National Day Message 2017 (Malay)

PM Lee Hsien Loong | 8 August 2017 | Bay East Garden at Gardens by the Bay

Minister for Communications and Information Dr Yaacob Ibrahim delivered Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Message 2017 in Malay. The message was recorded at Bay East Garden at Gardens by the Bay and telecast on 8 August 2017.

 

Saudara saudari sekalian,

Saya kini berada di Taman Pesisiran Timur, di bahagian timur Taman di Pesisiran.

Semasa Singapura mencapai kemerdekaan, tempat ini merupakan lautan terbuka. Namun, memandang dari tepi pantai, para pemimpin pengasas kita tidak hanya melihatnya sebagai sebuah perairan dengan keterbatasan geografi. Mereka membayangkan kawasan ini sebagai sebuah hab komersil, perumahan dan gaya hidup yang pesat berkembang, sebuah pusat bandar baru yang cukup dinamik. 

Oleh itu, sedekad demi sedekad kita menambak kawasan Marina Central, Marina South dan Marina East, demi menjadikan wawasan itu satu kenyataan. Hari ini, kita memiliki pusat kewangan baru di Marina South. Kita ada Bendungan Marina dan Taman di Pesisiran. Kita boleh berbangga dengan latar langit Marina Bay, yang diiktiraf dan dikagumi dunia.

Sewaktu Marina Bay sedang dilakar dan dirancangkan, Singapura turut menghadapi cabaran lain yang mendesak. Kita membangunkan SAF, menarik pelaburan dan mewujudkan pekerjaan, menyediakan perumahan untuk penduduk dan mendidik golongan muda kita. Namun para pemimpin kita faham peri pentingnya berpandangan jauh, melangkaui masalah ketika itu, dan bersiap sedia untuk masa hadapan. Kini, kita menikmati ganjaran daripada pandangan jauh dan wawasan mereka.

Selepas 52 tahun, kita masih berdepan dengan isu-isu yang mendesak, baik di dalam mahupun di luar negara. Dunia kian bergolak dan  tidak menentu. Pengganasan terus menjadi satu ancaman yang besar dengan serangan kerap berlaku di seluruh dunia dan semakin dekat dengan kita. Perdagangan antarabangsa yang menjadi nadi pertumbuhan ekonomi kita, kini digugat dasar-dasar perlindungan. Kami sedang giat mempertingkatkan ekonomi kita. Para pelajar dan pekerja kita kini menguasai kemahiran baru dan bergerak seiring dengan perkembangan teknologi.  

Pemerintah bekerjasama dengan anda untuk  mengatasi isu-isu ini, dan  kita mencatat kemajuan sejauh ini. Kita lebih berwaspada demi melindungi diri kita daripada pengganasan pihak pelampau; dan satu tugas utama ialah untuk memperkukuhkan keharmonian kaum kita. Kami sedang bekerjasama dengan pelbagai syarikat dan para pekerja untuk mentranformasikan industri  satu demi satu, serta bersiap sedia untuk menghadapi ekonomi masa hadapan. Tahun ini, kita menjangkakan pertumbuhan ekonomi sekitar 2.5%, iaitu kadar yang lebih tinggi berbanding tahun lalu. 

Bagaimanapun, dalam mengatasi isu-isu semasa, kita juga harus berpandangan jauh dan bersiap sedia untuk masa hadapan. Tahun ini, saya ingin membentangkan tiga perkara yang akan membawa manfaat kepada kita dalam jangka panjang iaitu pendidikan prasekolah, usaha mengekang kencing manis, dan Negara Bijak. Ini akan membantu kita memulakan kehidupan dengan baik, kekal sihat, dan bekerja dengan bijak.

Pertama, kita mesti memperkasa rakyat muda Singapura untuk menghadapi dunia baru. Kita ingin agar setiap kanak-kanak memiliki asas yang kukuh untuk mulakan kehidupan, dan masa depan yang cerah. Kami melabur bagi memperkukuhkan prasekolah, kerana pendidikan awal membangunkan asas penting bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga sepanjang hayat. Kami akan menambah bilangan tempat, mempertingkatkan mutu pendidikan, dan menaik taraf kelayakan guru-guru prasekolah.

Jumlah prasekolah yang lebih besar dan lebih bermutu akan meringankan beban ibu bapa. Ibu bapa akan berasa tenang ketika bekerja kerana mereka yakin anak kecil mereka diasuh dengan baik. Kami ingin membantu dan menggalakkan mereka agar hidup berkeluarga.

Kedua, kita mahu rakyat Singapura menikmati umur yang panjang dan kekal sihat. Kita memiliki doktor dan hospital yang bermutu tinggi. Tetapi adalah lebih baik kita menjaga kesihatan supaya tidak perlu ke hospital langsung! Jangka hayat rakyat Singapura semakin meningkat. Tetapi secara purata warga tua kita sakit sepanjang lapan tahun terakhir hayat mereka. Lapan tahun ialah jangka masa yang panjang dan ini boleh menjadi beban buat keluarga mereka.

Satu penyebab utama yang menjejas kesihatan warga senja ialah  kencing manis. Hampir satu pertiga daripada mereka yang berumur 60 tahun ke atas menghidapi kencing manis. Pada awalnya, kesannya tidak nyata. Namun lama-kelamaan, ia boleh mengakibatkan pesakit menjadi buta, menghidap penyakit jantung, kerosakan ginjal, atau anggota badan terpaksa dipotong.

Inilah sebabnya kita perlu memperhebat usaha mengekang  kencing manis. Ia bukan hanya soal memperbanyakkan kemudahan hospital dan rawatan yang lebih baik. Yang lebih genting ialah pilihan dan gaya hidup setiap individu untuk mencegah kencing manis. Kita mesti bertanggungjawab atas kesihatan diri kita sendiri. Kita perlu memerhatikan gaya hidup kita dan menjaga pemakanan kita, kerap bersenam, minum air putih dan bukan minuman ringan. Ini mesti dilakukan ketika kita masih muda lagi. Itulah caranya untuk mengurangkan risiko menghidap kencing manis, kekal sihat, dan menikmati mutu hidup yang baik.

Ketiga, kita mahu menggunakan IT sepenuhnya supaya ia boleh mencipta peluang dan pekerjaan untuk kita dan menjadikan Singapura sebuah negara unggul untuk didiami, bekerja dan beriadah. Inilah azam kita untuk menjadi sebuah Negara Bijak. Secara semulajadi, kita ada kelebihan. Kita merupakan sebuah masyarakat yang sangat terhubung dan celik digital. Malah, jumlah telefon bijak kita melebihi bilangan orang di Singapura. Namun, banyak yang masih perlu kita usahakan. 

Negara-negara lain telahpun menggunakan pembayaran elektronik bagi menggantikan bayaran wang tunai, membina rangkaian penderia untuk meningkatkan keselamatan awam, dan menganalisis data raya bagi memperbaiki khidmat untuk orang ramai. Kita mesti belajar daripada mereka dan melangkah lebih jauh lagi. Dengan menggunakan IT untuk aplikasi gunaan, tidak kira besar atau kecil, kita boleh memperbaiki kehidupan kita, dan menjadikan negara kita tempat yang seronok dan menarik.

Saya akan sentuh lagi tiga perkara ini di Rapat Umum Hari Kebangsaan kelak. Kita perlu mecorak masa depan untuk generasi akan datang, seperti mana nenek moyang kita mencorak kemajuan yang kita nikmati hari ini. Taman Pesisiran Timur ini membuktikan bagaimana satu impian untuk Singapura telah menjadi kenyataan, dan ia boleh terus dicapai oleh generasi kita.

Semasa Jawatankuasa Memperingati Pemimpin Pengasas mendapatkan pandangan orang ramai tentang lokasi sesuai bagi Memorial Pengasas, sebahagian besar anda memilih Taman Pesisiran Timur. Pilihan ini wajar, dan Pemerintah turut bersetuju. Memandang ke seberang Taman Pesisiran Timur, kita diingatkan kembali tentang nilai-nilai dan warisan peninggalan para pemimpin pengasas kita. Ini membakar azam kita untuk terus memajukan Singapura. 

Encik Lee Kuan Yew pernah bertanya: “Pada dasarnya, siapakah yang harus kita utamakan dalam kita menjalankan kewajipan sebagai Pemerintah? 

Jawapan beliau: “Tentunya untuk generasi masa hadapan. Bukan hanya untuk generasi masa sekarang, dan sudah tentunya bukan untuk generasi terdahulu.”  

Inilah semangat Singapura. Sentiasa berpandangan jauh, merancang ke hadapan dan terus berada di petak hadapan supaya apabila masa depan itu tiba, kita sudah bersedia untuk mengharunginya dan berkembang maju. Inilah tunggak kejayaan kita. Inilah yang harus kita terus lakukan bersama-sama demi membuka peluang-peluang baru untuk diri kita dan anak-anak kita.

Selamat Hari Kebangsaan.

TOP