National Day Message 2025 (Malay)
Prime Minister's Office
Economy
Finance
Founding Fathers
Governance
8 August 2025
Acting Minister-in-charge of Muslim Affairs and Senior Minister of State for Home Affairs, Associate Professor Muhammad Faishal Ibrahim delivered Prime Minister and Minister for Finance Lawrence Wong’s National Day Message 2025 in Malay. The message was recorded at the Padang and telecast on 8 August 2025.
This article has been migrated from an earlier version of the site and may display formatting inconsistencies.
Saudara saudari sekalian
SG60
Enam puluh tahun lalu, Singapura menjadi “sebuah negara demokratik dan merdeka yang berdaulat buat selama-lamanya”, seperti yang diisytiharkan Encik Lee Kuan Yew dalam Perisytiharan Kemerdekaan Singapura yang baru anda dengar sebentar tadi.
Kita merdeka bukan atas niat kita sendiri. Kita tidak sepatutnya wujud sebagai sebuah negara. Sebelum detik bersejarah itu, para pemimpin pengasas dan juga generasi perintis percaya bahawa Singapura perlu menjadi sebahagian daripada Malaysia. Singapura terlalu kecil, sangat terdedah dan sangat mudah terjejas untuk berdikari.
Namun, keadaan memaksa kita supaya bertindak. Kita kuatkan iltizam dan azam kita untuk bertakat sebagai sebuah negara merdeka.
Mengimbas kembali pada masa itu kita bak telur di hujung tanduk. Banyak kali, sejarah kita boleh sahaja terpesong ke haluan yang lebih suram. Namun, kita berjaya melawan arus.
Inilah yang menjadikan SG60 begitu bermakna. Kita bukan sahaja berjaya mengatasi halangan, tetapi berkembang maju dan makmur, biarpun ramai yang tidak yakin kita boleh bertahan.
Lebih sekali, kita sendiri bimbang kita mungkin kecundang. Tetapi, kita tidak berputus asa. Kita atasi setiap cabaran – daripada isu perkauman dan pengunduran pihak British, hingga krisis ekonomi, ancaman pengganas dan pandemik global.
Setiap kali, kita bangkit, ambil iktibar daripada kegenjotan yang kita lalui, dan mendapat kekuatan serta azam untuk terus melangkah ke hadapan.
Lebih penting sekali, kita bersatu padu, walaupun ada kuasa-kuasa besar yang cuba memisahkan kita. Setelah melalui pelbagai cabaran serta linangan air mata, kita akhirnya membina sebuah negara yang kukuh dan bebas. Kita membina sebuah kediaman untuk semua – tidak kira bangsa, bahasa ataupun agama.
Dunia yang telah Berubah
Kini, pada usia 60 tahun, Singapura sekali lagi berdiri di satu persimpangan.
Tiga bulan lalu, saya menyentuh tentang dunia yang sudah berubah. Sejak itu, keadaan bertambah buruk. Konflik-konflik baharu tercetus. Ketegangan geopolitik semakin meruncing. Halangan dagangan semakin ketat. Sentimen perlindungan dagangan semakin meningkat.
Hakikatnya, kestabilan global yang membolehkan Singapura berkembang maju selama puluhan tahun kini semakin terungkai di hadapan mata kita.
Inilah dunia yang kita perlu harungi. Dunia yang semakin dipertikaikan, semakin berpecah belah, dan semakin bergolak.
Kita bakal berdepan dengan masa-masa yang sukar. Namun, kita tidak akan menyerah kalah. Kita akan atasi cabaran-cabaran baharu dengan cara kita tersendiri. Kita akan membentuk masa hadapan yang kita impikan bersama.
Dalam Pilihan Raya Umum baru-baru ini, rakyat Singapura membuat pilihan yang jelas dan nyata. Anda memilih pasukan terbaik yang anda percaya boleh membawa Singapura mengemudi cabaran ini. Kebijaksanaan dan kepercayaan anda memberikan Pemerintah jaminan politik untuk bertindak tegas, dan memimpin dengan penuh keyakinan.
Itulah yang sedang kami lakukan.
Kami jangka ekonomi dunia akan terus bergolak untuk tempoh yang lama. Perniagaan di serata dunia kini menangguhkan pengembangan operasi dan pelaburan baharu.
Setakat ini, ekonomi kita dapat bertahan. Namun, gambaran masa hadapan kekal tidak menentu.
Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi, yang dipimpin DPM Gan Kim Yong, sedang gigih berusaha. Pasukan itu memperkenalkan langkah-langkah untuk menyokong syarikat-syarikat dan membantu rakyat Singapura terus bekerja. Pasukan itu akan menilai risiko, mengenal pasti peluang-peluang yang baharu dan mempersiapkan perniagaan serta para pekerja, bagi menghadapi cabaran-cabaran mendatang.
Namun, dalam menangani cabaran segera, kita juga perlu melihat jangka panjang dan bersiap sedia untuk merebut peluang daripada gelombang perubahan seterusnya.
Negara-negara lain tidak berdiam diri. Mereka memiliki lebih banyak sumber, dan lebih banyak penduduk yang lebih bersemangat untuk berjaya. Kuasa-kuasa lebih besar kini juga lebih bersedia menggunakan apa jua kelebihan yang mereka ada, baik ekonomi, teknologi, mahupun geopolitik bagi memastikan keadaan memihak kepada mereka. Hal ini akan menyukarkan lagi negara-negara kecil seperti Singapura untuk bertahan.
Lantaran itu, Pemerintah kini menyegarkan semula strategi ekonomi kita untuk mengukuhkan daya saing kita, memperkukuh keupayaan kita, dan menjamin masa hadapan kita dalam dunia yang jauh berbeza.
Untuk kekal di hadapan, Singapura mesti pastikan kita terus kekal luar biasa, dari segi perpaduan, iltizam kita dan kelakonan kita. Kita mesti tangkas bertindak, mudah sesuaikan diri dan bijak berinovasi.
Ini bermakna kita perlu manfaatkan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan robotik serta menggunakannya secara bermakna dalam setiap bidang ekonomi kita. Kita perlu melengkapkan rakyat, pekerja dan syarikat kita agar dapat memanfaatkan sepenuhnya alat-alat ini, dan meningkatkan daya saing kita.
Rentak perubahan akan menjadi pantas dan tidak selalu selesa. Gangguan akan berlaku. Ada yang akan dapati perubahan ini sukar.
Tetapi kami tidak akan biarkan sesiapa pun menghadapi cabaran-cabaran ini sendirian. Pemerintah ini akan bersama anda, seperti yang kami telah lakukan selama 60 tahun. Kami akan sediakan lebih banyak peluang bagi meningkatkan dan memperoleh kemahiran, memperkukuh jaringan keselamatan sosial, serta membantu setiap rakyat Singapura yang menghadapi kegenjotan untuk bangkit semula dan maju ke hadapan.
Itulah sebabnya saya melancarkan inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura bagi memperbaharui kompak sosial kita, dan memberikan setiap rakyat sokongan dan keyakinan agar tabah menghadapi masa hadapan.
Kami telah pun memperkenalkan dasar-dasar baharu seperti Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture bagi membantu mereka yang hilang pekerjaan kembali berdikari. Kami akan memberi lebih banyak bantuan kepada para pekerja dan keluarga bergaji rendah untuk memperbaiki kehidupan mereka. Kami juga akan mewujudkan lebih banyak laluan jaya untuk setiap rakyat Singapura, tanpa mengira titik permulaan hidup anda.
Usaha bersama ini melibatkan “Team Singapore”. Pemerintah berganding bahu dengan kumpulan-kumpulan masyarakat, perniagaan, kesatuan sekerja dan ramai individu yang bersemangat semuanya bekerjasama untuk mencari huraian, melaksanakan idea-idea, dan memberikan kesan pada peringkat akar umbi.
Nilai teras saling menyokong dan mengongsi tanggungjawab ini sangat penting. Kita perlu membina masa hadapan Singapura bersama-sama melalui tindakan kita, belas ihsan kita dan kesediaan kita untuk memperbaiki kehidupan satu sama lain.
Semangat Singapura
Teras kepada semua ini ialah Semangat Singapura, iaitu semangat perpaduan yang kukuh dan matlamat kita kongsi bersama.
Sebagai sebuah negara kecil, kita tidak boleh berpecah belah. Selama ini, perpaduan kita adalah daya kekuatan kita. Apabila kita bersatu, kita boleh atasi segalanya.
Kita mungkin berasal daripada kaum berlainan, bercakap dalam bahasa yang berbeza dan kepercayaan kita tidak sama. Tetapi kita semua terikat kepada sesuatu yang lebih mendalam, iaitu komitmen kepada satu sama lain, dan kepada Singapura.
Kepercayaan inilah yang telah mendukung kita sepanjang 60 tahun lalu. Kepercayaan terhadap diri kita sendiri, antara satu sama lain dan terhadap apa yang dijanjikan Singapura. Kepercayaan ini memberikan kita semangat untuk membangunkan sebuah negara dari mula. Semangat ini juga akan menjadi lebih penting lagi pada tahun-tahun mendatang, apabila rentak perubahan semakin pantas dan dunia menjadi semakin tidak menentu.
Saya kini berada di Padang. Tempat bersejarah dan bermakna bagi Singapura. Di sinilah pada tahun 1959, Ketua Negara pertama kita, Encik Yusof Ishak, dilantik secara rasmi apabila Singapura membentuk pemerintah sendiri. Di sinilah juga pada tahun 1966, kita menganjurkan Perbarisan Hari Kebangsaan pertama Singapura sebagai sebuah negara merdeka.
Sempena SG60, kita mengimbas kembali detik-detik ini. Namun kita juga harus pandang ke hadapan. Itulah sebabnya, kita akan menganjurkan sebuah pameran khas di Perpustakaan Orchard. Pameran ini mengajak rakyat Singapura merenung kembali perjalanan kita, berkongsi harapan serta impian untuk masa hadapan kita.
Ramai pelajar telah pun mengunjungi pameran ini. Ia akan dibuka kepada orang ramai pada hujung bulan ini.
Dalam pameran ini, anda akan lihat koleksi ribuan harapan dan aspirasi rakyat Singapura. Setiap satu mencerminkan sebuah wawasan yang boleh dicapai Singapura.
Mari kita berganding bahu untuk menghidupkan harapan-harapan ini, di rumah kita, di sekolah kita dan dalam masyarakat kita.
Dalam masa 60 tahun, kita telah berkembang maju, daripada negara dunia ketiga menjadi negara dunia pertama. Bukan disebabkan tuah, tetapi disebabkan kita bertekad, berdaya tahan dan bersatu padu.
Kini, kita berada di ambang lembaran baharu. Mari kita terus menimba kekuatan daripada masa lalu, dan terus maju dengan penuh keyakinan.
Bersama-sama, mari kita menjamin masa hadapan yang lebih cerah untuk diri kita, anak-anak kita, dan generasi akan datang.
Selamat Hari Kebangsaan. Majulah Singapura!
Bersama-sama, mari kita menjamin masa hadapan yang lebih cerah untuk diri kita, anak-anak kita, dan generasi akan datang. Selamat Hari Kebangsaan. Majulah Singapura!
PM Lawrence Wong
Videos and transcripts
National Day Message 2025 (Mandarin)
National Day Message 2025 (Tamil)
Watch more

National Day Message 2024 (Malay)

National Day Message 2023 (Malay)
20230808 Min Masagos NDM2023_feature jpg

National Day Message 2022 (Malay)