini.

Dalam Amanat saya tahun lalu, saya berkata Singapura harus sentiasa menjadi kediaman terbaik, dengan masyarakat yang berhati mulia dan menawarkan harapan bagi masa depan yang cerah. Kami telah melancarkan Perbincangan Singapura Kita untuk melakar masa depan kita bersama. Ramai yang terlibat secara aktif dan penuh ghairah. Kami juga telah mendapat saranan-saranan yang berharga. Terima kasih kerana melibatkan diri anda dalam usaha ini.

Perbincangan Singapura Kita telah membantu membentuk aspirasi kita iaitu Singapura yang menyediakan peluang kepada rakyatnya untuk berjaya dan menikmati kehidupan yang memuaskan. Sebuah negara yang mentakrifkan kejayaan dalam pelbagai cara dan menawarkan berbilang laluan untuk mencapai banyak puncak kejayaan. Sebuah masyarakat yang mempunyai jaringan keselamatan yang membuat rakyat merasa tenang. Sebuah masyarakat yang membantu golongan kurang bernasib baik dan mereka yang berjaya pula giat berusaha untuk membantu orang lain.

Untuk mencapai aspirasi ini, kita akan melakarkan sasaran dan pelan bertindak. Tetapi kita perlu selarikan aspirasi ini dengan keadaan dunia yang kita diami, dengan persaingan dan peluang yang kita miliki serta potensi kita sebagai sebuah Negara.

Hari ini, nama Singapura harum di persada dunia. Banyak negara kagumi kita. Negara-negara maju dan sedang membangun ingin mendapatkan idea-idea daripada kita. Setiap warga meraih faedah daripada jenama Singapura yang kukuh – para pekerja kita menikmati gaji yang tinggi dan rakyat yang menuntut atau bekerja di luar Negara dialu-alukan dan dihormati.

Pada masa yang sama, negara-negara lain juga sedang maju dengan pesat dan kian setanding dengan kita. Kita mesti terus berada di hadapan dan mengekalkan kedudukan kita di dunia.

Untuk terus berjaya dalam sekitaran yang berubah, pendekatan asas kita terhadap pembangunan Negara mesti disesuaikan. Kita mesti mencari keseimbangan yang baru antara peranan individu, masyarakat dan negara.

Kita mesti memperkukuhkan semangat kemasyarakatan kita. Kita perlu lebih saling menyokong - menghulur bantuan kecil atau besar kepada golongan kurang bernasib baik; membuat kerja sukarela dalam perkara yang kita prihatin serta bekerjasama demi kebaikan semua.

Sebenarnya, semua ini sudahpun kita lakukan, terutama sewaktu krisis. Ketika kita diancam denggi dan jerebu, kita bersatu hati dan mengambil berat terhadap satu sama lain. Inilah Singapura – bukan sekadar kumpulan individu yang berasingan tetapi sebuah masyarakat dengan satu matlamat dan semangat bertanggungjawab bersama, mengambil inisiatif untuk membantu satu sama lain pada waktu susah dan senang. Kita perlu perkukuh semangat sepasukan ini.

Pemerintah juga akan memainkan peranan yang lebih besar untuk membina sebuah masyarakat yang adil dan saksama. Kami akan tingkatkan usaha untuk membolehkan setiap rakyat Singapura berjaya melalui pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. Kami akan pastikan peluang peningkatan terbuka luas untuk semua. Kami akan membantu individu dari keluarga miskin untuk menikmati permulaan yang baik dalam hidup, bermula dengan pendidikan pra-sekolah. Kami juga akan tangani kos sara hidup, contohnya kos penjagaan kesihatan, terutama sekali bagi warga emas. Kami akan memupuk sebuah masyarakat yang lebih saksama, dengan membantu setiap keluarga untuk memiliki flat HDB mereka sendiri, dan membantu para pekerja bergaji rendah menerusi skim Daya Kerja atau Workfare. Di Singapura, setiap rakyat sentiasa ada taruhan dan peluang yang cukup untuk berjaya dalam hidup.

Tetapi ingat: Setiap kita mesti terus memberikan yang terbaik, berdikari dan memanfaatkan kepintaran masing-masing. Ini kerana Singapura hanya boleh berjaya jika setiap kita memainkan peranan masing-masing.

Pada masa yang sama, semua ini hanya boleh tercapai, sekiranya kita bersatu padu, dan tidak berpecah-belah mengikut kaum, kedudukan sosial atau fahaman politik. Kita mesti sentiasa ada risan pemimpin yang ber-kebolehan, jujur dan komited dan yang boleh dipercayai untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura. Kita perlukan sebuah Pemerintah yang baik, yang memikirkan dan merancang lebih awal dan yang lebih penting lagi, memahami keprihatinan dan harapan kita. Inilah caranya untuk kita membina sebuah Singapura yang lebih baik - secara bersama.

Saudara-saudari sekelian, kita telah mencapai banyak kemajuan sejauh ini, tetapi masih banyak kejayaan yang boleh kita raih di tahun-tahun mendatang. Kita berupaya untuk men-corak masa depan kita dan mencipta babak baru dalam kisah Singapura. Marilah kita bersatu padu dan menumpukan usaha ke arah membina masa depan Singapura yang lebih cerah untuk kita semua.

Selamat Hari Kebangsaan!

 

TOP