National Day Message 2014 (Malay)

PM Lee Hsien Loong | 8 August 2014

Minister for Communications and Information Dr Yaacob Ibrahim delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2014 in Malay. The message was recorded at Alexandra Park Connector and telecast on 8 August 2014.

 

Saudara, saya kini berada di Penghubung Taman Alexandra dekat estet Dawson. Dahulu, kawasan ini adalah kawasan kampung dan paya. Kini, kawasan kejiranan ini, lengkap dengan rumah, kedai dan restoran yang disepadukan dengan alam semula jadi dan kawasan yang menghijau dengan begitu indah sekali.

Dawson adalah satu contoh bagaimana kami mempertingkatkan Singapura, tahun demi tahun. Kita sama-sama berusaha memperbaiki kehidupan kita, membina kediaman yang lebih baik, dan menyerahkan sebuah Singapura yang lebih baik daripada apa yang kita warisi, kepada anak-anak kita.

Inilah semangat para perintis kita. Mereka bekerja keras untuk memajukan Singapura daripada sebuah negara bertaraf Dunia Ketiga kepada Dunia Pertama. Mereka bekerjasama. Berkat usaha mereka, kita dapat menikmati Singapura yang wujud hari ini. Pakej Generasi Perintis adalah cara kita melahirkan rasa terima kasih kita kepada mereka.

Kita mesti mendukung semangat para perintis kita dalam era baru ini. Dunia global hari ini, menawarkan banyak peluang kepada mereka yang berani dan berdaya usaha. Namun, ia juga menyebabkan ramai orang berasa tidak pasti dan bimbang tentang masa depan mereka. Peristiwa yang berlaku di luar negeri menjejas kita dengan pantas dan tanpa diduga. Misalnya perubahan politik di Asia Tenggara, pertikaian maritim di Laut China Selatan atau konflik bersenjata di Gaza dan Ukraine.

Singapura juga telah berubah. Kebanyakan kita, lahir selepas Singapura Merdeka, dan kita juga membesar dalam keadaan Singapura yang jauh berbeza berbanding zaman para perintis kita. Kepentingan dan pandangan kita lebih rencam dan lebih kuat dipegang. Kini, kita berada di tahap lebih tinggi dan dari sini kita boleh terus mendaki puncak jaya yang baru. Oleh itu, kita mesti menilai semula kedudukan kita, menyemak semula hala tuju kita dan memperbaharu strategi kita.

Kami sedang memperbaiki lagi jaringan keselamatan sosial kita. Terbaru sekali ialah MediShield Hayat. Jawatankuasa pimpinan Encik Bobby Chin dan Kementerian Kesihatan telah menjalankan tugas yang baik dalam menghasilkan butirannya. Ramai rakyat Singapura telah memberikan maklum balas berharga yang membantu memperbaiki skim ini. Di Parlimen bulan lalu, semua Anggota Parlimen menyokong Kertas Putih MediShield Hayat. Sekarang, kita mesti melaksanakannya dengan baik. Saya harap kita dapat bekerjasama dalam perkara ini.

Pemerintah juga membantu anda menabung untuk persaraan. Penduduk kita semakin menua dan warga emas kita memiliki bilangan anggota keluarga yang lebih kecil untuk menampung mereka. Warga emas memerlukan fikiran yang tenteram dalam usia senja, dan inginkan jaminan bahawa mereka boleh bersara dengan tenang selepas bekerja keras seumur hidup mereka.

Rakyat Singapura sedar bahawa mereka perlu bersiap sedia untuk persaraan. Mereka bekerja lebih lama dan lebih banyak menabung. Bagi kebanyakan anda, flat HDB dan simpanan CPF anda ialah sumber utama untuk menampung persaraan anda. Flat HDB membolehkan rakyat Singapura membina kediaman dan aset berharga yang boleh dimanfaatkan dalam usia senja mereka. Nilai flat anda meningkat seiring dengan kemakmuran Singapura. Kami sedang mengkaji cara-cara untuk memudahkan golongan pesara menjadikan flat mereka sebagai sumber kewangan, dengan cara yang berhemat dan mampan.

Selain flat anda, CPF telah membantu anda menabung untuk hari tua. Ia memastikan bahawa anda memiliki sumber pendapatan yang berterusan semasa bersara. Skim CPF telah memberi manfaat kepada kebanyakan anda. Namun kita masih boleh memperbaikinya lagi. Perdana Menteri akan sentuh perkara ini di Rapat Hari Kebangsaan, hujung minggu depan.

Jaringan keselamatan yang lebih kukuh bukan sahaja memberi anda ketenangan fikiran, bahkan juga membina keyakinan untuk menaruh harapan dan berani menghadapi cabaran. Sistem kita akan mendorong anda untuk memburu impian anda. Setiap anda akan berpeluang untuk mencapai potensi penuh anda tanpa mengira latar belakang keluarga atau keadaan hidup mereka.

Pendidikan adalah kunci utamanya. Inilah sebabnya pemerintah membentuk Jawatankuasa ASPIRE yang dipengerusikan Menteri Negara Kanan, Indranee Rajah. Tumpuannya ialah untuk membantu lulusan ITE dan politeknik, maju dalam kehidupan. Anda berbakat, bersemangat dan berkeyakinan. Anda patut diberi peluang untuk mengejar impian dan mencapai potensi terbaik anda.

Pembelajaran anda tidak harus terhenti selepas anda lulus dari ITE atau politeknik. Pemerintah sedang membantu anda untuk melanjutkan pelajaran tetapi laluan akademik bukanlah satu-satunya cara untuk maju. Kami akan membantu anda mempertingkatkan diri sambil anda bekerja. Kami juga akan membantu anda menguasai kemahiran khusus serta mendapatkan kelayakan lebih tinggi apabila anda meningkat maju dalam kerjaya.

Usaha untuk membantu setiap anda memenuhi potensi anda, bukan setakat mengikuti pendidikan atau latihan berterusan sahaja. Ia juga melibatkan pembentukan nilai-nilai sosial. Sebagai rakyat Singapura, kita harus menilai seseorang bukan berdasarkan pendidikannya sahaja, tetapi juga kemahiran, sumbangan dan perwatakannya. Inilah cara kita memastikan Singapura kekal sebagai sebuah negara yang penuh harapan dan peluang untuk semua.

Apapun laluan yang diambil para pelajar dan pekerja kita, akhirnya kita memerlukan ekonomi yang rancak untuk menghasilkan pekerjaan yang baik dan kerjaya yang memuaskan. Ekonomi kita tumbuh 3.5 peratus pada separuh pertama 2014. Ia diramalkan tumbuh antara 2.5 hingga 3.5 peratus untuk tahun ini. Kita mesti mengekalkan kadar pertumbuhan ini sepanjang sedekad akan datang, untuk memperbaiki kehidupan rakyat Singapura.

Rakyat Singapura memiliki kediaman yang baik untuk didiami, bekerja dan membina keluarga kita. Bersama-sama, kami akan menjadikannya lebih baik lagi. Kami sedang memperindah estet-estet perumahan dan ruang-ruang awam di bandar-bandar baru di seluruh Singapura. Kami sedang membina pelbagai kemudahan untuk dinikmati rakyat Singapura seperti Hab Sukan baru serta Panggung dan Dewan Konsert Victoria. Kami sedang memelihara air kita yang membiru dan tempat-tempat yang menghijau seperti Pulau Ubin. Kami akan memanfaatkan teknologi sepenuhnya demi mengubah negara kita menjadi sebuah bandar IT, sebuah Negara Bijak.

Selain prasarana fizikal kita, kita harus mengukuhkan ikatan sesama kita antara satu sama lain dan semangat saling menyokong. Kita mesti memperkukuh jati diri yang kita kongsi serta nilai-nilai yang kita sanjungi. Singapura akan hanya berjaya jika kita bersatu padu sebagai sebuah masyarakat.

Kita telah mencapai banyak kemajuan sejak Merdeka. Ke mana sahaja kita pergi, rakyat Singapura boleh berbangga dengan negara kita. Para pelawat asing kagum dengan apa yang mereka dapati di sini. Tetapi kita belum mencapai batas kejayaan kita. Tiada batasan kepada apa yang boleh kita capai.

Tahun depan, Singapura akan berusia 50 tahun. Banyak acara diatur untuk meraikan sambutan Jubli Emas kita termasuk Sukan SEA. Kami gembira ramai daripada anda telah menyumbang idea untuk menyambut acara istimewa ini dengan beraneka cara dan kumpulan. Semangat kekitaan ini akan memastikan kita terus maju.

Masa depan Singapura bergantung kepada usaha kita untuk mencoraknya. Kita kini berada dalam kedudukan yang baik untuk berkembang maju dalam dunia yang terus berubah. Marilah kita berikrar untuk bekerja rapat demi membina masa depan yang lebih cerah untuk kita semua.

Selamat Hari Kebangsaan!

 

TOP