National Day Message 2019 (Malay)

PM Lee Hsien Loong | 8 August 2019 | Jewel Changi Airport

Minister for the Environment and Water Resources Masagos Zulkifli delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2019 in Malay. The message was recorded at Jewel Changi Airport and telecast on 8 August 2019.

 

AMANAT HARI KEBANGSAAN 2019

Saudara-saudari sekalian,

Tahun ini, kita memperingati 200 tahun negara kita dengan Perjalanan Bicentennial. Pelbagai kumpulan masyarakat, sekolah termasuk syarikat-syarikat telah menganjurkan pelbagai acara untuk menceritakan sejarah mereka sendiri. Ramai di antara kita tersentuh dengan apa yang kita saksikan di Perjalanan Bicentennial di Fort Canning. Ia memaparkan dengan jelas kekayaan sejarah Singapura yang berwarna warni.

Kegiatan-kegiatan ini mengingatkan kita bahawa sejarah negara kita bermula jauh lebih awal sebelum 1819, ketika pihak British tiba di pulau ini. Dalam perjalanan pahit dan manis tersebut, kita telah menceduk nilai-nilai murni daripada banyak budaya dan tradisi.

Tahun ini, pertumbuhan ekonomi kita telah merudum. Permintaan global dan perdagangan antarabangsa telah merosot. Ia menjejas sektor perkilangan, khususnya sektor elektronik, yang kini mengalami kelembapan di seluruh dunia. Kita juga turut terjejas. Namun, sektor-sektor lain ekonomi kita masih mencatat prestasi yang baik. Kita pernah mengalami kelembapan yang serupa sebelum ini maka kita akan menghadapi kelembapan kali ini dengan tenang. Jika perlu langkah-langkah merangsang ekonomi kita, kita akan melaksanakannya.

Jelas, dunia semakin bergelora dengan cabaran-cabaran yang besar. Pertama, keadaan ekonomi yang tidak menentu, dengan perdagangan global dalam keadaan tertekan. Kedua, dengan pergeseran yang kian meningkat antara kuasa-kuasa besar. Ketiga, dengan pemanasan global yang akan meningkatkan paras air laut - menjejas kewujudan kita.

Singapura tidak akan terlepas daripada masalah-masalah global ini. Dari segi ekonomi, kesemua ini akan menjejas rangkaian bekalan, mengubah corak perdagangan dan pelaburan. Kita mesti mempersiapkan diri kita untuk menghadapi masa hadapan yang sangat mencabar.

Namun, masa silam kita memberi kita iktibar dan keyakinan. Sepanjang sejarah kita, kita bangkit dan mengatasi cabaran dan kesukaran. Setiap kali dunia berubah kita mencipta semula dan memperbaharui ekonomi kita. Justeru, rakyat kita kembali berkembang maju. Begitu juga bandar Singapura.

Untuk keperluan ekonomi kita, kita sedang melakukan transformasi terhadapnya. Kita kini menyenggara enjin-enjin jet, membuat penerobosan dalam mencipta penawar baru bagi penyakit, dan berkembang dalam teknologi kewangan atau “fintech”. Pelabuhan dan lapangan terbang kita sedang diperluaskan lagi untuk meraih peluang dari permintaan daripada rantau Asia yang dinamik. Agensi-agensi seperti Enterprise Singapore sedang membantu para usahawan agar mereka dapat berkembang dan menebarkan sayap ke pasaran antarabangsa.

Kita juga sedang mencatat kemajuan yang baik dalam usaha melengkapi tenaga kerja kita dengan kemahiran dan keupayaan baru agar bersedia untuk masa depan. Malah, SkillsFuture sedang meningkatkan kemahiran puluhan ribu rakyat Singapura menjadi lebih berdaya hasil. Sekali gus mempersiapkan mereka untuk merebut pekerjaan-pekerjaan baru yang sedang diwujudkan. Kesemua langkah ini penting untuk mengatasi cabaran-cabaran jangka panjang. Ia juga membantu kita mengharungi kemerosotan ekonomi jika berlaku.

Inilah cara kita memperkasa setiap warga supaya mereka dapat memanfaatkan peluang-peluang baru. Pemerintah akan membantu setiap rakyat untuk mencapai potensi, agar memberikan sumbangan yang terbaik kepada Singapura. Dengan mempertingkatkan diri, kita dapat mengejar impian yang berdiri atas dasar-dasar nilai-nilai dan keperibadian yang terpuji. Inilah harapan ibu bapa.

Dalam menyokong ibu bapa, kami merancang untuk memastikan pendidikan prasekolah dan posmenengah lebih dimampui rakyat, terutama bagi keluarga bergaji rendah dan pertengahan. Untuk membantu warga emas, kami melindungi mereka dalam keperluan penjagaan kesihatan dan persaraan mereka. Bagi mereka yang mahu bekerja lebih lama, kami akan meningkatkan had usia untuk bersara dan bekerja semula. Perkara-perkara ini akan disentuh dengan lebih lanjut di Rapat Umum Hari Kebangsaan nanti.

Akhir sekali, kita mesti terus menyegarkan bandar kita. Baru-baru ini, seorang pemimpin dari luar negeri, yang belum pernah ke sini, memberitahu saya bahawa semasa pesawatnya di udara, beliau dengan serta-merta tahu bahawa beliau berada di ruang angkasa Singapura. Ini kerana, apabila beliau menjenguk dari tingkap, setiap pelosok pulau ini dirancang dan dibangunkan dengan begitu terperinci dan dijaga dengan baik - setiap kawasan perumahan, setiap mercu tanda, setiap tapak taman dan ruang hijau. Pulau ini merupakan permata yang bergemerlapan. Setiap permukaannya berkilau memikat setiap mata yang memandang. Sama seperti Jewel di Lapangan Terbang Changi, tempat saya berada sekarang ini.

Ramai di antara kita yang sudahpun ke sini, menikmati taman-tamannya yang indah, pemandangan air terjun yang menakjubkan, dan merasakan suasana unik di bawah kubah raksasa yang diperbuat daripada kaca. Konsep Jewel ini telah diilhamkan sembilan tahun lalu, ketika Lapangan Terbang Changi menghadapi persaingan yang sangat sengit. Sekarang ini, Jewel mengagumkan rakyat Singapura dan para pengunjung luar negeri. Malah ia telah mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru. 

Kita amat berbangga dengan gerbang baru kita kepada dunia. Jewel adalah satu cerminan kita sebagai negara yang istimewa. Ia lambang rakyat Singapura yang bukan sekadar memiliki daya kreativiti, tapi juga mempunyai kecekalan hingga menjadikan impian satu kenyataan. Bandar dan lapangan terbang lain sudahpun merancang untuk meniru Jewel. Mungkin juga membina bangunan sepertinya yang lebih baik dan lebih gah. Tetapi, dunia akan ingat kitalah yang pertama membinanya.

Jewel hanyalah satu daripada pelbagai usaha kita untuk mencipta semula bandar kita. Terminal 5 Changi, Pelabuhan Mega Tuas, Kawasan Tasik Jurong, pembangunan semula Pangkalan Udara Paya Lebar dan Kawasan Pesisiran Selatan – semua projek ini merancakkan pembangunan Singapura bagi beberapa dekad mendatang.

Untuk kekal berada di barisan hadapan, kita perlu sentiasa menghasilkan idea-idea segar dan bersedia melakukan sesuatu yang baru dan berani. Apa yang membataskan potensi kita bukanlah saiz fizikal tetapi kecerdasan minda dan kecekalan rakyat kita.

Marilah kita mencontohi sikap berani nenek moyang kita yang datang ke pulau ini dari jauh; lasak seperti ibu bapa dan datuk nenek kita, mereka mengharungi kesukaran di zaman peperangan dengan tabah dan berjaya membina semula kehidupan mereka; cekal seperti Generasi Perintis yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan dan mengasaskan negara kita; padu seperti Generasi Merdeka yang sama-sama menerajui usaha membawa Singapura dari taraf Dunia Ketiga ke Dunia Pertama. Marilah kita terus berusaha bersama-sama sebagai rakyat yang bersatu-padu untuk maju walau dalam keadaan dunia yang tidak menentu ini. Hakikatnya, kita harus memberanikan diri menghadapi cabaran kerana ia sebenarnya peluang-peluang baru. Ayuh, bersama kita cipta kisah-kisah kejayaan baru yang membanggakan untuk Singapura.

Selamat Hari Kebangsaan!

 

TOP