National Day Message 2023 (Malay)

Prime Minister's Office | 8 August 2023

Minister for Social and Family Development Masagos Zulkifli delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2023 in Malay. The message was recorded at SkyOasis@Dawson in Queenstown and telecast on 8 August 2023.

 

Saudara saudari sekalian:

Tahun ini, Singapura meraikan ulang tahun ke-58. Sebagai negara muda, banyak cabaran yang telah kita tempuhi. Setiap kali, semangat Singapura akan terpancar, dan kita bangkit lebih kukuh serta bersatu padu. Semangat inilah yang akan terus menyatukan kita, dalam masa-masa sukar mendatang.

Di seluruh dunia, inflasi masih menjadi cabaran. Saya maklum anda merasakan kesan kenaikan harga barangan. Pemerintah sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu anda. Kami pertingkatkan Pakej Jaminan dan sokongan lain untuk ringankan beban anda, terutamanya keluarga bergaji rendah atau pertengahan. Cabaran ini dijangka berlarutan. Namun, Pemerintah akan tetap bersama anda.

Pemerintah yang Baik, Kepercayaan dan Kewibawaan

Isu-isu akan timbul dari semasa ke semasa. Apabila ia berlaku, kami akan tanganinya dengan telus dan wajar. Inilah yang kami lakukan sebelum ini dan inilah yang kami lakukan kali ini.

Misalnya, baru-baru ini, apabila timbul kes-kes yang melibatkan para Menteri dan AP, ada yang mempersoalkan kewibawaan Pemerintah.

Dalam satu kes, timbul tuduhan tentang layanan istimewa. Dua Menteri yang terbabit disiasat dengan teliti. Mereka kemudian dibebaskan daripada sebarang tuduhan.

Dalam kes kedua, CPIB menemui sebab untuk menangkap dan menyiasat seorang Menteri. Siasatan rasmi dibuka, dan masih dijalankan.

Dalam kes ketiga, Speaker Parlimen dan seorang AP Pemerintah melanggar kod tingkah laku yang ditetapkan. Mereka letak jawatan.

Dalam ketiga-tiga kes, demi kemaslahatan negara, kami melindungi kewibawaan sistem pemerintahan kita, dan bertindak sewajarnya.

Anda tidak perlu ragu. Pemerintah ini, bertekad memastikan sistem kita bebas daripada sebarang bentuk rasuah dan salah laku. Kami akan kekalkan tahap kejujuran, kewibawaan, dan tatasusila tinggi yang diharapkan rakyat Singapura serta rakan-rakan antarabangsa kita.

Inilah caranya untuk kita memelihara, melindungi dan mengukuhkan kepercayaan rakyat Singapura terhadap Pemerintah dan sistem Singapura.

Kepercayaan ini membantu kita mengharungi pandemik sepanjang tiga tahun lalu. Kepercayaan ini telah membolehkan para pemimpin politik bekerja rapat dengan rakyat demi wujudkan pemerintah yang baik. Kepercayaan ini jugalah yang akan memastikan negara kita selamat dan kukuh dalam dunia bergelora.

Memandang ke Hadapan

Memandang ke hadapan, kami ada agenda yang menyeluruh. DPM Lawrence Wong dan pasukan 4G telah memulakan usaha Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward SG. Sepanjang setahun lalu, mereka telah adakan dialog dengan ribuan rakyat Singapura.

Forward SG mahu kukuhkan kontrak sosial kita. Setiap warga ada peranan terhadap masyarakat dan masa depan kita. Kita akan sama-sama mewujudkan satu wawasan bagi Singapura yang kita impikan dan melakar cara untuk bekerjasama demi menjadikan impian kita, satu kenyataan.

Perumahan

Antara impian utama rakyat Singapura ialah perumahan, khususnya, perumahan awam yang baik untuk didiami dan mampu dimiliki. Flat-flat HDB bukan sekadar tempat berteduh semata-mata. Ia juga kediaman yang kita banggakan, serta kawasan kejiranan di mana kita membina keluarga dan masyarakat kita.

Saya kini berada di SkyOasis di Dawson, Queenstown. Pada tahun 1950-an, di sinilah terbinanya antara flat-flat terawal Singapore Improvement Trust atau SIT sebelum wujudnya HDB. Sekitar 15 tahun lalu, kami bina flat-flat HDB baru dan segarkan ruang-ruang awamnya. Kini Dawson antara estet HDB yang paling menarik dan menyerlah dalam kisah perumahan Singapura.

Dekad demi dekad, Pemerintah terus melabur sumber yang banyak demi memastikan flat-flat HDB mampu dimiliki, mudah diakses, dan bermutu tinggi bagi jutaan rakyat Singapura.

Namun, sedang kita bina lebih banyak perumahan awam, semakin kuranglah tapak-tapak yang ada untuk bangunkan estet baru. Pada masa yang sama, estet-estet Bukan Matang semakin mantap berkembang sedang rangkaian pengangkutan dan kemudahannya bertambah baik.

Lantaran itu, lebih banyak flat HDB baru akan dibina di estet-estet "matang" seperti Dawson. Tentu sekali permintaan bagi flat-flat tersebut tinggi. Dan kalau tiada pembaharuan dasar, tentu sekali harga pelancaran serta jualan semulanya pun, sama tinggi.

Kami perlu membuat beberapa perubahan terhadap skim-skim perumahan HDB kerana kami mahu perumahan awam terus dimampui semua rakyat Singapura, tidak kira gaji mereka. Kami juga pastikan sistem yang adil, dan inklusif buat semua. Dan dasar ini akan kami kekalkan buat generasi-generasi seterusnya. Ini jaminan kami.

Kami ada beberapa idea. Butiran lanjut akan dibentangkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan nanti.

Menua dengan sihat

Selain memastikan flat HDB terus dimampui, kami sedang mengubah kediaman dan estet-estet kita agar lebih mesra warga emas.

Kerana hari ini, hampir 1 dalam 5 rakyat Singapura adalah warga emas berusia 65 tahun ke atas. Menjelang 2030, nisbahnya 1 dalam 4, atau suku daripada kita.

Contohnya, kami akan pasang papan tanda lebih jelas supaya warga emas tidak tersesat jalan. Kami akan bina lebih banyak tempat rehat dan zon mesra pejalan kaki agar warga emas lebih selesa. Kami juga akan pasang kelengkapan lebih mesra warga emas di kediaman mereka.

Kami akan perbaiki ruang-ruang masyarakat, bina lebih banyak Pusat Penuaan Aktif, dan pertingkatkan program serta kegiatan. Kami harap usaha-usaha ini akan menggalak warga emas menjalin rangkaian sosial yang bermakna dengan rakan-rakan serta jiran tetangga.

Saudara-saudari, dalam meniti usia senja, satu lagi perkara penting ialah simpanan CPF. Kami mahu pastikan rakyat dapat menabung secukupnya untuk persaraan semasa mereka masih bekerja. Untuk mencapai matlamat ini, kami pertingkatkan sistem CPF secara bertahap-tahap. Kami juga tawarkan bantuan khusus kepada para pekerja bergaji rendah, misalnya melalui skim Daya Kerja. Namun, masih ada pekerja lanjut usia yang kini berusia dalam lingkungan 50-an dan awal 60-an tahun yang belum cukup CPF untuk bersara. Mereka perlukan bantuan. Ini juga akan disentuh semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan nanti.

Dalam kita bersiap untuk hari tua, kita juga harus memainkan peranan dengan menjaga kesihatan dari awal lagi. Kesihatan yang baik tidak ternilai. Ayuh, daftarkan diri anda bagi program SG Yang Lebih Sihat atau Healthier SG dan jaga makan minum, kekalkan gaya hidup aktif serta terus bekerja selagi mampu. Bersama-sama, kita dapat membantu warga emas hidup lebih sempurna. Anggota keluarga pula dapat membantu dengan menjaga orang-orang tersayang dengan baik, galakkan mereka untuk bergerak aktif, dan ambil tahu kesejahteraan mereka.

Warga emas kita telah membina Singapura yang kini kita diami ini. Kini giliran kita untuk menjadikan Singapura tempat di mana setiap warga emas boleh menjalani hidup dengan rasa hormat, dan bahagia di samping rakan-rakan dan keluarga. Inilah visi kita. Inilah Singapura kita.

Melakar Hala Tuju Singapura

Saya telah sentuh tentang perumahan dan penuaan - dua topik penting yang dekat di hati kita. Inilah isu-isu yang sedang diperhalusi DPM Wong dan pasukannya.

Namun, agenda Forward SG meliputi lebih banyak perkara: bagaimana kita boleh persiapkan rakyat dengan kemahiran untuk belajar dan berjaya sepanjang hayat; bagaimana kita boleh bantu golongan yang mudah terjejas dan bagaimana kita boleh perkukuh perpaduan serta komitmen kita sebagai satu negara.

Pasukan 4G bakal menggulung usaha Forward SG pada lewat tahun ini. Saya sangat yakin, DPM Wong dan pasukannya mampu bekerja rapat dengan rakyat Singapura dan melakar hala tuju baru untuk kita.

Penutup

Para pemimpin asing sering kagum dengan Singapura, akan keupayaan kita untuk berfikir jauh dan menetapkan sasaran tinggi, serta menjadikan semua ini satu kenyataan.

Semua ini tidak mungkin tercapai tanpa kepercayaan yang kukuh antara rakyat dan Pemerintah. Inilah kelebihan Singapura yang membuat kita luar biasa. Marilah kita berpegang teguh pada amanah ini, dan jangan sesekali membiarkan ia rapuh.

Saudara-saudari sekalian, sedang kita mengimbas kembali pencapaian kita pada Hari Kebangsaan ini, kita juga mampu memandang ke depan dengan harapan tinggi, kerana masih banyak puncak jaya dalam kisah Singapura yang belum didaki. Marilah kita terus bercita-cita tinggi, bekerja keras, dan kekal bersatu padu. Bersama-sama, kita boleh mengharungi masa depan dengan penuh yakin dan terus Maju Bersatu.

Selamat Hari Kebangsaan!

Masih banyak puncak jaya dalam kisah Singapura yang belum didaki. Marilah kita terus bercita-cita tinggi, bekerja keras dan bersatu padu. Bersama-sama, kita boleh mengharungi masa depan dengan penuh yakin dan terus Maju Bersatu.

PM Lee Hsien Loong

TOP