National Day Message 2015 (Malay)

PM Lee Hsien Loong | 8 August 2015 | Victoria Theatre and Victoria Concert Hall

Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2015 in Malay. The message was recorded at the Victoria Theatre and Victoria Concert Hall and telecast on 8 August 2015.

 

Saudara saudari setanah air

Genap 50 tahun malam ini, Singapura sedang berada di ambang perubahan yang amat genting. Kabinet telah tandatangani Perjanjian Perpisahan. Kakitangan pencetakan Pemerintah, sibuk mencetak Perjanjian Perpisahan dan Perisytiharan Kemerdekaan untuk satu Warta Pemerintah khas. Pesuruhjaya Polis dan Panglima unit-unit angkatan bersenjata pula diberitahu oleh Kerajaan Malaysia supaya menerima arahan daripada pemerintah yang baru, keesokan harinya. Tetapi, semua itu dilakukan secara sulit. Hampir semua rakyat, tidur malam itu tanpa menyedari apa yang akan berlaku. Pada ketika itu mereka masih rakyat Malaysia.

Pada 9 Ogos 1965, dunia kita tiba-tiba berubah. Tepat jam 10 pagi, juruhebah radio membaca Perisytiharan itu. Singapura telah keluar dari Malaysia dan akan "menjadi sebuah negara berdaulat, demokratik dan merdeka buat selama-lamanya". Maka lahirlah Republik Singapura.

Orang ramai sangat resah. Tidak seorang pun yang pasti sama ada kita boleh berjaya tanpa sebarang bantuan. Ekonomi kita pada masa itu masih lemah. Kita langsung tidak ada sumber dan tidak ada angkatan bersenjata kita sendiri. Sekitar tengah hari pada hari pertama itu, Encik Lee Kuan Yew mengadakan satu sidang akhbar di TV. Sedang beliau bercakap, beliau tidak dapat menahan sebak hingga menitiskan air mata. Itu, menurut beliau, "suatu detik yang amat memilukan".

Tetapi detik pilu itu berubah menjadi satu perjalanan hidup yang dibulatkan dengan azam untuk menempa kejayaan bagi pulau ini. Di akhir sidang akhbar itu, Encik Lee berjanji kepada rakyat Singapura. Beliau berkata: "Kita akan menjadi sebuah negara berbilang bangsa di Singapura. Kita akan menjadi contoh. Ini bukan negara orang Melayu; bukan negara orang Cina; bukan negara orang India. Setiap orang akan ada tempat di sini, sama rata dari segi bahasa, budaya, agama."

Sejak perpisahan itu, kita berusaha membina sebuah tanah air. Ternyata ia satu perjalanan yang cukup hebat. Ia bermula dengan pemimpin generasi pertama meyakinkan anggota generasi perintis bahawa Singapura boleh berjaya sebagai sebuah negara berdaulat. Para pemimpin dan rakyat sama-sama tidak gentar. Mereka berganding bahu dan berjuang dengan penuh azam untuk membina asas kita. Selepas mereka, generasi lebih muda mengambil alih misi ini dan membawa Singapura ke tahap lebih ting

Tahun demi tahun, Singapura semakin maju. Kita berjaya atasi banyak masalah sepanjang perjalanan ini termasuk pengunduran tentera British pada tahun 71, Krisis Minyak tahun 73, wabak SARS serta Krisis Kewangan Asia dan kemudian Krisis Kewangan Dunia. Kita kembangkan ekonomi kita dan wujudkan pekerjaan. Kita dirikan rumah, sekolah, hospital dan taman. Kita berjaya membina sebuah tanah air.

Tahun demi tahun, kita berjaya kotakan janji-janji yang dibuat Encik Lee Kuan Yew pada 9 Ogos 1965, iaitu kita akan menjadi "rakyat yang bersatu padu, tidak kira bangsa, bahasa dan agama" dan masa depan kita akan sentiasa cerah.

Oleh itu, pada hari ulang tahun negara yang ke-50 ini, kita ada banyak sebab untuk meraikannya.

Marilah kita raikan keamanan dan keselamatan yang kita nikmati selama 50 tahun ini, hasil kerja keras anggota Perkhidmatan Negara kita dari satu generasi ke satu generasi.

Marilah kita raikan bagaimana kita mengubah kelemahan menjadi kekuatan kita. Daripada sebuah negara yang tidak mempunyai pasaran sendiri, kita berjaya menjadikan dunia pasaran kita dan mewujudkan pekerjaan bagi rakyat kita. Daripada sebuah negara tanpa kawasan pedalaman, kita membina Pelabuhan PSA dan Lapangan Terbang Changi yang terbaik di dunia. Daripada bergantung sepenuhnya kepada Johor untuk bekalan air, kita menjadikan seluruh pulau ini satu kawasan tadahan air dan mencipta AirBaru. Daripada tidak ada sumber alam, kita memberi pendidikan kepada setiap rakyat dan mewujudkan peluang untuk kembangkan bakat mereka. Kita buktikan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Yang paling utama, marilah kita raikan bagaimana kita sudah melangkah maju daripada sebuah negara Dunia Ketiga menjadi negara Dunia Pertama, sebagai rakyat yang bersatu padu, tanpa membiarkan sesiapa pun ketinggalan di belakang. Setiap rakyat meraih manfaat daripada kemajuan Singapura. Mutu kehidupan bertambah baik bagi semua rakyat – untuk kaum Cina, Melayu, India dan Serani; untuk pekerja kolar biru dan kolar putih; untuk penghuni flat HDB dan kondominium. Kita menjadikan sebuah Negara dengan ramai rakyatnya memiliki rumah sendiri. Semua orang berpeluang untuk tingkatkan diri. Semua orang boleh menjangkakan masa depan yang lebih cerah, terutama bagi anak-anak kita.

Setelah 50 tahun, sedang kita berada di tahap kemajuan yang tinggi, mari kita imbas kembali dan kagumi pencapaian kita. Kita amat terhutang budi kepada mereka yang telah membantu Singapura mencapai kemajuan ini.

Kita juga boleh memandang ke hadapan untuk melihat puncak jaya baru yang boleh kita raih. Perjalanan kita seterusnya adalah sesuatu yang belum diteroka. Tetapi kita mesti terus berusaha, kerana kita mahukan masa depan yang lebih baik untuk diri kita dan juga anak-anak kita.

Kita pasti mencapainya, kerana kita akan sentiasa saling menyokong dan membantu antara satu sama lain. Kita lebih teguh sebagai satu rakyat. Misalnya secara spontan, kita menderu mengangkat sebuah trak untuk selamatkan mangsa yang terperangkap di bawahnya; ketika muzik terhenti separuh jalan, kita terus menyanyikan dengan penuh semangat Majulah Singapura. Kita bangga dengan sejarah kita dan yakin terhadap masa depan kita. Bersama-sama, kita yakin dengan Singapura. Bersama-sama, kita jadikan Singapura tanah air kita. Bersama-sama, kitalah Singapura.

Sekarang ini saya berada di Dewan Konsert Victoria, tempat yang menyimpan seribu pengertian dalam lipatan sejarah Singapura. Pada tahun 54, tempat ini dikenali sebagai Dewan Peringatan Victoria. Di sinilah Encik Lee Kuan Yew merasmikan Parti Tindakan Rakyat, dan mengisytiharkan perjuangan untuk membina sebuah masyarakat yang adil dan saksama. Di sinilah pada tahun 58, lagu kebangsaan kita "Majulah Singapura" dipersembahkan buat pertama kalinya. Di Padang, selepas Merdeka, kita mengadakan Perbarisan Hari Kebangsaan, dan bersama-sama menyanyikan "Majulah Singapura".

Kini, selepas 50 tahun, iaitu tahun jubli emas kita, kita akan sekali lagi berhimpun di Padang pada Hari Kebangsaan kita. Kita akan menyanyikan "Majulah Singapura" dengan penuh bangga, dan melafazkan Ikrar Negara dengan bersemangat. Kita akan raikan kejayaan yang kita capai bersama sepanjang lima dekad yang lalu, dan perbaharui ikrar kita untuk bekerjasama membangunkan Singapura, demi mencapai kebahagiaan, kemakmuran dan kemajuan bagi negara kita.

Selamat Hari Kebangsaan ke-50!

 

TOP