May Day Message 2020 (Malay)

PM Lee Hsien Loong | 30 April 2020

PM Lee Hsien Loong delivered his May Day Message 2020 on 30 April 2020. PM Lee spoke in English, Malay, and Chinese. A Tamil translation of his speech is available.

 
Saudara saudari dari Gerakan Buruh

Warganegara Singapura sekalian

Tahun ini, kita menyambut Hari Buruh di tengah-tengah keadaan yang sangat mencabar.

Perkembangan mengenai COVID-19

Wabak COVID-19 terus menular.

Di Singapura, kita telah melaksanakan langkah pemutus rantaian jangkitan, hampir sebulan. Jumlah kes baru dalam masyarakat tempatan telah merosot kepada sekitar 10 hingga 15 kes sehari. Kita telah mencatat kemajuan yang baik, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan.

Di dormitori pekerja asing, jumlah kes masih tinggi. Mujur, kebanyakan kes tidak begitu serius kerana usia muda para pekerja. Kami terus berusaha untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Hari Buruh adalah hari meraikan sumbangan semua pekerja termasuk pekerja asing. Kepada semua pekerja asing di sini, terima kasih atas sumbangan anda kepada Singapura.

Saudara saudari sekalian, saya faham tempoh pemutus rantaian jangkitan telah mengakibatkan banyak kesulitan buat anda dan kita semua. Sekatansekatan ini telah menjejas perniagaan dan pekerjaan, dan menyebabkan banyak gangguan. Tetapi anda telah menunjukkan daya tahan yang tinggi, dan membuat penyesuaian dengan baik.

Saya amat berterima kasih kepada saudara dan saudari kita yang bekerja di perkhidmatan penting, yang memastikan Singapura terus berfungsi. Mereka termasuklah para doktor dan jururawat, pegawai perkhidmatan awam yang menjaga pekerja asing, kakitangan pengangkutan awam, pekerja pembersihan, para anggota kesatuan sekerja serta ramai lagi. Anda semua telah membuat pengorbanan besar dan sumbangan yang menjangkau lebih daripada tanggungjawab anda. Keluarga anda juga selalu berada di sisi anda, menyokong anda. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Mengatasi krisis dalam jangka masa terdekat ini

Wabak ini menjejas teruk ekonomi sejagat termasuk Singapura. Perdagangan dan pelaburan, iaitu nadi ekonomi kita, terganggu.

Pemerintah di seluruh dunia sedang melaburkan jumlah yang besar untuk menjaga rakyat dan cuba menghalang keruntuhan ekonomi mereka. Pemerintah Singapura juga telah berbuat demikian melalui tiga Belanjawan – Perpaduan, Daya Tahan dan Kesepakatan bernilai $60 bilion. Tetapi tidak seperti Pemerintah lain, kami tidak perlu meminjam wang untuk melaksanakannya. Kami dapat mengeluarkan wang dari rizab negara dengan izin Presiden.

Pemerintah menggunakan rizab untuk membantu syarikat-syarikat mengurangkan kos gaji mereka, menyelamatkan pekerjaan dan menolong mengurangkan kesulitan rakyat.

Justeru, saya menggalakkan para majikan dan pekerja untuk sama-sama berfikiran jauh. Para pekerja harus menerima pemotongan gaji untuk pastikan perniagaan berterusan. Majikan harus mencuba sedaya upaya untuk tidak membuang pekerja sebaik sahaja timbul masalah. Dengan cara ini, para pekerja akan mengenang dan membalas budi majikan mereka, menunjukkan taat setia dan menolong perniagaan supaya dapat bertahan. Syarikat-syarikat juga akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk berkembang semula, apabila ekonomi mula pulih.

Membangunkan semula ekonomi

Selepas langkah pemutus rantaian jangkitan berhasil, kita harus membangunkan semula ekonomi kita.

Ini bukan sesuatu yang mudah. Kita harus menggandakan ujian COVID-19 dan mempercepatkan pengesanan hubungan (contact tracing). Dan kita harus bergerak dengan berhati-hati, supaya jangkitan tidak kembali menular.

Kami akan membenarkan perkhidmatan mula beroperasi semula, sedikit demi sedikit dan tidak serentak. Perkhidmatan yang lebih penting akan bergerak lebih awal. Sektor lain perlu tunggu dahulu, terutama sekali yang menarik ramai pengunjung, seperti pusat hiburan atau acara sukan berskala besar.

Perubahan Struktur

Dalam jangka masa panjang, COVID-19 pasti akan menyebabkan banyak perubahan struktur kepada ekonomi global dan ekonomi Singapura. Beberapa industri akan terkubur. Oleh itu, syarikat-syarikat perlu menukar model perniagaan mereka untuk bertahan. Ada pekerjaan yang akan lenyap. Dan para pekerja dalam industri ini perlu mempelajari kemahiran baru, untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor-sektor baru. Kami akan menggandakan usaha untuk melindungi para pekerja bebas, dan pekerja dalam ekonomi gig, bagi memantapkan pendapatan mereka dalam keadaan yang kurang stabil.

Namun terdapat juga peluang-peluang baru. Kami akan berusaha gigih untuk membantu syarikat-syarikat menyesuaikan diri, dan melatih semula para pekerja bagi pekerjaan baru yang ada. Kami akan mempertingkatkan program-program SkillsFuture untuk melatih para pekerja secara besar-besaran. Kami tidak boleh menyelamatkan setiap pekerjaan, tetapi kami akan menjaga setiap pekerja dan keluarga anda.

Semua negara perlu menyesuaikan diri dengan dunia pasca COVID-19. Tetapi cabarannya bagi Singapura adalah lebih serius kerana kita adalah negara yang begitu kecil dan terdedah kepada arus globalisasi. Bagaimanapun, inilah juga kelebihan kita. Saiz kecil membolehkan kita untuk berdaya bingkas.

Yang lebih penting, kita memiliki ciri-ciri untuk berjaya. Salah satu ciri ini ialah hubungan rapat tiga pihak antara majikan, pekerja dan Pemerintah. NTUC dan Gerakan Buruh memainkan peranan penting. Bersama sama, kita telah mengatasi banyak cabaran sebelum ini. Dan kita akan terus bekerja rapat untuk mengatasi krisis ini.

Walau bagaimanapun dunia berubah, kita mesti sentiasa berjuang sebagai satu pasukan Singapura, berganding bahu melindungi golongan yang memerlukan, dan tidak mengabaikan sesiapa pun. Inilah sebabnya mengapa ketika virus ini mula merebak di dunia, Pemerintah membawa pulang rakyat Singapura yang berada di luar negara. Ini termasuk para pelajar kita di Timur Tengah. Kami tidak membiarkan mereka terbengkalai begitu sahaja. Inilah sebabnya kami mengambil berat tentang para pekerja asing kita. Inilah juga sebabnya mengapa kami menggunakan rizab kita, untuk mencegah pembuangan pekerjaan serta membantu golongan bergaji rendah.

Kesimpulan

Saudara saudari sekalian, perjalanan untuk pulih mungkin panjang dan sukar. Tetapi ini bukanlah suatu yang asing bagi Singapura.

Dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan, sewaktu menghadapi krisis, Generasi Perintis menunjukkan ketabahan dan keberanian. Mereka kuatkan azam dan usaha untuk menjamin masa depan sendiri dan anak-anak mereka. Generasi Merdeka pula bekerjasama dengan Generasi Perintis, membawa kita dari taraf dunia Ketiga ke dunia Pertama. Disebabkan kejayaan mereka mengharungi rintangan inilah, maka kita memiliki Singapura yang ada hari ini.

COVID-19 merupakan cabaran generasi kita. Virus ini adalah musuh yang kuat – tidak dapat dilihat, tetapi sangat menggerunkan. Kini giliran kita pula untuk membuktikan bahawa kita boleh mengatasi cabaran ini, sebagaimana ibu bapa dan nenek moyang kita menghadapi cabaran terdahulu. Saya sangat yakin, kita boleh mencapai matlamat ini.

Semoga anda sentiasa sihat dan sejahtera. Selamat Hari Buruh kepada semua rakyat Singapura!

* * * * *

 

TOP