2026 National Awards Investiture Citations (Malay)
Read more on the citations.
The Order Of Temasek (With Distinction)
[Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian)]
1. ENCIK SUNDARESH MENON
Ketua Hakim
PUJI-PUJIAN
Encik Sundaresh Menon telah memberikan sumbangan yang bermakna kepada landskap undang-undang dan kehakiman negara selaku Ketua Hakim Singapura yang keempat.
Dari 2012 hingga 2026, Ketua Hakim Menon memimpin Badan Kehakiman mengharungi tempoh perubahan yang besar. Pelbagai pembaharuan yang beliau perkenalkan membolehkan orang awam mendapatkan khidmat mahkamah dengan lebih mudah, meningkatkan daya respons dan kecekapan mahkamah, di samping memanfaatkan teknologi bagi mempertingkatkan penyampaian keadilan.
Di bawah kepimpinan beliau, Bahagian Rayuan Mahkamah Tinggi dan Kolej Kehakiman Singapura ditubuhkan. Beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan Mahkamah Komersial Antarabangsa Singapura dan Jawatankuasa Antarabangsanya, sekali gus memperkukuh kedudukan Singapura sebagai pusat penyelesaian pertikaian antarabangsa. Mahkamah Keadilan Keluarga dan Mahkamah Belia turut menerima pakai pendekatan keadilan terapeutik bagi menangani punca asas konflik serta mencapai kesudahan yang adil dan berkesan.
Melalui penghakiman, ucapan dan penulisan beliau, Ketua Hakim Menon telah memberikan sumbangan penting kepada perkembangan pemikiran undang-undang mengenai kedaulatan undang-undang, etika kehakiman dan implikasi perubahan teknologi, sekali gus memperkukuh jurisprudens Singapura dan kedudukannya di peringkat antarabangsa.
Atas sumbangan beliau yang meninggalkan kesan yang berkekalan terhadap kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan di Singapura, Encik Sundaresh Menon dianugerahkan Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian).
The Order Of Temasek (With Distinction)
[Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian)]
2. ENCIK EDDIE TEO CHAN SENG
Mantan Pengerusi
Majlis Penasihat Presiden
PUJI-PUJIAN
Encik Eddie Teo Chan Seng telah menyumbang khidmat yang luar biasa kepada Singapura selama berdekad-dekad.
Beliau merupakan satu-satunya pegawai dalam sejarah Singapura yang pernah menerajui kedua-dua Divisyen Keselamatan dan Perisikan, dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri. Pencapaian ini mencerminkan tahap kepercayaan para pemimpin pengasas Singapura terhadap Encik Teo. Sumbangan beliau kepada keselamatan Singapura, baik di dalam mahupun di luar negara telah meninggalkan legasi yang berkekalan. Encik Teo kemudian berkhidmat selaku Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan dan Pejabat Perdana Menteri, di mana beliau memajukan keutamaan penting dalam bidang pertahanan dan keselamatan, termasuk keutamaan yang melibatkan Seluruh Pemerintah.
Selaku Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Encik Teo membantu membentuk sebuah Perkhidmatan Awam berteraskan nilai yang berpaksikan kewibawaan, khidmat dan kecemerlangan, di samping memperjuangkan usaha meningkatkan kerencaman bakat dalam sektor awam.
Dari 2019 hingga 2026, selaku pengerusi Majlis Penasihat Presiden, beliau menawarkan nasihat yang bernas lagi bijaksana bagi menyokong tanggungjawab penjagaan Presiden di bawah Perlembagaan. Semasa pandemik COVID-19, beliau membimbing Majlis Penasihat dalam meneliti langkah-langkah fiskal melibatkan penggunaan rizab yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini yang dicadangkan oleh Pemerintah. Beliau memastikan perbincangan tersebut dijalankan dengan jelas, dan berdisiplin, serta berlandaskan pertimbangan yang wajar. Pendekatan yang sama turut diterapkan dalam nasihat yang diberikan oleh Majlis Penasihat mengenai tanggungjawab perlembagaan Presiden yang lain, termasuk pelantikan ke jawatan penting dalam Perkhidmatan Awam.
Atas khidmat cemerlang beliau yang merangkumi keselamatan dalam dan luar negara, pertahanan, pentadbiran awam dan tadbir urus, Encik Eddie Teo Chan Seng dianugerahkan Darjah Utama Temasek (Dengan Kepujian).
The Distinguished Service Order
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]
3. ENCIK ALAN CHAN HENG LOON
Pengerusi
Lembaga Penguasa Pengangkutan Darat
PUJI-PUJIAN
Encik Alan Chan Heng Loon telah membuat sumbangan besar selaku Pengerusi Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), membantu membangunkan sistem pengangkutan darat Singapura yang lebih selamat, lebih dipercayai dan mampan.
Dilantik sebagai Pengerusi pada April 2016, Encik Chan bekerja rapat dengan pihak pengurusan LTA serta pengendali pengangkutan awam untuk memperbaik tahap kebolehpercayaan perkhidmatan rel. Di bawah kepimpinan beliau, Purata Kilometer Antara Kegagalan, iaitu kayu ukur tahap kebolehpercayaan rel, meningkat daripada 393,000 pada 2017 kepada 2 juta pada 2026. Kadar ini merupakan antara yang tertinggi di dunia.
Encik Chan turut membimbing pelaksanaan inisiatif pengangkutan utama yang lain, termasuk Laluan Thomson-East Coast, penyiapan Laluan Circle, Pusat Ujian Rel Singapura dan perluasan inisiatif Friendly Streets. Beliau memajukan peralihan kepada pengangkutan yang lebih mesra alam, dengan kenderaan elektrik kini membentuk 60 peratus pendaftaran kereta baharu.
Sejak 2010, Encik Chan telah berkhidmat selaku anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC), menyumbang kepada pemilihan sarjana PSC dan pelantikan para pemimpin kanan sektor awam.
Atas sumbangan beliau kepada sistem pengangkutan darat Singapura serta perkhidmatan awam, Encik Alan Chan Heng Loon dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.
The Distinguished Service Order
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]
4. ENCIK EDMUND CHENG WAI WING
Mantan Pengerusi
Penguasa Penerbangan Awam Singapura
PUJI-PUJIAN
Khidmat awam Encik Edmund Cheng Wai Wing telah memperkukuh kedudukan Singapura sebagai sebuah hab penerbangan, memberikan peluang kedua kepada bekas pesalah dan memperkaya seni dan budaya negara.
Selaku Pengerusi Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dari 2018 hingga 2026, beliau mempamerkan kepimpinan yang teguh sepanjang pandemik COVID-19, yang membawa kepada pemulihan kukuh sektor penerbangan. Di bawah kepimpinan beliau, CAAS turut memperkukuh kedudukan sektor penerbangan Singapura di peringkat antarabangsa, yang memuncak dengan pemilihan semula Singapura menjadi anggota Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada 2025 dengan jumlah undi yang tertinggi pernah dicatatkan.
Selaku Pengerusi Dana Reben Kuning dan badan Kebajikan Reben Kuning Prihatin, Encik Cheng memperjuangkan usaha memberikan peluang kedua kepada bekas pesalah. Beliau memperkukuh kerjasama dengan sektor swasta dan menggerakkan sumber bagi menyokong bekas pesalah serta keluarga mereka melalui peluang-peluang pendidikan, peningkatan kemahiran dan pekerjaan.
Selaku Pengerusi Muzium Seni Singapura dan mantan Pengerusi Majlis Seni Kebangsaan (NAC), beliau menyokong pembangunan arena seni dan budaya Singapura, memperluas peluang untuk para seniman dan lebih mendekatkan seni kepada masyarakat.
Atas sumbangan cemerlang beliau kepada pembangunan ekonomi, sosial dan kebudayaan Singapura, Encik Edmund Cheng Wai Wing dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.
The Distinguished Service Order
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]
5. DR ISKANDAR JALIL
Seniman
PUJI-PUJIAN
Dr Iskandar Jalil, tokoh seni tembikar tersohor Singapura, memainkan peranan sebagai perintis dalam perkembangan seni tembikar kontemporari sebagai satu bidang seni.
Berteraskan falsafah Jepun dan estetika Asia Tenggara, Dr Iskandar merintis gaya seni tersendiri, termasuk penggunaan sepuhan “biru Iskandar” yang menjadi ciri khas karya beliau serta bentuk-bentuk yang menonjolkan unsur sentuhan. Karya-karya beliau merangkumi bekas kegunaan harian hingga karya tempahan khas untuk ruang awam, dan telah dipamerkan serta menjadi koleksi di peringkat antarabangsa.
Dr Iskandar menubuhkan kumpulan penggiat seni tembikar di Taman Warisan Melayu dan Jalan Bahar Clay Studios, serta mengasaskan sebuah studio seni tembikar Temasek Potters di Politeknik Temasek. Sepanjang berdekad-dekad mengajar dan membimbing, beliau telah membentuk generasi demi generasi seniman tembikar serta membantu membangunkan masyarakat seni tembikar Singapura. Beliau turut memberikan sumbangan besar kepada program pertukaran budaya antara Singapura dengan Jepun, sekali gus memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Atas sumbangan cemerlang beliau kepada pembangunan seni dan budaya Singapura serta usaha beliau memartabatkan seni Singapura di persada antarabangsa, Dr Iskandar Jalil dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.
The Distinguished Service Order
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]
6. USTAZ MOHAMAD HASBI BIN HASSAN
Pengerusi Bersama
Kumpulan Pemulihan Keagamaan
PUJI-PUJIAN
Ustaz Mohamad Hasbi Bin Hassan memainkan peranan sebagai perintis dalam usaha melindungi keharmonian agama dan perpaduan sosial Singapura.
Selaku Pengasas Bersama dan Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Hasbi membantu menjadikan kaunseling agama sebagai tonggak tindak balas Singapura dalam menangani keganasan. Beliau memberikan kaunseling kepada golongan pelampau, membangunkan sumber untuk menentang fahaman radikal serta menerajui usaha mendekati pihak keluarga, golongan belia dan masyarakat yang lebih luas. Di bawah kepimpinan beliau, RRG menjadi sumber bimbingan agama yang dipercayai dalam menangani fahaman pelampau.
Semasa menyandang jawatan Presiden PERGAS, Ustaz Hasbi telah menggembleng para asatizah untuk menyokong RRG dan bekerjasama dengan Pemerintah. Beliau menjalin kerjasama yang kukuh antara pemimpin agama, pertubuhan masyarakat dan agensi awam, sekali gus menyumbang kepada pendekatan Singapura yang terselaras dalam menangani gejala pelampau. Semasa konflik Israel-Hamas pada 2023, beliau memberikan bimbingan agama yang tenang, seimbang dan berprinsip. Pendekatan ini membantu masyarakat mengemudi isu yang sangat sensitif dan menyentuh emosi sambil mengekalkan keharmonian.
Selaku Anggota Bersekutu Kanan Jawatankuasa Fatwa MUIS, beliau menyumbangkan kepakaran agama dalam pertimbangan jawatankuasa tersebut serta memajukan inisiatif-inisiatif yang memastikan pendidikan Islam kekal relevan dan mudah diikuti.
Atas khidmat cemerlang beliau dalam melindungi keharmonian agama di Singapura, Ustaz Mohamad Hasbi Bin Hassan dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.
The Distinguished Service Order
[Darjah Utama Bakti Cemerlang]
7. ENCIK BOB TAN BENG HAI
Mantan Pengerusi
Perbadanan Pembangunan Sentosa
PUJI-PUJIAN
Encik Bob Tan Beng Hai telah banyak menyumbang kepada Singapura dalam pelbagai bidang selama lebih tiga dekad.
Selaku Pengerusi Perbadanan Pembangunan Sentosa dari 2019 hingga 2026, beliau memperkukuh kedudukan Sentosa sebagai sebuah destinasi riadah utama dan membimbing pembangunan Pelan Induk Sentosa Raya. Beliau memberikan kepimpinan yang teguh sepanjang pandemik COVID-19 dan kejadian tumpahan minyak pada Jun 2024, justeru membantu Sentosa pulih dengan pantas daripada kedua-dua gangguan tersebut.
Sebagai penyokong kuat kerjasama tiga pihak, Encik Tan menyandang pelbagai jawatan utama dalam Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura dan Tripartite Alliance Limited. Beliau memperkukuh hubungan antara pekerja dengan pihak pengurusan, mempertingkatkan keselamatan di tempat kerja dan memajukan usaha perantaraan, serta memperluas peluang pekerja menikmati kemudahan riadah dan penjagaan kesihatan.
Selaku Pengerusi SBS Transit Ltd sejak 2021, beliau mengemudi syarikat tersebut mengharungi pandemik serta peralihan Downtown Line kepada Rangka Kerja Pembiayaan Rel Baharu (NRFF), sambil mengekalkan tahap kebolehpercayaan perkhidmatan rel yang tinggi.
Encik Tan turut berkhidmat dalam lembaga Institut Pendidikan Teknikal (ITE) selama 21 tahun, termasuk 12 tahun selaku Pengerusi. Beliau memperkukuh kerjasama dengan industri dan mengembangkan kursus Diploma Bekerja dan Belajar, sekali gus memperbaik laluan daripada bangku sekolah ke alam pekerjaan.
Atas sumbangan cemerlang beliau kepada pembangunan ekonomi dan sosial Singapura, Encik Bob Tan Beng Hai dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
8. DR BEH SWAN GIN
Setiausaha Tetap
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan
PUJI-PUJIAN
Dr Beh Swan Gin telah memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan ekonomi dan daya saing jangka panjang Singapura.
Selaku Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Perusahaan), beliau membantu membentuk strategi ekonomi Singapura, termasuk melalui Semakan Strategi Ekonomi. Beliau juga menubuhkan Kelompok Tenaga dan Karbon di Kementerian tersebut bagi memperkukuh daya tahan tenaga dan memajukan peralihan Singapura kepada ekonomi rendah karbon.
Selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dari 2014 hingga 2023, Dr Beh memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab global bagi perniagaan dan inovasi. Beliau berjaya memperoleh pelaburan besar dalam perkilangan maju dan teknologi, serta membantu membangunkan bidang pertumbuhan baharu. Semasa pandemik COVID-19, beliau memainkan peranan penting dalam mendapatkan bekalan vaksin lebih awal, yang membolehkan Singapura menjadi antara negara pertama yang melancarkan program vaksinasi nasional.
Atas sumbangan bermakna beliau kepada daya saing dan daya tahan ekonomi Singapura, Dr Beh Swan Gin dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
9. PROFESOR CHEE YAM CHENG
Presiden
Majlis Perubatan Singapura
PUJI-PUJIAN
Profesor Chee Yam Cheng telah memberikan sumbangan bermakna dalam pelbagai aspek penjagaan kesihatan awam sepanjang lebih lima dekad.
Selaku Presiden Majlis Perubatan Singapura sejak 2019, beliau menyelia pembaharuan penting susulan pindaan kepada Akta Pendaftaran Perubatan, yang memperkukuh keselamatan pesakit di samping memastikan layanan yang adil terhadap para profesional penjagaan kesihatan. Beliau turut mempertingkatkan rangka kerja pengawalseliaan Majlis dan pengawasannya terhadap piawaian profesional.
Melalui kepimpinan beliau di NHG Health, Profesor Chee meningkatkan akses kepada penjagaan perubatan dalam masyarakat serta memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pendidikan kumpulan tersebut. Beliau telah berkhidmat secara aktif dalam pelbagai jawatankuasa Kementerian Kesihatan bagi memajukan dasar penjagaan kesihatan, di samping menyumbang kepada perkhidmatan awam secara lebih meluas melalui tugas beliau sebagai penasihat kepada agensi-agensi pemerintah yang lain.
Atas sumbangan cemerlang beliau kepada sistem penjagaan kesihatan dan profesion perubatan Singapura, Profesor Chee Yam Cheng dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
10. ENCIK S CHANDRA DAS
Mantan Pesuruhjaya Tinggi
(Bukan Pemastautin) ke Sri Lanka
PUJI-PUJIAN
Encik S Chandra Das telah memberikan sumbangan bermakna kepada Singapura dalam bidang diplomasi, perniagaan, kemasyarakatan dan pendidikan.
Selaku Duta (Bukan Pemastautin) Singapura ke Türkiye dari 2006 hingga 2015 dan Pesuruhjaya Tinggi (Bukan Pemastautin) ke Sri Lanka dari 2015 hingga 2025, beliau mempererat hubungan dua hala antara Singapura dengan kedua-dua negara. Beliau membantu memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas dengan kedua-dua negara, iaitu Kerjasama Strategik dengan Türkiye, dan Perjanjian Pengelakan Cukai Berganda dengan Sri Lanka.
Selaku Pengerusi NTUC FairPrice, Encik Das memajukan misi koperasi tersebut bagi memastikan harga barangan keperluan harian berpatutan dan mudah diperoleh. Sebagai pemimpin masyarakat India yang disegani, beliau memainkan peranan penting dalam penubuhan Persatuan Kebajikan Masyarakat India Singapura dan Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura. Selaku Pro-Canselor Universiti Teknologi Nanyang yang paling lama berkhidmat, beliau menyumbang kepada pembangunan universiti tersebut.
Atas khidmat cemerlang dan meluas beliau kepada Singapura, Encik S Chandra Das dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
11. CIK ANITA FAM SIU PING, BBM, PBM
Mantan Presiden
Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan
PUJI-PUJIAN
Cik Anita Fam Siu Ping telah memberikan sumbangan bermakna kepada sektor perkhidmatan sosial Singapura selama tiga dekad.
Selaku Presiden Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan, Cik Fam memperkukuh keupayaan dan daya tahan agensi-agensi perkhidmatan sosial. Beliau menerajui pembangunan dan pelaksanaan Peta Hala Tuju Strategik Sektor Perkhidmatan Sosial, menubuhkan Dana Amanah Keupayaan Masyarakat, serta mengemudi sektor tersebut mengharungi pandemik COVID-19. Beliau turut memperjuangkan pembangunan pusat kesihatan mental bersepadu pertama di Singapura yang memberikan tumpuan kepada golongan belia.
Cik Fam turut memajukan usaha keterangkuman golongan kurang upaya, jagaan paliatif dan kesejahteraan masyarakat melalui peranan kepimpinan beliau dalam Jawatankuasa Pemandu Pelan Induk Pemerkasaan 3, Hospis Assisi, Pusat Lien bagi Jagaan Paliatif, serta Lembaga Jaksa Pendamai dan Lembaga Pemeriksaan.
Atas sumbangan cemerlang beliau kepada sektor perkhidmatan sosial Singapura, Cik Anita Fam Siu Ping dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
12. ENCIK LIM CHUAN POH
Pengerusi
Agensi Makanan Singapura
PUJI-PUJIAN
Encik Lim Chuan Poh telah memberikan sumbangan bermakna kepada jaminan bekalan makanan, penyelidikan saintifik, pendidikan, pertahanan dan hubungan antarabangsa Singapura.
Selaku Pengerusi pengasas Agensi Makanan Singapura, Encik Lim memperkukuh jaminan bekalan dan keselamatan makanan Singapura. Beliau mengemudi agensi tersebut dalam mengharungi gangguan bekalan global semasa pandemik COVID-19, memajukan Program Penyelidikan dan Pembangunan Kisah Bekalan Makanan Singapura, serta meletakkan Singapura di barisan hadapan dalam bidang makanan baharu.
Selaku Pengerusi A*STAR, Encik Lim memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi Singapura serta meningkatkan keupayaan saintifik negara. Selaku Pengerusi pengasas Sekolah Perubatan Lee Kong Chian, beliau membantu menubuhkan dan mencorak institusi tersebut. Sepanjang kerjaya cemerlang beliau, Encik Lim turut berkhidmat selaku Panglima Pasukan Pertahanan, Setiausaha Tetap (Pendidikan) dan Duta (Bukan Pemastautin) Singapura ke Israel.
Atas sumbangan beliau yang besar dan meluas kepada Singapura, Encik Lim Chuan Poh dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal
[Pingat Jasa Gemilang]
13. ENCIK GEORGE LIM TEONG JIN
Pengerusi
Pusat Pengantaraan Antarabangsa Singapura
PUJI-PUJIAN
Encik George Lim Teong Jin telah membuat sumbangan cemerlang dalam memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab penyelesaian pertikaian dan pengantaraan antarabangsa terkemuka.
Selaku Pengerusi Pusat Pengantaraan Antarabangsa Singapura sejak tahun 2017, beliau telah memperkukuh pertubuhan tersebut dan mengembangkan jangkauannya pada peringkat antarabangsa. Beliau turut memajukan kepimpinan pemikiran dan amalan profesional dalam pengantaraan komersial.
Encik Lim telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan penerimaan Konvensyen Singapura mengenai Pengantaraan, perjanjian pertama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dinamakan sempena negara Singapura. Konvensyen tersebut mengukuhkan keupayaan penguatkuasaan pada peringkat antarabangsa bagi perjanjian penyelesaian yang dicapai melalui pengantaraan serta memperkukuh pengantaraan sebagai cara yang dipercayai untuk menyelesaikan pertikaian komersial rentas sempadan. Encik Lim telah meneruskan usaha memperjuangkan penerimaan Konvensyen tersebut secara lebih meluas melalui pelibatan dengan pemerintah, karyawan undang-undang dan pemimpin perniagaan di seluruh dunia.
Atas sumbangan besar beliau dalam memperkukuh kedudukan antarabangsa Singapura dalam bidang perundangan, Encik George Lim Teong Jin dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang.
The Meritorious Service Medal (Military)
[Pingat Jasa Gemilang (Tentera)]
14. LAKSAMANA MADYA AARON BENG YAO CHENG
Panglima Pasukan Pertahanan
Angkatan Bersenjata Singapura
PUJI-PUJIAN
Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng Yao Cheng telah mendedikasikan kerjaya beliau kepada pertahanan Singapura. Melalui pelbagai jawatan pemerintahan, staf dan kepimpinan, yang mencapai kemuncaknya apabila menyandang jawatan Panglima Pasukan Pertahanan, beliau mengekalkan kesediaan operasi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan melindungi kedaulatan Singapura. Beliau menyelia operasi di luar negara, termasuk menyediakan bantuan kemanusiaan di Gaza dan Vietnam; operasi membawa pulang warganegara Singapura dari Riyadh dan Jeddah; serta misi keselamatan maritim.
Selaku Panglima Pasukan Pertahanan, VADM Beng memacu transformasi SAF menjadi sebuah angkatan yang lebih bersepadu, diperkasakan secara digital dan berupaya menyesuaikan diri. Beliau memperkukuh perancangan keupayaan jangka panjang dan membangunkan konsep operasi baharu untuk menangani ancaman merentasi pelbagai lapangan operasi. Beliau turut mempererat hubungan pertahanan dan kerjasama profesional dengan angkatan tentera asing yang utama. Khususnya, beliau memperluas latihan bersama, kerjasama keselamatan siber dan kesediaan operasi pelbagai hala dengan Indonesia dan Malaysia.
Atas kepimpinan dan khidmat beliau yang cemerlang, Laksamana Madya Aaron Beng Yao Cheng dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang (Tentera).
The Public Service Star (Bar)
[Bintang Bakti Masyarakat (Lintang)]
The Public Service Star
[Bintang Bakti Masyarakat]
PUJI-PUJIAN
Hari ini, kita memberi penghargaan kepada mereka yang telah menawarkan diri untuk berkhidmat secara sukarela kepada masyarakat dan menjadikan kehidupan orang lain lebih baik. Dalam kalangan mereka, ada yang dikurniakan anugerah Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) dan Bintang Bakti Masyarakat, bagi mengiktiraf usaha-usaha semua yang telah membantu untuk menjadikan Singapura sebuah tempat yang lebih baik. Negara ini mengucapkan terima kasih kepada mereka atas sikap tidak mementingkan diri dan segala sumbangan mereka.
The Public Administration Medal (Gold) (Bar)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Lintang)]
15. CIK JACQUELINE LOH WAI YIN
Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan Korporat)
Pejabat Pengarah Urusan
Penguasa Kewangan Singapura
PUJI-PUJIAN
Cik Jacqueline Loh Wai Yin telah memberikan khidmat yang boleh dijadikan teladan dalam pelbagai fungsi di bawah naungan Penguasa Kewangan Singapura, merangkumi perbankan pusat, pembangunan kewangan dan korporat. Selaku Timbalan Pengarah Urusan, beliau memperkukuh daya tahan dan keupayaan MAS sebagai sebuah institusi, memperteguh kedudukan Singapura sebagai pusat kewangan global yang terkemuka, memajukan tenaga kerja sektor kewangan yang bersedia menghadapi masa hadapan, serta menyelia prasarana pembayaran negara utama yang menyokong ekonomi digital Singapura. Beliau turut menabur khidmat dalam perkhidmatan awam dengan menyumbangkan kepakaran selaku anggota Lembaga HDB, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan INVEST Pasukan Home Team, serta melalui penyertaan beliau dalam forum perbankan pusat di peringkat antarabangsa.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
16. ENCIK CHEW SIONG TAI, DAVID
Ketua Pendakwa (Pelibatan Antarabangsa)
Divisyen Jenayah
Pejabat Peguam Negara
PUJI-PUJIAN
Encik Chew Siong Tai David mempamerkan kepimpinan luar biasa selaku Pengarah, Jabatan Ehwal Komersial (CAD) dari tahun 2015 hingga 2026. Beliau telah mengubah keupayaan Singapura dalam memerangi jenayah kewangan dengan menggunakan teknologi dan menjalin kerjasama yang berkesan bersama agensi pemerintah serta rakan antarabangsa. Beliau memajukan penggunaan analitik data dalam operasi CAD, memperkukuh usaha Singapura dalam membanteras pengubahan wang haram dan menerajui inisiatif pencegahan penipuan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa. Beliau turut mewakili Singapura dalam Pasukan Bertindak bagi Tindakan Kewangan, yang telah memajukan kepentingan Singapura, sekali gus menyumbang kepada usaha sejagat untuk membanteras pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganas.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
17. ENCIK P. SIVA SHANMUGAM
Setiausaha
Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman
Badan Kehakiman
PUJI-PUJIAN
Encik P. Siva Shanmugam mempamerkan kepimpinan luar biasa dalam mengemudi Perkhidmatan Kehakiman dan Guaman semasa proses penubuhan dan penyusunan semula kedua-dua Perkhidmatan tersebut pada tahun 2022. Beliau telah menerajui pembaharuan penting dalam aspek saraan, kemajuan kerjaya dan pembangunan bakat berdasarkan kecekapan, sekali gus memastikan peralihan yang lancar serta mengukuhkan keupayaan kedua-dua Perkhidmatan untuk menarik, membangunkan dan mengekalkan bakat. Kepimpinan beliau telah menyediakan asas yang kukuh bagi kecemerlangan berterusan dan daya tahan institusi kedua-dua Perkhidmatan tersebut. Selain itu, Encik Shanmugam juga terus berkhidmat dalam Badan Kehakiman dengan menyandang beberapa jawatan secara serentak selaku Hakim Daerah, Koroner, Timbalan Pendaftar, Majistret Tribunal dan Hakim Tribunal.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
18. DR LEE TUNG JEAN
Timbalan Setiausaha (Kebudayaan & Sukan)
Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia
PUJI-PUJIAN
Dr Lee Tung Jean telah membuat sumbangan besar kepada pembangunan sektor kebudayaan, sukan dan sosial Singapura. Selaku Timbalan Setiausaha (Kebudayaan & Sukan), beliau menerajui inisiatif penting termasuk pengambilalihan Hab Sukan Singapura, Pelan Induk Kallang Alive, Pas Budaya SG dan projek prasarana kesenian yang utama. Sebelum ini, selaku Ketua Pegawai Eksekutif pengasas bagi Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak dan Timbalan Setiausaha Pertama (Pembangunan Sosial dan Keluarga), beliau telah menubuhkan KidSTART, memajukan perundangan sosial dan pembangunan wanita serta memperkukuh sokongan bagi orang-orang kurang upaya, individu yang mudah terjejas dan keluarga.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
19. ENCIK JIMMY TOH YONG LENG
Ketua Pengarah Eksekutif
Persatuan Rakyat
PUJI-PUJIAN
Encik Jimmy Toh Yong Leng telah membuat sumbangan besar kepada Perkhidmatan Awam. Selaku Ketua Pengarah Eksekutif Persatuan Rakyat (PA), beliau telah menerajui transformasi PA menerusi pelan Masyarakat 2030, memperbaharu misi PA ke arah membina masyarakat “Kita Didahulukan”, dan mengembangkan pangkalan sukarelawan PA kepada lebih 28,000 orang. Beliau telah memperkukuh barisan kepimpinan PA serta menerajui sambutan SG60 dan PA65, yang telah menyatukan rakyat Singapura, sekali gus meningkatkan pelibatan warga. Selaku Timbalan Ketua Perhubungan Pemerintah (Operasi), Encik Toh telah mempertingkatkan operasi perhubungan dan memperkukuh penyelarasan mesej nasional bagi Seluruh Pemerintah.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
20. ENCIK SNG CHERN WEI
Timbalan Pengarah
Agung Pendidikan (Kurikulum)
Kementerian Pendidikan
PUJI-PUJIAN
Encik Sng Chern Wei telah membuat sumbangan bermakna sepanjang kerjaya beliau dalam memperkukuh sistem pendidikan Singapura dan mempersiapkan para pelajar untuk masa hadapan.
Selaku Timbalan Pengarah Agung Pendidikan (Kurikulum), beliau menerajui pembaharuan kurikulum yang mengurangkan kepadatan kandungan, memperdalam pemahaman konsep serta menggalakkan kaedah pembelajaran antara disiplin dan pembelajaran arah diri. Beliau turut memacu Pelan Induk Pendidikan Teknologi 2030 dengan memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan untuk mengubah pengajaran dan pembelajaran.
Menerusi usaha berterusan beliau dalam menerajui bidang kurikulum, pedagogi dan teknologi pendidikan, Encik Sng telah memperkukuh mutu dan kesiapsiagaan Perkhidmatan Pendidikan bagi menghadapi masa hadapan.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
21. CIK LIM WAN YONG
Setiausaha Tetap (Pendidikan)
Kementerian Pendidikan
PUJI-PUJIAN
Cik Lim Wan Yong telah membuat sumbangan bermakna kepada sektor pendidikan dan sosial Singapura. Selaku Setiausaha Tetap (Pendidikan), beliau telah menerajui pembaharuan dalam pendidikan am, pascamenengah dan pendidikan khas, memperkukuh kerjaya guru serta memperluas laluan pembelajaran sepanjang hayat.
Di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), beliau telah meningkatkan sokongan pekerjaan bagi Orang-orang Kurang Upaya serta memperkukuh dasar-dasar yang menyokong pembangunan wanita.
Sepanjang 26 tahun dalam kerjaya perkhidmatan awam beliau yang cemerlang, Cik Lim telah meningkatkan peluang bagi rakyat Singapura untuk menimba ilmu, bekerja dan lebih melibatkan diri dalam masyarakat.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
22. ENCIK KEVIN SHUM JIN-CHYI
Timbalan Setiausaha (Perancangan)
Kementerian Kewangan
PUJI-PUJIAN
Encik Kevin Shum Jin-Chyi telah berkhidmat dengan cemerlang dalam perkhidmatan awam selama lebih tiga dekad. Selaku Timbalan Setiausaha (Perancangan) di Kementerian Kewangan sejak tahun 2023, beliau telah menerajui perancangan fiskal, mengelola Belanjawan tahunan dan membantu melindungi rizab negara. Beliau memainkan peranan dalam penggubalan dasar-dasar sosial dan ekonomi yang utama, termasuk respons Singapura terhadap Penghakisan Asas Cukai dan Peralihan Untung 2.0 (BEPS 2.0), serta menyelia peralihan Singapore Turf Club. Dalam peranan beliau sebelum ini di Kementerian Pengangkutan dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura, Encik Shum telah memperkukuh sektor penerbangan, membantu Lapangan Terbang Changi mencapai jumlah trafik paras rekod serta mengemudi industri tersebut semasa menghadapi pandemik COVID-19. Beliau turut terlibat dalam rundingan bagi perjanjian Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) antara Indonesia dengan Singapura.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
23. ENCIK WONG WIE KUEN
Pesuruhjaya Tinggi
Pejabat Suruhanjaya Tinggi di New Delhi
Kementerian Ehwal Luar
PUJI-PUJIAN
Encik Wong Wie Kuen telah memberikan sumbangan besar dalam memajukan dasar luar Singapura. Beliau telah berkhidmat selaku Wakil Perdagangan Singapura di Taipei dari tahun 2015 hingga 2020, menyumbang kepada pembangunan strategi rentas selat bagi Singapura. Selaku Pesuruhjaya Tinggi ke India sejak tahun 2020, beliau telah memperkukuh kerjasama antara Singapura dengan India meskipun menghadapi cabaran pandemik COVID-19. Beliau telah mengenal pasti bidang kerjasama baharu, memperluas pelibatan dengan pihak-pihak berkepentingan utama, dan membantu menubuhkan Meja Bundar Peringkat Menteri India-Singapura pada tahun 2022 sebagai wadah bagi kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
24. ENCIK LUKE GOH PENG EE
Setiausaha Tetap
Kementerian Undang-undang dan Setiausaha Tetap (Dasar),
Kementerian Ehwal Luar
PUJI-PUJIAN
Encik Luke Goh Peng Ee telah berkhidmat kepada Singapura dengan cemerlang selama 29 tahun. Selaku Setiausaha Tetap (Undang-undang), beliau memperkukuh ekosistem perundangan dengan memudahkan akses kepada keadilan, menggalakkan penggunaan teknologi undang-undang serta mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab antarabangsa terkemuka dalam bidang undang-undang dan penyelesaian pertikaian. Selaku Setiausaha Tetap (Pembangunan) di Kementerian Ehwal Luar, beliau memperluas pelibatan Singapura dengan pertubuhan-pertubuhan pelbagai hala dan berkhidmat selaku Sherpa G20 Singapura sejak tahun 2024. Beliau turut memainkan peranan penting dalam mempererat hubungan dengan rakan-rakan di Timur Tengah, sekali gus meningkatkan kedudukan Singapura sebagai rakan antarabangsa yang menyumbang secara positif serta diyakini.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
25. PROFESOR NG WAI HOE
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
Perkhidmatan Kesihatan Singapura
PUJI-PUJIAN
Profesor Ng Wai Hoe telah memberikan sumbangan besar kepada sistem penjagaan kesihatan awam Singapura. Selaku Pengarah Perubatan di Institut Sains Neuro Nasional dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Besar Changi, beliau memperkukuh integrasi klinikal serta memajukan pendidikan dan penyelidikan untuk menambah baik penjagaan pesakit. Selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SingHealth, beliau telah menerajui pendekatan menyeluruh pada peringkat sistem terhadap kesihatan penduduk yang diperkasakan masyarakat, perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu serta memanfaatkan inovasi digital dan penyelidikan untuk menyediakan penjagaan yang mudah didapatkan, bermutu tinggi dan mampan.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
26. CIK JEANNIE TAN PHECK LAN
Mantan Timbalan Setiausaha (Korporat)
Kementerian Ehwal Dalam Negeri
PUJI-PUJIAN
Cik Jeannie Tan Pheck Lan telah mempamerkan ciri-ciri kepimpinan yang wajar dicontohi selaku Timbalan Setiausaha (Korporat) di Kementerian Ehwal Dalam Negeri. Beliau telah memperkukuh keupayaan organisasi Kementerian dengan membangunkan tenaga kerjanya, memantapkan budaya Home Team serta memacu inisiatif pendigitalan untuk menambah baik tadbir urus kewangan dan perkhidmatan korporat. Melalui kepimpinan beliau, Cik Tan telah memperkukuh daya tahan institusi Home Team dan membolehkan jabatan-jabatannya melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan lebih baik. Khidmat beliau yang penuh dedikasi telah menyumbang kepada keberkesanan Kementerian serta usaha melindungi keselamatan dan keamanan Singapura.
The Public Administration Medal (Gold)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas)]
27. ENCIK LEONG SING CHIONG
Timbalan Pengarah Urusan (Pasaran & Pembangunan)
Pejabat Pengarah Urusan
Penguasa Kewangan Singapura
PUJI-PUJIAN
Encik Leong Sing Chiong telah berkhidmat dengan cemerlang di Penguasa Kewangan Singapura selama 32 tahun dan telah memberikan sumbangan besar kepada pertumbuhan sektor kewangan Singapura. Selaku Timbalan Pengarah Urusan bagi Pasaran dan Pembangunan, beliau telah memperkukuh kedudukan Singapura sebagai pusat kewangan global yang terkemuka di Asia, memajukan pelbagai inisiatif penting dalam bidang teknologi dan inovasi, kewangan mampan, keterhubungan kewangan serta pembangunan bakat. Beliau turut menyelia operasi pasaran Dolar Singapura dan pengurusan rizab rasmi asing negara, sekali gus menyokong kestabilan monetari dan kewangan.
The Public Administration Medal (Gold) (Military)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Tentera)]
28. LAKSAMANA MUDA SEAN WAT JIANWEN
Panglima Tentera Laut
Angkatan Laut Republik Singapura
PUJI-PUJIAN
Laksamana Muda (RADM) Sean Wat Jianwen telah berkhidmat dengan cemerlang dalam pelbagai jawatan kepimpinan utama. Selaku Panglima Tentera Laut, RADM Wat telah melindungi keselamatan dan kedaulatan maritim Singapura, memajukan transformasi keupayaan Angkatan Laut Republik Singapura serta memupuk budaya inovasi dari peringkat bawah. Selaku Panglima Armada, beliau telah memastikan kesiapsiagaan operasi aset tempur Angkatan Laut. Selaku Pengarah Pejabat Dasar, RADM Wat telah mempererat hubungan pertahanan antara Angkatan Bersenjata Singapura dengan rakan-rakan utama melalui latihan bersama, dialog strategik dan forum pelbagai hala, sekali gus meningkatkan kerjasama dan kebolehkendalian.
The Public Administration Medal (Gold) (Military)
[Pingat Pentadbiran Awam (Emas) (Tentera)]
29. BRIGEDIER JENERAL CHAN CHING HAO
Ketua Turus (Staf Bersama)
Pejabat Panglima Pasukan Pertahanan
Angkatan Bersenjata Singapura
PUJI-PUJIAN
Brigedier Jeneral (BG) Chan Ching Hao telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang kerjaya tentera beliau. Selaku Ketua Turus (Staf Bersama), BG Chan telah memperkukuh usaha pembangunan keupayaan, pendigitalan dan kemampanan di Angkatan Bersenjata Singapura. Selaku Pengarah Jabatan Operasi Bersama, beliau telah menyelia misi bantuan kemanusiaan luar negara di Gaza dan Vietnam, operasi membawa pulang rakyat Singapura dari Riyadh dan Jeddah, serta operasi keselamatan dalam negeri bagi acara-acara utama. BG Chan turut mempertingkatkan kebolehkendalian dengan agensi-agensi pemerintah dan angkatan tentera asing, sekali gus memperkukuh keupayaan dalam menangani cabaran-cabaran keselamatan yang kompleks.
The Public Administration Medal (Silver) (Bar)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Lintang)]
The Public Administration Medal (Silver)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak)]
The Public Administration Medal (Silver) (Military)
[Pingat Pentadbiran Awam (Perak) (Tentera)]
PUJI-PUJIAN
Salah satu bahagian yang amat penting dalam pentadbiran awam adalah kaitan antara pembentukan dan pelaksanaan dasar. Para pengurus peringkat pertengahan di dalam perkhidmatan awam memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar-dasar, dan memproses maklum balas menjadi saranan-saranan yang berguna. Mereka yang telah menjalankan tugas dengan kesungguhan, imaginasi dan dedikasi untuk menghasilkan keputusan yang cemerlang diberikan penghargaan hari ini dengan dianugerahkan Pingat Pentadbiran Awam (Perak).
