- Home
- National Awards
- National Awards Investiture Citations from 2020
- National Awards Investiture Citations 2025
- 2025 National Awards Investiture Citations (Malay)
2025 National Awards Investiture Citations (Malay)
Read more on the citations.
The Order Of Nila Utama
[Darjah Utama Nila Utama]
1. ENCIK TAN GEE PAW
Mantan Pengerusi, Kumpulan Lapangan Terbang Changi
PUJI-PUJIAN
Encik Tan Gee Paw merupakan seorang yang berwawasan dan sumbangannya telah mempengaruhi secara mendalam usaha menjamin bekalan air Singapura, kebolehpercayaan perkhidmatan rel dan daya saing hab penerbangan.
“Segala-galanya di Singapura mesti tunduk kepada keperluan memastikan bekalan air kita terjamin,” kata Perdana Menteri pengasas Encik Lee Kuan Yew. Encik Tan merupakan antara sekumpulan kecil penjawat awam yang tidak gentar dengan cabaran ini dan membantu mencapai wawasan ini. Semasa tempoh perkhidmatannya selaku Pengerusi Agensi Air Nasional Singapura, PUB, beliau mengukuhkan jaminan bekalan air Singapura melalui inisiatif-inisiatif berani dan inovatif. Beliau memperjuangkan usaha kitar semula air berskala besar seperti NEWater dan menyelia pembangunan projek-projek prasarana jangka panjang yang penting, termasuk projek ikonik, Bendungan Marina.
Selaku Pengerusi Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG), Encik Tan mengemudi pertubuhan tersebut mengharungi pandemik COVID-19. Kepimpinan beliau yang bijaksana memastikan Lapangan Terbang Changi kekal fokus kepada misi terasnya sebagai hab penerbangan, membolehkan lapangan terbang tersebut pulih dengan pantas dan sepenuhnya pasca pandemik. Di bawah bimbingan beliau, CAG memajukan inisiatif-inisiatif inovasi dan kemampanan serta meningkatkan kecekapan operasi. Pertubuhan tersebut juga melaksanakan penambahbaikan prasarana penting, termasuk projek Changi East dan reka bentuk Terminal 5.
Selaku Penasihat Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Kementerian Pengangkutan, Encik Tan memberikan nasihat bernas mengenai cabaran-cabaran teknikal dan sistem yang kompleks. Beliau memainkan peranan penting dalam menyatukan para pengendali perkhidmatan rel Singapura bagi mencapai sasaran kebolehpercayaan rel yang dikongsi bersama.
Atas sumbangan penting beliau kepada Singapura dalam pelbagai bidang utama, Encik Tan Gee Paw dianugerahkan Darjah Utama Nila Utama.
The Distinguished Service Order
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]
2. PROFESOR LUI PAO CHUEN
Profesor Pertahanan Temasek,
Institut Sistem Pertahanan Temasek
Pengerusi, Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura
Mantan Pengerusi, Panel Penasihat Projek Pembangunan Kementerian Kewangan
PUJI-PUJIAN
Profesor Lui Pao Chuen telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dan kecemerlangan di Kementerian Pertahanan selama lebih empat dekad. Selaku Ketua Saintis Pertahanan pengasas, beliau menerajui kemajuan transformatif dalam keupayaan dan sistem pertahanan Singapura.
Seorang penyokong kuat kaedah pemikiran sistem, Profesor Lui terus membuat sumbangan yang berkesan dalam banyak bidang setelah beliau bersara, termasuk dalam pembangunan dan perancangan bandar, sains dan teknologi, serta pendidikan. Selaku Pengerusi Panel Penasihat Projek Pembangunan Kementerian Kewangan, beliau menyumbangkan kepimpinan strategik dalam semakan keberkesanan kos bagi projek-projek prasarana awam utama, termasuk Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, Pelabuhan Tuas, dan sistem perlindungan kawasan pantai.
Selaku Pengerusi Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura serta Panel Penilaian Projek Lembaga Perbekalan Awam, beliau memajukan kepakaran dan keupayaan penyelidikan Singapura dalam sains nuklear dan kemampanan sumber air. Di Institut Sistem Pertahanan Temasek, beliau mengajar dan menjadi inspirasi kepada generasi demi generasi saintis pertahanan dan jurutera sistem. Profesor Lui turut berkhidmat selaku Penasihat bagi banyak kementerian termasuk Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Nasional dan Kementerian Ehwal Luar serta Yayasan Penyelidikan Nasional.
Atas sumbangan beliau selaku perintis yang banyak kepada Singapura, Profesor Lui Pao Chuen dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.
The Distinguished Service Order (Posthumous)
[Darjah Utama Bakti Cemerlang (Anumerta)]
3. MENDIANG ENCIK LIM TZE PENG
Pelukis
PUJI-PUJIAN
Mendiang Encik Lim Tze Peng merupakan tokoh ikonik dalam sejarah seni Singapura yang dihormati atas sumbangan beliau selaku perintis dalam seni lukisan dakwat Cina dan kaligrafi.
Gaya “tulisan celaru” Encik Lim yang tersendiri dan adunan warna yang inovatif ke dalam kaligrafi klasik Cina telah membawa pembaharuan besar dalam bentuk seni tersebut. Dalam siri lukisan beliau yang terkenal Old Singapore Series, Encik Lim dengan mahir merakamkan warisan Singapura sambil menggambarkan intipati kawasan Chinatown dan Sungai Singapura. Karya-karya yang menyentuh perasaan ini mendokumentasikan transformasi negara dan memperkukuh hubungan rakyat Singapura dengan warisan budaya mereka.
Seorang pendidik yang berdedikasi, Encik Lim mengimbangi pelibatan seni beliau dengan peranannya selaku Pengetua Sekolah Xin Min. Pada 2022, beliau mengasaskan The Art Abode: Lim Tze Peng Gallery bagi memastikan karya-karya beliau terus memberi inspirasi dan mendidik generasi akan datang.
Karya seni Encik Lim telah dipamerkan di balai-balai seni tersohor di seluruh dunia, termasuk Galeri Saatchi dan Grand Palais. Beliau merupakan pelukis Singapura pertama yang mengadakan pameran solo di Muzium Seni Nasional China dan Muzium Seni Liu Haisu.
Atas sumbangan luar biasa beliau kepada seni visual Singapura, mendiang Encik Lim Tze Peng dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang (Anumerta).
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
4. ENCIK CHAN HENG KEE
Setiausaha Tetap (Pertahanan)
Setiausaha Tetap (Pejabat Perdana Menteri) (Tugas Khas)
PUJI-PUJIAN
Selaku Setiausaha Tetap (Pertahanan), Encik Chan Heng Kee memainkan peranan kepimpinan utama dalam memajukan kepentingan dan keupayaan pertahanan negara kita.
Beliau mengukuhkan kerjasama pertahanan dua hala dan meningkatkan sumbangan Singapura kepada platform pertahanan pelbagai pihak. Encik Chan memainkan peranan penting dalam menubuhkan Perkhidmatan Digital dan Perisikan SAF serta memacu semakan perkhidmatan dan dasar Perkhidmatan Negara bagi mempertingkatkan sumbangan dan pengalaman anggota Perkhidmatan Negara. Di bawah kepimpinannya, strategi Pertahanan Mutlak dibentuk semula dan Latihan SG Ready diperkenalkan untuk mempersiapkan rakyat Singapura dengan lebih baik bagi menghadapi krisis dan gangguan.
Dalam jawatan terdahulu beliau selaku Setiausaha Tetap (Kesihatan), Encik Chan memimpin penyusunan semula rangka kerja penjagaan kesihatan awam kepada tiga kelompok kesihatan daerah bersepadu dan menyelia pembangunan skim nasional CareShield Hayat. Sebelum itu, di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, beliau menubuhkan Pejabat Khidmat Sosial dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak.
Atas sumbangan beliau yang banyak kepada Singapura, Encik Chan Heng Kee dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
5. ENCIK JANADAS DEVAN
Timbalan Setiausaha, Pejabat Perdana Menteri
Penasihat Kanan, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital
PUJI-PUJIAN
Selaku Timbalan Setiausaha di Pejabat Perdana Menteri dan Ketua Perhubungan Pemerintah yang pertama, Encik Janadas Devan telah mentakrifkan semula bidang tugas perhubungan sektor awam.
Beliau mengemudi penyelarasan seluruh pemerintah, menubuhkan pusat operasi nasional yang beroperasi 24 jam, dan memajukan keupayaan dalam penyelidikan serta analitik data. Sebagai penyokong kuat pendidikan dan latihan, beliau mengasaskan Akademi Perhubungan dan Penglibatan Awam bagi melengkapkan pegawai awam dengan kemahiran komunikasi penting. Kepimpinan beliau dalam perhubungan pemerintah memainkan peranan penting dalam mengekalkan kepercayaan awam semasa pandemik COVID-19.
Sumbangan Encik Devan turut meliputi penyelidikan dasar dan kepimpinan pemikiran. Selaku Pengarah Institut Pengajian Dasar, beliau mengubah persidangan Singapore Perspectives menjadi forum dasar utama Singapura dan melancarkan Fellowship S R Nathan yang berprestij. Selaku Pengerusi Yayasan Antarabangsa Singapura, beliau telah mengukuhkan perkongsian dan rangkaian di peringkat global.
Atas sumbangan cemerlang beliau kepada Singapura, Encik Janadas Devan dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
6. CIK EULEEN GOH YIU KIANG
Mantan Pengerusi, SATS
PUJI-PUJIAN
Selaku Pengerusi SATS Ltd, Cik Euleen Goh Yiu Kiang memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab penerbangan terkemuka.
Kepimpinan berwawasan beliau menyumbang kepada kecemerlangan perkhidmatan, daya tahan dan pertumbuhan berterusan SATS dan Lapangan Terbang Changi. Semasa pandemik COVID-19, beliau mempamerkan semangat tiga pihak Singapura melalui kerjasama rapat dengan Pemerintah, industri dan kesatuan sekerja bagi melindungi perkhidmatan dan rantaian bekalan penting. Kepimpinan teguh beliau membolehkan Lapangan Terbang Changi bangkit dengan lebih kukuh selepas pandemik.
Di luar sektor penerbangan, Cik Goh memberikan sumbangan yang berkekalan dalam sektor pendidikan. Selaku Pengerusi Pengasas Lembaga Gabenor Sekolah Northlight, beliau memperjuangkan laluan untuk pelajar yang menyerlah dalam persekitaran pembelajaran amali dan gunaan. Beliau juga pernah berkhidmat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Perempuan Cina Singapura dan Rektor Kolej Cinnamon di Universiti Nasional Singapura.
Atas sumbangan cemerlang beliau kepada sektor penerbangan dan pendidikan Singapura, Cik Euleen Goh Yiu Kiang dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
7. DR NOELEEN HEYZER
Ahli Sains Sosial
PUJI-PUJIAN
Dr Noeleen Heyzer merupakan wanita rakyat Singapura dan wanita Asia Tenggara pertama berkhidmat selaku Penolong Setiausaha Agung dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sepanjang tempoh perkhidmatan cemerlang selama lebih dua dekad di PBB, Dr Heyzer telah memberikan sumbangan bermakna dalam memajukan hak-hak wanita, usaha membina keamanan dan pembangunan mampan. Selaku Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia dan Pasifik (ESCAP), beliau membentuk dasar-dasar serantau dalam pembangunan mampan serta mendorong kerjasama dalam tindak balas bencana, daya tahan iklim dan kesaksamaan sosial. Tempoh khidmat beliau selaku Pengarah Eksekutif Dana Pembangunan PBB untuk Wanita (UNIFEM) terserlah dengan penerimaan Resolusi 1325 Majlis Keselamatan PBB mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan, serta penubuhan Tabung Amanah PBB bagi Mengakhiri Keganasan Terhadap Wanita. Beliau turut berkhidmat selaku Duta Khas PBB ke Myanmar dan Penasihat Khas untuk Timor Leste.
Atas usaha beliau memertabatkan kedudukan antarabangsa Singapura, Dr Noeleen Heyzer dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
8. ENCIK HOONG WEE TECK
Pesuruhjaya Polis
PUJI-PUJIAN
Selaku Pesuruhjaya Polis, Encik Hoong Wee Teck menyumbang kepimpinan berwawasan kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) dan memartabatkan kedudukan Singapura sebagai salah sebuah negara yang paling selamat di dunia.
Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, SPF berjaya mencatatkan kadar jenayah paling rendah, sedang pasukan itu mengharungi cabaran-cabaran rumit, seperti ancaman jenayah siber rentas negara yang semakin meningkat dan ancaman keganasan yang kian berubah. Encik Hoong menerajui inisiatif transformatif, termasuk penubuhan Pasukan Anti-Penipuan dan Pasukan Respons Kecemasan bagi menangani cabaran jenayah penipuan, serta penggunaan huraian teknologi bagi meningkatkan keberkesanan operasi. Komitmen beliau terhadap inovasi menjadikan SPF peneraju global dalam bidang kepolisan berasaskan teknologi. Encik Hoong juga memperkukuh kerjasama di peringkat masyarakat tempatan dan antarabangsa. Di bawah kepimpinan beliau, SPF meraih kepercayaan rakyat Singapura dan mengharumkan nama baik negara di peringkat antarabangsa.
Sebagai mengiktiraf sumbangan cemerlang beliau terhadap keselamatan dan keamanan di Singapura, Encik Hoong Wee Teck dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
9. DR SUDHA NAIR
Ketua Pegawai Eksekutif, PAVE
PUJI-PUJIAN
Selaku pekerja sosial perintis dan pendidik penuh inspirasi, sumbangan Dr Sudha Nair telah mengubah landskap kerja sosial di Singapura.
Beliau memulakan kerjayanya di Pusat Khidmat Keluarga Ang Mo Kio pada ketika itu, dan kemudian menubuhkan Pusat Menggalak Langkah Alternatif terhadap Keganasan (atau PAVE) pada tahun 1999. Di bawah kepimpinan beliau, PAVE memperkenalkan banyak inisiatif yang inovatif dan memberi kesan besar, termasuk penubuhan pusat pakar bersepadu pertama di Singapura bagi menangani keganasan rumah tangga, perlindungan kanak-kanak dan penderaan seksual.
Selaku Penolong Pensyarah di Jabatan Kerja Sosial Universiti Nasional Singapura, Dr Nair menjadi inspirasi dan membimbing generasi demi generasi pekerja sosial muda. Tempoh perkhidmatan awam cemerlang beliau juga termasuk berkhidmat selaku Anggota Gantian Majlis Penasihat Presiden serta Anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Atas sumbangan perintis beliau dalam sektor kerja sosial, sokongan teguh beliau dalam menentang keganasan rumah tangga, serta khidmat contoh beliau kepada negara, Dr Sudha Nair dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
10. USTAZ PASUNI BIN MAULAN
Anggota, Majlis Tertinggi
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS)
PUJI-PUJIAN
Ustaz Pasuni Bin Maulan telah berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada masyarakat Islam selama berdekad lamanya, mengukuhkan institusi-institusinya dan membangunkan para anggotanya.
Selaku anggota Lembaga Pengiktirafan Asatizah sejak 2007 dan kemudiannya selaku Pengerusi sejak 2023, beliau memainkan peranan penting dalam menubuhkan Skim Pengiktirafan Asatizah dan memajukan Pendidikan Profesional Berterusan untuk guru-guru agama. Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Ustaz Pasuni membimbing madrasah tersebut untuk mencapai status sekolah International Baccalaureate bertaraf dunia.
Selaku Naib Pengerusi Masjid Tentera Di Raja, Ustaz Pasuni telah memulakan program Mudik Ke Hulu bagi menyediakan wadah penting untuk mendekati golongan belia berisiko. Berkhidmat sebagai Kadi selama lebih lima dekad, Ustaz Pasuni membangunkan program Bersamamu daripada satu usaha di peringkat akar umbi hingga menjadi sebuah program peringkat nasional yang menawarkan bimbingan perkahwinan dan keibubapaan. Hampir 30,000 pasangan Muslim telah meraih manfaat daripada program tersebut.
Atas dedikasi yang tidak berbelah bagi dan khidmat beliau yang cemerlang kepada masyarakat Islam Singapura, Ustaz Pasuni Bin Maulan dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
11. ENCIK DAVINDER SINGH SC
Pengerusi, Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura
PUJI-PUJIAN
Encik Davinder Singh SC (Peguam Kanan) telah membentuk landskap undang-undang dan timbang tara Singapura selama empat dekad.
Selaku Pengerusi Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC) sejak 2016, beliau memainkan peranan penting dalam meningkatkan SIAC ke tahap kemasyhuran global. Di bawah kepimpinan beliau yang berwawasan, SIAC muncul sebagai salah sebuah institusi timbang tara yang paling digemari di peringkat dunia, diiktiraf atas jangkauan antarabangsanya, kepimpinan pemikiran, dan amalan inovatif.
Selaku seorang Peguam Kanan yang terkenal dan anggota Senat Akademi Undang-undang Singapura, Encik Singh juga telah memperjuangkan kedudukan Singapura sebagai hab undang-undang global. Komitmen beliau terhadap keadilan terserlah melalui khidmatnya sebagai peguam di bawah Skim Bantuan Guaman bagi Kesalahan yang Membawa Hukuman Mati (LASCO). Melalui sumbangannya yang luas, beliau telah memajukan jurisprudens, meningkatkan akses kepada keadilan, dan meningkatkan kedudukan undang-undang Singapura di peringkat antarabangsa.
Atas khidmat luar biasa beliau dalam sistem undang-undang Singapura, Encik Davinder Singh SC dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
12. ENCIK GERALD BALENDRAN SINGHAM
Pengerusi, Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan
Pengerusi, Jawatankuasa Perundingan Rakyat Teck Ghee
Penasihat, OnePeople.sg
PUJI-PUJIAN
Encik Gerald Balendran Singham telah berkhidmat kepada Singapura dalam pelbagai bidang, mempamerkan kepimpinan teladan dan dedikasi kepada perkhidmatan awam.
Selaku Pengerusi Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC), Encik Singham telah memimpin dan memajukan usaha pencegahan jenayah. Di bawah kepimpinan beliau, inisiatif seperti Talian Bantuan 24 jam ScamShield dan kempen pendidikan awam seperti Crimewatch telah meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan masyarakat. Komitmennya terhadap pemupukan sifat kesukarelaan dan penglibatan masyarakat telah mengukuhkan kerjasama antara rakyat dan agensi penguatkuasaan undang-undang.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Teck Ghee, Encik Singham menjalin hubungan yang kukuh antara sukarelawan akar umbi, pertubuhan masyarakat, dan agensi pemerintah. Sumbangan beliau kepada OnePeople.sg juga telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan keharmonian kaum dan perpaduan sosial. Encik Singham juga telah berkhidmat dengan cemerlang di Lembaga Politeknik Republic dan Mahkamah Rayuan Tentera Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Atas khidmat dan sumbangan cemerlang beliau kepada Singapura, Encik Gerald Balendran Singham dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
13. PUAN MILDRED TAN-SIM BENG MEI
Pengerusi, Lembaga Tote Singapura
PUJI-PUJIAN
Selaku pengerusi Lembaga Tote Singapura, Puan Mildred Tan-Sim Beng Mei telah mengubah pertubuhan tersebut daripada pembiaya tradisional kepada pemangkin perubahan yang memberikan sumbangan bermakna.
Pendekatan perintis beliau mentakrifkan semula pemberian geran menjadi satu usaha berasaskan bukti dan tertumpu kepada hasil. Di bawah kepimpinannya, Lembaga Tote menyokong lebih 90 program dan 3,500 projek pengumpulan dana, yang memberi manfaat kepada lebih 1.5 juta penerima.
Puan Tan merupakan penyokong kuat pendidikan, kedermawanan, dan tadbir urus korporat. Selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura, beliau memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju strategik universiti; memperoleh sumber untuk penyelidikan dan infrastruktur; serta memperjuangkan pembangunan kampus baharu. Puan Tan juga pernah berkhidmat selaku Pengerusi Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Nasional (NVPC) dan Pengerusi Bersama Majlis bagi Kepelbagaian Lembaga (CBD).
Atas sumbangan cemerlang beliau dalam mengukuhkan kompak sosial Singapura, Puan Mildred Tan-Sim Beng Mei dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
14. ENCIK TAN CHONG MENG
Pengerusi, Sistem Kesihatan Universiti Nasional
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, PSA International
Mantan Pengerusi, Perbadanan Bandar Jurong (JTC)
PUJI-PUJIAN
Selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PSA International, Encik Tan Chong Meng mengubah pengendali pelabuhan tersebut menjadi penyedia penyelesaian logistik global.
Di bawah kepimpinannya, PSA mengembangkan rangkaian antarabangsanya dan mengukuhkan reputasinya sebagai rakan kongsi yang dipercayai oleh syarikat-syarikat perkapalan. Beliau juga mengetuai pelancaran Pelabuhan Tuas, meletakkan asas bagi pelabuhan automatik yang bersedia menghadapi masa hadapan dan akan berkhidmat kepada Singapura untuk generasi-generasi yang seterusnya.
Selaku Pengerusi Perbadanan Bandar Jurong (JTC), Encik Tan telah membimbing pertubuhan tersebut menjalani transformasi besar, dan mengukuhkan peranannya sebagai perancang induk perindustrian, pembangun, dan pengendali taman perindustrian Singapura. Semasa beliau menyandang jawatan tersebut, JTC telah berjaya menggabungkan portfolio Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) yang terdiri daripada 12,000 syarikat kecil dan sederhana (SME), justeru menghasilkan ekosistem perindustrian yang lebih bersepadu. Selaku Pengerusi Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), Encik Tan telah memperjuangkan model penjagaan bersepadu, inovasi digital, dan penyelesaian penjagaan kesihatan yang mampan.
Atas sumbangan luar biasa beliau kepada ekonomi maritim dan pembangunan perindustrian Singapura, Encik Tan Chong Meng dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
15. ENCIK TAN TEE HOW
Pengerusi, Penguasa Pengawalan Perjudian Singapura
Pengerusi, Lembaga NHG Health
PUJI-PUJIAN
Selama lebih tiga dekad khidmat gemilang beliau dalam Perkhidmatan Awam, Encik Tan Tee How telah menyandang pelbagai jawatan kepimpinan kanan, termasuk selaku Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Pesuruhjaya Hasil Mahsul dan Ketua Pegawai Eksekutif pengasas bagi agensi beliau yang sebelum ini dikenali sebagai National Healthcare Group.
Selepas bersara, Encik Tan berkhidmat selaku Pengerusi bagi Penguasa Pengawalan Perjudian (GRA). Beliau mengubah agensi yang sebelum ini dikenali sebagai Penguasa Pengawalan Kasino (CRA) menjadi GRA, mengimbangi usaha antara melindungi rakyat Singapura daripada kemudaratan akibat berjudi dan pada masa yang sama tetap meraih manfaat sosial serta ekonomi daripada kegiatan perjudian terkawal. Selaku Pengerusi NHG Health, Encik Tan telah menerajui inisiatif-inisiatif yang membawa perubahan besar dalam memperkukuh tadbir urus, pengurusan risiko, dan perancangan pewarisan di bawah visi ONE NHG. Beliau juga telah mengenal pasti bahagian-bahagian dalam sistem penjagaan kesihatan awam yang perlu diselaraskan supaya boleh berfungsi dengan lebih cekap dan dapat meraih manfaat-manfaat lain.
Atas sumbangan besar beliau kepada Singapura, Encik Tan Tee How dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Public Service Star (Bar)
[Bintang Bakti Masyarakat (Lintang)]
The Public Service Star
[Bintang Bakti Masyarakat]
PUJI-PUJIAN
Sering kita menunjukkan keprihatinan terhadap negara dan warga senegara kita dengan melakukan perbuatan-perbuatan baik yang kecil. Dan perbuatan-perbuatan baik yang kecil inilah apabila dilakukan berulang kali boleh membawa kebaikan kepada masyarakat. Kita tidak dapat memberikan ganjaran dalam bentuk kebendaan kepada semua yang telah membuat sumbangan. Bagaimanapun, kita boleh menghargai sumbangan mereka dengan menganugerahkan mereka Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) dan Bintang Bakti Masyarakat.
The Public Administration Medal (Gold) (Bar)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Lintang)]
16. ENCIK KOH TEE HIAN DAVID
Ketua Pegawai Eksekutif,
Agensi Keselamatan Siber Singapura
Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital
PUJI-PUJIAN
Encik Koh Tee Hian David telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan pertahanan dan keupayaan keselamatan siber Singapura. Selaku Ketua Eksekutif pengasas Agensi Keselamatan Siber (CSA) dan Pesuruhjaya Keselamatan Siber, beliau telah membangunkan keupayaan keselamatan siber nasional dan menyelaraskan respons keselamatan siber nasional kita. Beliau juga telah menggubal undang-undang dan dasar-dasar baharu demi melindungi Singapura daripada ancaman siber, mempertingkatkan kesedaran terhadap keselamatan siber serta membangunkan keupayaan keselamatan siber. Di peringkat antarabangsa pula, beliau telah memartabatkan reputasi dan memperluas pengaruh Singapura sebagai pelopor berwibawa dalam bidang keselamatan siber.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
17. ENCIK WONG KOK ONN JAMES
Timbalan Setiausaha (Perkhidmatan),
Kementerian Pendidikan
PUJI-PUJIAN
Encik Wong Kok Onn James telah mempamerkan sifat kepimpinan yang teguh dan strategik selaku Timbalan Setiausaha (Perkhidmatan) di Kementerian Pendidikan (MOE). Beliau menerajui pelbagai inisiatif yang telah membawa perubahan besar, termasuk dalam bidang kewangan, prasarana, digital dan sumber manusia. Semasa menyandang jawatan beliau yang sebelumnya selaku Timbalan Setiausaha di Kementerian Pengangkutan (MOT), Encik Wong telah menyelia perubahan-perubahan utama dalam dasar-dasar pengangkutan darat Singapura bagi mempertingkatkan keandalan dan kemampanan pengangkutan awam negara.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
18. ENCIK ONG JOON LIM WILSON
Timbalan Pesuruhjaya,
Kumpulan Korporat & Perkhidmatan,
Penguasa Hasil Mahsul Singapura
PUJI-PUJIAN
Encik Ong Joon Lim Wilson telah membantu mengubah Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) sehingga ia menjadi sebuah agensi percukaian bertaraf dunia. Beliau mempersiapkan IRAS untuk menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan melalui reka semula sistem perusahaan cukai serta mengguna pakai sains data dan kecerdasan buatan dalam kerja-kerja pematuhan dan perkhidmatan. Selain itu, beliau turut mengetuai inisiatif-inisiatif penting transformasi tenaga kerja. Beliau juga telah memimpin IRAS dalam menyampaikan program-program nasional yang berkesan, seperti Skim Bantuan Pekerjaan yang diperkenalkan sewaktu pandemik COVID-19.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
19. ENCIK TAN HAI CHUAN
Duta, Kedutaan Singapura di Beijing
Kementerian Ehwal Luar
PUJI-PUJIAN
Encik Tan Hai Chuan telah membuat sumbangan besar dalam memartabatkan kepentingan negara sepanjang kerjaya diplomatik beliau yang gemilang. Selaku Duta Singapura ke China, beliau menyemai hubungan dua hala dan mengukuhkan usaha penglibatan kita bersama pemimpin-pemimpin China dan pihak-pihak berkepentingan utama. Semasa menyandang jawatan beliau yang sebelumnya selaku Duta Singapura ke Jepun dari 2019 hingga 2023, Encik Tan telah memperkukuh kerjasama dengan Jepun, termasuk melancarkan Laluan Hijau Timbal Balik di tengah-tengah kemelut pandemik COVID-19.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
20. PROFESOR KENNETH KWEK YUNG CHIANG
Timbalan Ketua Pegawai
Eksekutif Kumpulan (Kesihatan Digital),
Perkhidmatan Kesihatan Singapura
Mantan Ketua Pegawai Eksekutif,
Hospital Besar Singapura
PUJI-PUJIAN
Profesor Kenneth Kwek Yung Chiang telah membuat sumbangan besar terhadap sistem penjagaan kesihatan awam Singapura. Selaku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Kesihatan Digital), beliau telah membentuk idea dan mengatur dengan terperinci visi digital serta hala tuju kesihatan digital SingHealth, dan menyediakan asas bagi transformasi sistem rekod perubatan elektronik kelompok penjagaan kesihatan itu. Semasa menyandang jawatan beliau yang sebelumnya selaku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Besar Singapura, Profesor Kwek telah mengubah penjagaan pesakit dengan meningkatkan operasi klinikal hospital tersebut dan memacu pemikiran serta pendekatan “One SingHealth” di semua institusinya.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
21. ENCIK TAN CHYE HEE
Pengarah,
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri
Kementerian Ehwal Dalam Negeri
PUJI-PUJIAN
Encik Tan Chye Hee telah cemerlang dalam pelbagai jawatan kepimpinan kanan sepanjang kerjaya perkhidmatan awam beliau. Selaku Pengarah di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), beliau telah memimpin ISD dalam menangani ancaman-ancaman keselamatan negara, termasuk subversi, pengintipan, fahaman pelampau kaum dan agama, pengganasan serta keselamatan siber. Beliau telah memainkan peranan penting dalam membangunkan keupayaan operasi dan teknologi jangka panjang ISD. Kepimpinan dan dedikasi kukuh beliau sangat berperanan dalam melindungi keselamatan Singapura.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
22. ENCIK SIM WAI MENG
Pesuruhjaya, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan
Kementerian Ehwal Dalam Negeri
PUJI-PUJIAN
Encik Sim Wai Meng mempamerkan ciri-ciri kepimpinan yang dapat menjadi contoh sepanjang kerjaya perkhidmatan awam beliau. Selaku Pesuruhjaya, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), beliau telah mengubah operasi pelepasan sempadan agensi tersebut dan mempertingkatkan perkhidmatan imigresen dan pendaftaran. Beliau telah meningkatkan keupayaan dan kecekapan operasi ICA, serta memperbaik cara ia memberikan khidmat kepada orang awam. Kepimpinan tegas dan berkesan Encik Sim juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan keselamatan sempadan dan mengemudikan ICA semasa mengharungi cabaran pandemik COVID-19.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
23. ENCIK FINIAN MARKOSE SILVA
Pengarah,
Kementerian Ehwal Dalam Negeri
PUJI-PUJIAN
Encik Finian Markose Silva telah cemerlang dalam kerjaya perkhidmatan awam beliau. Selaku Pengarah di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), beliau mempamerkan kepimpinan luar biasa dalam mengemudikan operasi-operasi keselamatan yang penting dan mencabar dengan jayanya. Pertimbangan bijak beliau, serta kebingkasan dan dedikasi tinggi telah membolehkan Kementerian tersebut untuk menangani situasi keselamatan yang rumit dan mengukuhkan kesediaan operasinya. Melalui pengawasan strategik dan tindakan yang tegas, beliau telah membuat sumbangan penting untuk melindungi kedaulatan serta keselamatan negara kita.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
24. CIK POH MAE-JEAN JACQUELINE
Ketua Pegawai Eksekutif,
Perbadanan Bandar Jurong (JTC)
PUJI-PUJIAN
Cik Jacqueline Poh Mae-Jean telah banyak menyumbang terhadap pembangunan ekonomi Singapura dan pertumbuhan keupayaan teknologi dalam sektor awam. Selaku Pengarah Urusan di Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), beliau memainkan peranan aktif dalam membentuk pertumbuhan ekonomi serta pembangunan industri Singapura, dan berjaya memperoleh inisiatif industri baharu dan projek-projek pelaburan. Selaku Timbalan Setiausaha di Pejabat Perdana Menteri (PMO), beliau telah menyuntik kesegaran ke dalam Agenda Singapura dan membentuk konsep bagi gerakan SG Together. Selaku Ketua Eksekutif pertama di Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech), beliau telah membantu menyediakan asas bagi cita-cita Negara Bijak Singapura.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
25. ENCIK LAU PEET MENG
Setiausaha Tetap,
Kementerian Pengangkutan
PUJI-PUJIAN
Encik Lau Peet Meng menerajui usaha-usaha perkembangan organisasi yang penting di Kementerian Pengangkutan (MOT). Beliau mempertingkatkan perancangan strategik, keupayaan teknologi dan inovasi, serta mengetuai inisiatif pembangunan bakat dan budaya di Kementerian tersebut. Semasa menyandang jawatan beliau yang sebelumnya, Encik Lau telah menyelia usaha transformasi bagi mempertingkatkan tahap integrasi dan kesediaan menghadapi masa hadapan di Divisyen Keselamatan dan Perisikan (SID) Kementerian Pertahanan (MINDEF). Di bawah kepimpinan beliau, pertubuhan tersebut telah meningkatkan keupayaannya untuk melindungi keselamatan Singapura daripada kemunculan ancaman-ancaman dalam persekitaran luar yang rumit.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
26. ENCIK TAN KEE YONG
Setiausaha kepada Perdana Menteri dan Setiausaha kepada Kabinet,
Pejabat Perdana Menteri
PUJI-PUJIAN
Encik Tan Kee Yong telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam. Beliau terserlah dalam pelbagai jawatan kepimpinan kanan, termasuk selaku Timbalan Setiausaha di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Pendidikan (MOE). Selaku Setiausaha kepada Perdana Menteri dan Setiausaha kepada Kabinet sepanjang 15 tahun yang lalu, Encik Tan memainkan peranan penting dalam menyokong kerja Kabinet dan mengukuhkan operasi Pejabat Kabinet.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
27. ENCIK TAN KIAT PHENG
Ketua Pendakwa,
Divisyen Jenayah
Pejabat Peguam Negara
PUJI-PUJIAN
Encik Tan Kiat Pheng telah membuat sumbangan besar terhadap keselamatan dan sistem keadilan Singapura. Sepanjang kerjaya beliau, Encik Tan mempamerkan keteguhan dedikasi untuk membawa para pesalah ke muka pengadilan. Selaku Ketua Pendakwa yang mengetuai Divisyen Jenayah, Pejabat Peguam Negara (AGC), Encik Tan telah melaksanakan inisiatif-inisiatif penting yang memperdalam keupayaan AGC dan mengukuhkan kemampuannya untuk membuat dakwaan kesalahan dengan berkesan. Beliau telah mengetuai banyak pendakwaan penting berkaitan rasuah, jenayah komersial dan pengubahan wang haram.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
28. ENCIK TOH HAN LI
Hakim Daerah Utama,
Mahkamah Negara,
Badan Kehakiman
PUJI-PUJIAN
Encik Toh Han Li telah membuat sumbangan besar terhadap sistem undang-undang dan kehakiman Singapura. Selaku Hakim Daerah Utama Mahkamah Jenayah di Mahkamah Negara, beliau menyelia Mahkamah Perbicaraan & Sebutan dan mempengerusikan kes-kes yang mencabar. Selain daripada Badan Kehakiman, beliau juga telah menyumbangkan kepakaran dan pengalaman beliau kepada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) selaku Pengerusi Panel Penasihat Rayuan dan kepada Panel Penasihat Hukuman antara agensi sebagai anggota Panel.
The Public Administration Medal (Gold) (Military)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Tentera)]
29. BRIGEDIER JENERAL CHOO WEI YEE, FREDERICK
Timbalan Setiausaha (Dasar),
Kementerian Pertahanan
PUJI-PUJIAN
Brigedier Jeneral (BG) Choo Wei Yee, Frederick telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang kerjaya beliau dalam tentera. Selaku Timbalan Setiausaha (Dasar), BG Choo memartabatkan kepentingan Singapura dalam pertahanan, mengemudi diplomasi pertahanan negara, serta menyelia inisiatif pelbagai hala seperti Dialog Shangri-La. Selaku Ketua Turus (Staf Bersama), beliau merangka transformasi konsep tempur-perang Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) serta memacu inisiatif-inisiatif inovasi dan digitalisasi yang memberikan kesan terhadap seluruh pertubuhan tersebut.
The Public Administration Medal (Silver) (Bar)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Lintang)]
The Public Administration Medal (Silver)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak)]
The Public Administration Medal (Silver) (Military)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Tentera)]
PUJI-PUJIAN
Pengurus-pengurus peringkat pertengahan dalam perkhidmatan awam, sama ada pegawai-pegawai bukan beruniform atau tentera, memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan dengan berkesan. Ramai pengurus peringkat pertengahan dalam perkhidmatan awam melaksanakan tugas-tugas yang mencabar dengan bersungguh-sungguh dan daya imaginasi sehingga mereka mampu menunjukkan hasil kerja yang cemerlang. Bagi menghargai jasa mereka, pegawai-pegawai ini dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Perak).
The Public Administration Medal (Bronze) (Bar)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) (Lintang)]
The Public Administration Medal (Bronze)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa)]
The Public Administration Medal (Bronze) (Military)
[Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa) (Tentera)]
PUJI-PUJIAN
Kejayaan dalam pelaksanaan dasar-dasar pemerintah bergantung pada dedikasi dan kerja keras setiap anggota perkhidmatan awam. Perkhidmatan Awam Singapura beruntung kerana mempunyai ramai pegawai yang sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik. Sebagai penghargaan terhadap khidmat mereka, mereka dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Gangsa).
