National Day Message 2016 (Malay)

PM Lee Hsien Loong | 8 August 2016 | SAFRA Punggol

Minister for Communications and Information Dr Yaacob Ibrahim delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2016 in Malay. The message was recorded at SAFRA Punggol and telecast on 8 August 2016.

 

Saudara saudari sekalian,

Separuh abad lalu, ketika kita mengorak langkah untuk membangunkan negara, kita belum boleh menganggap diri kita sebagai “satu bangsa Singapura”. Pada masa itu, sukar untuk bayangkan bagaimana kita boleh berdikari dan teruskan kehidupan, apatah lagi untuk maju dan makmur bersama-sama.

Walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan, kita berjaya. Semasa menyambut SG50 tahun lalu, kita meraikan kejayaan ini. Kini, rakyat Singapura memiliki dan tinggal di kediaman yang indah. Pendapatan dan mutu kehidupan kita meningkat tahun demi tahun. Anak-anak kita mendapat pendidikan yang baik dan mempunyai masa depan yang cerah.

Yang paling penting, kita rakyat berbilang bangsa dan agama hidup bersama-sama dengan aman dan harmoni. Kita berkongsi ruang bersama, dan meraikan perayaan satu sama lain. Januari lalu, saya raikan Pongal dengan teman-teman India saya. Semasa Tahun Baru Cina, saya bertukar-tukar limau dengan teman-teman bukan Cina. Ramadan lalu, saya sertai beberapa majlis iftar dan nikmati acara-acara di Geylang Serai termasuk Bazar dan penyalaan lampu Hari Raya.

Semua ini unik - “Hanya berlaku di Singapura sahaja”.

Ini harus kita banggakan lebih-lebih lagi kerana pada mulanya kita tidak bersatu hati. Jadi jangan sekali-kali kita lupa, keharmonian yang kita nikmati ini sangat berharga dan jarang-jarang berlaku, juga betapa besarnya usaha dan keberanian untuk mewujudkannya. Apatah lagi untuk mengekalkannya. Apa yang kita nikmati ini sebenarnya satu pencapaian yang menakjubkan, lebih-lebih lagi memandangkan pergolakan dunia hari ini.

Cabaran Baru

Namun usaha untuk kita lebih kukuh bersatu padu, perlu diteruskan. Walaupun kita telah mencapai kemajuan besar, banyak cabaran baru terus menanti. Biar saya bentangkan tiga cabaran ini.

Pertama, kita memiliki sebuah masyarakat berbilang kaum yang harmoni, tetapi pengganasan oleh pihak pelampau boleh memecah-belahkan kita. Baru-baru ini, para pengganas yang terpengaruh dengan ISIS, melakukan beberapa serangan di Amerika Syarikat, Eropah, Turki, Bangladesh, dan juga di negara jiran kita, Malaysia serta Indonesia. Lebih banyak lagi boleh dijangkakan. Kita sedar Singapura juga menjadi sasaran. Kita telah menahan beberapa rakyat Singapura dan pekerja asing yang menjadi radikal secara sendiri. Jika berlaku serangan pengganas di sini, adakah kita akan bersatu padu, ataupun berpecah belah?

Kedua, kita semua telah menikmati hasil pertumbuhan ekonomi, tetapi ekonomi kita kini berada di satu persimpangan. Globalisasi dan perubahan teknologi mengakibatkan kegenjotan kepada pekerjaan dan cara kita hidup. Seluruh industri terpaksa melalui inovasi. Jika tidak, mereka akan gulung tikar. Para pekerja kita bimbang tentang pekerjaan mereka. Mereka berdepan dengan persaingan bukan saja daripada pekerja luar negara, bahkan daripada komputer dan robot. Bolehkah kita terus maju dan sama-sama berkongsi hasil pertumbuhan? Adakah masa depan anak-anak kita lebih cerah?

Ketiga, sistem politik kita sejauh ini telah mewujudkan pemerintah yang baik, membawa kestabilan dan kemajuan. Tetapi masyarakat kita sedang berubah dan perpaduan kita akan dicabar oleh tekanan-tekanan baru. Bagaimana dapat kita pastikan agar Singapura terus miliki politik yang bersih dan membina serta pemerintah yang berkesan dan stabil? Bagaimana kita boleh menghindari perangkap populisme atau kebuntuan politik?

Negara-negara lain yang berdepan dengan cabaran serupa, kini menghadapi masalah. Di negara-negara berbilang agama, pengganasan menimbulkan kesangsian dan ketegangan. Di banyak negara maju, pertumbuhan tidak seimbang dan hanya memanfaatkan segelintir penduduk sahaja. Di bandar-bandar dunia, sukar untuk para graduan mendapat kerja dan pasangan muda pula tidak mampu untuk miliki rumah.

Akibatnya, politik di banyak negara telah menimbulkan perpecahan dan kemarahan. Para pengundi semakin hilang kepercayaan kepada parti-parti yang berpendirian sederhana. Sebaliknya, pandangan dan parti-parti pelampau, kian mendapat sokongan — bukan kerana mereka menawarkan huraian yang lebih baik, tetapi kerana mereka melahirkan rasa marah pengundi terhadap para pemimpin dan rasa kecewa terhadap keadaan sekeliling. Pungutan suara Brexit merupakan suatu contoh yang jelas.

Bagaimana caranya untuk pastikan Singapura berbeza?

Bolehkah Singapura menentang tekanan-tekanan ini? Negara-negara lain ada lebih banyak sumber, kawasan pedalaman yang lebih luas, sejarah yang lebih lama dan jati diri yang lebih kukuh. Sungguhpun begitu, mereka menghadapi pelbagai masalah. Bolehkah Singapura berbeza dari mereka? Saya percaya kita boleh!

Pertama, mengenai pengganasan, kita akui ancamannya secara jujur. Masyarakat Islam Singapura tidak takut untuk mengambil pendirian tegas, untuk mengutuk serangan-serangan pengganas dan ideologi songsang para pelakunya. Dan masyarakat bukan Islam Singapura dapat membezakan dengan jelas, antara rakan-rakan Muslim senegara mereka yang mencintai kedamaian dengan pengganas jihadi. Oleh itu, kita bersatu padu, dan memperteguh kepercayaan terhadap masyarakat berbilang agama kita.

Kedua, untuk membolehkan kita semua mengecap kemakmuran bersama, kami melabur dalam setiap rakyat Singapura. Kami perluas dan pertingkatkan semua prasekolah, untuk memberi setiap kanak-kanak permulaan yang baik dalam kehidupan. Sekolah-sekolah kita memenuhi keperluan pelbagai bakat supaya setiap pelajar boleh mencapai potensi dan impian masing-masing. SkillsFuture akan membantu setiap rakyat mempertingkatkan diri dan memiliki kemahiran baru yang berharga. Kami menyokong syarikat yang berusaha untuk berubah dan menjalani inovasi melalui R&D supaya kita boleh cipta pekerjaan baru dalam ekonomi dunia yang berubah-ubah.

Bagi membantu kita berdepan dengan lebih banyak keadaan yang tidak menentu, kami menguatkan lagi jaringan keselamatan sosial kita. Ini termasuk Pakej Generasi Perintis, Skim Daya Kerja, MediShield Hayat, CPF Life dan Skim Ihsan Senja. Kami akan pastikan skim-skim ini berkekalan kerana anak-anak kita tidak harus dibebankan dengan hutang.

Akhir sekali, bagi memastikan pemerintah yang baik, kami pastikan politik kita bersifat membina dan sedang mengemaskini sistem politik kita. Rakyat Singapura berganding bahu untuk menghuraikan masalah dengan melaksanakan sesuatu seperti membangunkan semula Pulau Ubin hinggalah kepada melakarkan masa depan ekonomi. Kami sedang memperhalusi sistem pilihan raya kita, untuk mengecilkan GRC dan menambah jumlah SMC. Suruhanjaya Perlembagaan sedang mengkaji saranan untuk memperbaiki sistem Presiden Dipilih supaya ia boleh menjadi pemantap dan sebuah institusi yang menyatupadukan rakyat dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun, faktor yang paling asas untuk memastikan Singapura kekal luar biasa bukanlah perancangan yang baik atau sumber yang mencukupi; tetapi sama ada kita kekal bersatu padu. Azam yang kita kongsi untuk sama-sama mengatasi cabaran, yang akan menentukan sama ada kita berjaya atau tewas, dan sama ada anak-anak kita mempunyai masa depan yang lebih cerah.

Saya yakin kita akan kekal bersatu padu dan berjaya. SG50 memperteguh jati diri dan semangat kenegaraan kita. Rakan kongsi tiga pihak sedang bekerja rapat untuk mempertingkat para pekerja dan ekonomi kita. Estet-estet perumahan kita didiami masyarakat berbilang kaum yang bersepadu dengan anggotanya bukan sahaja hidup berjiran tetapi saling kenal, meraikan perayaan serta ambil berat antara satu sama lain. Ramai rakyat Singapura meluangkan masa mendampingi warga emas dan mereka yang susah serta membantu golongan kurang upaya.

Tahun ini, ramai rakyat Singapura mengambil bahagian dalam inisiatif SGfuture dan berjaya melancarkan banyak projek untuk memperbaiki Singapura – supaya ia menjadi sebuah masyarakat yang lebih penyayang, mendorong satu sama lain terus belajar dan berkongsi kemahiran, serta membina kediaman yang lebih bersih dan bijak. Semua projek ini mencerminkan semangat untuk berbakti, rela meluangkan masa dan tenaga demi membentuk kediaman yang lebih baik untuk kita semua.

Inilah erti sebenar perpaduan. Ia lebih daripada hanya satu perasaan. Ia adalah satu azam kukuh untuk bersatu padu, biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran dan perlu berkorban. Azam kuat nenek moyang kita “sebagai rakyat yang bersatu padu, tidak kira apa bangsa, bahasa atau agama,” telah mendorong mereka untuk mengubah Singapura sepanjang 50 tahun lalu. Azam inilah yang akan membawa kita menempuh 50 tahun akan datang.

Pada Hari Kebangsaan kali ini, saya harap setiap kita akan renungkan erti perpaduan ini. Di Kelab SAFRA Punggol yang baru ini, anda boleh lihat sendiri Singapura yang sedang kita bina bersama. Flat-flat HDB, Taman Perairan Punggol, anggota kerahan dan keluarga mereka serta masyarakat sekeliling – semua bukti bahawa banyak yang boleh dicapai jika kita bersatu padu.

Marilah kita perbaharui komitmen kita kepada Singapura dan terhadap satu sama lain. Di sinilah tempat tinggal keluarga dan teman-teman kita. Di sinilah letaknya masa depan dan harapan kita. Semua ini sangat-sangat berharga kepada kita. Semua ini harus dipertahankan dengan seluruh jiwa raga kita.

Selamat Hari Kebangsaan!

 

TOP