May Day Message 2026 (Malay)
PM Lawrence Wong
Economy
Jobs and productivity
1 May 2026
Prime Minister and Minister for Finance Lawrence Wong's May Day Message 2026 in Malay.
Read the Message in English, Mandarin, and Tamil.
Persekitaran global kini lebih mencabar dan tidak menentu. Terasa seolah-olah ribut belum reda, badai pula melanda.
Tahun lalu, dunia bersiap siaga menghadapi lonjakan ketegangan perdagangan dan tarif. Namun, Singapura mencatatkan prestasi yang lebih baik daripada yang dijangkakan.
Hal ini tidak berlaku secara kebetulan. Ini adalah hasil kerjasama semua pihak – para pekerja dan kesatuan sekerja, majikan dan perniagaan, serta kepimpinan politik dan pemerintah – berganding bahu untuk menyesuaikan diri, menjalani penyusunan semula dan maju ke hadapan.
Disebabkan inilah, syarikat-syarikat kita kekal berdaya saing, dan pendapatan sebenar para pekerja kita terus meningkat.
Ribut tarif belum berlalu. Dalam diam, masih ada tekanan untuk melaksanakan langkah-langkah perlindungan.
Namun, belum sempat ribut reda, badai pula datang melanda. Konflik di Timur Tengah mengganggu bekalan tenaga dan menyebabkan kos barangan keperluan melonjak.
Kami sedang mengambil langkah-langkah tegas untuk mengharungi badai ini.
Kami sedang memperkukuh daya tahan tenaga negara dengan mempelbagaikan sumber, mengumpulkan rizab, dan bekerja rapat dengan rakan-rakan kongsi yang dipercayai bagi memastikan laluan bekalan kritikal tetap terjamin.
Pada masa yang sama, kami sedang mengurangkan kesan terhadap perniagaan dan pekerja. Kami telah melancarkan pakej sokongan bernilai $1 bilion bagi membantu firma menangani kenaikan kos yang ditanggung, memberikan sokongan secara langsung kepada pekerja platform dan pemandu teksi, serta memberikan bantuan tambahan kepada keluarga.
Tiada siapa yang dapat meramalkan dengan tepat bagaimana situasi ini akan berkembang. Namun, pengalaman kita dalam menangani krisis-krisis yang lalu memberi kita keyakinan. Kita akan sentiasa berwaspada, bertindak tegas, dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk melindungi rakyat Singapura.
Sedang kita menangani tekanan-tekanan yang mendesak ini, kita tidak boleh leka terhadap perubahan-perubahan besar yang akan datang. Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi baharu yang lain akan mengubah cara kita hidup dan bekerja.
Singapura tidak boleh sekadar bertindak balas terhadap perubahan-perubahan ini. Sebaliknya, kita harus merebut peluang-peluang yang tersaji. Itulah sebabnya kita berjaya menarik syarikat-syarikat terkemuka untuk membangunkan kepakaran AI mereka di sini, dan membantu perniagaan-perniagaan kita menggunakan alat-alat ini untuk berkembang dan berubah. Beginilah cara sebuah negara kecil seperti Singapura terus bertahan, kekal relevan dan mencipta nilai dalam dunia yang kian pantas berubah.
Namun, dalam mengejar peluang-peluang ini, pasti akan ada onak dan duri. Memang wajar jika rakyat Singapura berasa bimbang – tentang jaminan pekerjaan, dan sama ada anda dan anak-anak anda akan ketinggalan dalam menghadapi perubahan yang kian pesat ini.
Saya memahami kebimbangan ini. Peralihan ini tidak akan berjalan dengan lancar. Ada perniagaan yang akan terganggu. Ada pekerjaan yang akan berubah. Ada pekerjaan yang tidak akan diperlukan lagi.
Namun, saya memberikan anda jaminan bahawa sedang Singapura menggunakan AI, pemerintah akan memastikan para pekerja terus meraih manfaat daripadanya. Meskipun kami tidak dapat melindungi setiap pekerjaan, kami akan melindungi setiap pekerja dan setiap rakyat Singapura, baik yang muda mahupun yang tua – dengan membantu anda menyesuaikan diri, mempelajari kemahiran baharu serta mendapatkan pekerjaan dan peluang baharu.
Pada masa yang sama, kita tidak boleh membiarkan ketidakpastian menghambat kita – atau kita akan ketinggalan. Kehadiran AI tidak dapat disangkal. Kita tidak boleh tidak mengendahkannya atau berharap ia lenyap dengan sendiri. Sebaliknya, kita mesti menghadapinya dengan penuh keyakinan dan matlamat yang jelas.
Syarikat-syarikat yang memanfaatkan AI akan kekal berdaya saing dan berkembang maju. Para pekerja yang melabur dalam kemahiran AI akan mempunyai peluang yang lebih baik dan prospek kerjaya yang lebih kukuh.
Pemerintah akan terus memperkukuh sokongan dengan merapatkan lagi gandingan latihan kemahiran dan pemadanan pekerjaan, serta memperluas skim SkillsFuture supaya para pekerja dapat meningkatkan diri dengan penuh keyakinan. Namun, setiap daripada kita juga harus majukan diri. Dalam ekonomi baharu ini, memastikan diri kita kekal relevan bukan satu pilihan, tetapi satu keperluan.
Apa yang paling meyakinkan saya ialah Gerakan Buruh dan perikatan tiga pihak kita. Selama lebih 65 tahun, NTUC dan kesatuan sekerja mengharungi setiap arus perubahan bersama-sama para pekerja. Pendekatan tiga pihak kita, iaitu kerjasama antara kesatuan sekerja, majikan dan Pemerintah, merupakan sumber utama kekuatan kita sejak sekian lama. Ia kekal hingga ke hari ini.
Singapura mungkin sebuah negara kecil. Tetapi saiz tidak pernah menjadi ukuran keupayaan kita. Jati diri kita ditentukan oleh cara kita bertindak apabila menghadapi cabaran – melalui daya tahan kita, keupayaan kita untuk menyesuaikan diri, dan komitmen kita terhadap satu sama lain, terutamanya pada masa-masa sukar. Oleh itu, dalam mengharungi badai yang melanda ini, marilah kita kekal bersatu padu, bertekad dan maju ke hadapan bersama-sama.
Kepada semua pekerja kita, terima kasih. Terima kasih atas usaha gigih anda dan iltizam anda untuk memastikan Singapura terus maju, tidak kira apa jua cabaran yang dihadapi. Sempena Hari Buruh ini, kami menyanjung tinggi sumbangan anda dan memperbaharu komitmen kami untuk bersama-sama anda dalam menyokong anda, meningkatkan mutu kehidupan anda, serta memastikan setiap rakyat Singapura mempunyai peluang yang saksama untuk berjaya.
Bersama-sama, kita akan menjamin masa hadapan yang lebih cerah untuk semua.
Selamat Hari Buruh!
