May Day Message 2025 (Malay)
Prime Minister and Minister for Finance Lawrence Wong's May Day Message 2025 in Malay. Scroll down for the links to read the Message in English, Mandarin, and Tamil.
Tahun ini kita menyambut SG60. Banyak yang boleh kita renungkan dan banyak yang boleh kita hargai.
Bersama-sama, kita telah mengubah Singapura daripada sebuah negara Dunia Ketiga kepada negara Dunia Pertama. Sejak berdekad lalu, para pekerja kita telah membantu dalam membina negara ini. Semakin Singapura maju, mereka juga sama-sama merasakan hasil kejayaan negara.
Pekerjaan bertambah baik, dan gaji sebenar telah naik secara menyeluruh. Kebanyakan pekerja kini memiliki rumah mereka sendiri dan mempunyai kepentingan dalam kejayaan Singapura. Mereka boleh bergantung pada satu sistem sokongan yang kukuh pada setiap peringkat kehidupan – untuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan persaraan.
Terdapat lebih jaminan dan fikiran semua rakyat Singapura lebih tenang, serta tersemat harapan untuk masa hadapan yang lebih cerah.
Tetapi membina Singapura merupakan satu usaha yang berterusan. Kami sentiasa berazam untuk melakukan yang lebih baik – memperhalusi dasar-dasar, mempertingkatkan sistem-sistem kita, dan melakukan lebih banyak lagi bagi mempertingkatkan taraf kehidupan para pekerja kita.
Kini kita berada pada satu titik genting. Dunia di sekeliling kita sedang berubah. Pengumuman tarif Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini telah menggegarkan keyakinan dunia. Permintaan eksport merosot. Pelaburan semakin perlahan. Ekonomi kita sedang mengalami tekanan. Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) telah menyemak ramalan pertumbuhan GDP kita untuk tahun 2025 ke bawah kepada 0-2%.
Ini bukan sekadar cabaran-cabaran jangka pendek. Pergolakan yang lebih besar sedang berlaku: perdagangan terbuka, kerjasama global, dan sistem berlandaskan undang-undang dan peraturan yang boleh dijangka mula terhakis – sedangkan inilah keadaan yang sama yang telah membolehkan kita untuk mencapai kejayaan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, saya telah bertemu ramai ketua kesatuan sekerja. Mereka bimbang tentang pekerjaan dan pendapatan. Para pekerja yang lebih berusia resah tentang kemungkinan kehilangan pekerjaan, dan kesulitan mendapat pekerjaan lain. Para siswazah yang baru tamat pengajian kurang pasti jika mereka boleh mendapat pekerjaan yang baik dan membina masa hadapan yang mereka impikan. Kebimbangan ini benar-benar wujud. Dan banyak perkara menjadi pertaruhan.
Namun, jika kita bekerjasama seperti yang selalu kita lakukan, saya yakin kita boleh mengatasi cabaran-cabaran ini dengan penuh keyakinan dan keazaman.
Gerakan Buruh tetap menjadi tunggak kekuatan utama. Selama ini, kesatuan-kesatuan sekerja kita serta para majikan dan Pemerintah telah bekerja rapat – memperjuangkan kepentingan pekerja, dan menggerakkan peningkatan-peningkatan utama. Ini termasuk: Lebih banyak aturan kerja fleksibel. Lebih banyak cuti untuk ibu bapa yang bekerja. Lebih banyak peluang untuk pekerja pertengahan kerjaya mempelajari kemahiran baharu dan meningkatkan kemahiran. Lebih banyak peluang untuk mereka yang menghadapi halangan dalam pekerjaan. Lebih banyak Jawatankuasa Latihan Syarikat – yang kini berjumlah lebih 2,700 – bagi membantu perniagaan-perniagaan dan para pekerja menjalani transformasi dan sentiasa berada selangkah di hadapan.
Kesemua ini adalah inisiatif-inisiatif penting.
Tetapi apa yang lebih kritikal adalah sesuatu yang lebih asas dan lebih berharga – iaitu perikatan tiga pihak kita yang kukuh. Model perikatan tiga pihak kita adalah unik dan berharga. Ia berpaksikan hubungan simbiotik antara NTUC dan PAP, serta ikatan yang terjalin erat dengan syarikat-syarikat dan para majikan – enjin penjana pertumbuhan dan pekerjaan kita.
Oleh kerana kita telah membina kepercayaan yang kukuh, kita sentiasa memilih secara konsisten untuk tidak berebut-rebut mengaup peluang-peluang yang semakin berkurangan, tetapi sebaliknya bekerjasama bagi menggandakan peluang-peluang tersebut – dan memastikan hasil pertumbuhan ini dikongsi secara adil dengan semua rakyat Singapura.
Dalam Belanjawan tahun ini, Pemerintah telah melancarkan pakej sokongan yang menyeluruh untuk keluarga-keluarga, para pekerja, dan perniagaan-perniagaan kita.
Tetapi usaha kami tidak berhenti di sini. Dengan ketidaktentuan ekonomi yang membayangi kita, kami telah menubuhkan Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong. Ia terdiri daripada para pemimpin utama Pemerintah, kesatuan sekerja dan perniagaan-perniagaan.
Kami akan memantau perkembangan ekonomi dengan teliti, menyesuaikan tindak balas kami dengan pantas, dan kami bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi – terutamanya jika keadaan menjadi lebih teruk.
Pada masa yang sama, kami merancang untuk masa hadapan – dengan mempersiapkan para pekerja kita bagi menghadapi cabaran-cabaran ekonomi baharu, dan membantu perniagaan-perniagaan kita untuk membuat penyesuaian dan berkembang maju. Kami akan terus melabur dalam rakyat kita – mempertingkatkan SkillsFuture, memperluas peluang-peluang untuk belajar sepanjang hayat, dan memperkasa setiap pekerja dengan kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik. Kami akan memperkukuh dan memperluas rangkaian global kita, supaya perniagaan-perniagaan dan para pekerja kita boleh menembusi pasaran-pasaran baharu dan mencipta peluang-peluang baharu untuk diri mereka sendiri.
Tiada seorang pun yang boleh meramalkan apa yang akan berlaku dalam bulan-bulan atau tahun-tahun yang akan datang. Tetapi apa yang pasti adalah: dalam dunia yang telah berubah ini, persaingan sejagat akan menjadi lebih sengit; cabaran akan menjadi lebih kompleks; tiada ruang untuk melakukan sebarang kesilapan.
Tiada jawapan contoh yang boleh dijadikan rujukan. Tetapi Singapura sentiasa dapat melakar hala tuju kita sendiri – dan kita akan lakukannya sekali lagi, berkat kesepakatan dan perpaduan kita.
Lihatlah bagaimana kita menangani pandemik COVID-19. Ia sebuah krisis yang belum pernah kita alami. Namun kita berjaya mengatasinya – kerana para majikan, kesatuan-kesatuan sekerja, para pekerja dan Pemerintah saling berganding bahu.
Bersama-sama, kita mengatasi COVID-19. Semangat yang sama akan membantu kita mengharungi ketidaktentuan yang kita kini hadapi.
Para pekerja kita menjadi keutamaan dalam setiap apa yang kita lakukan. Andalah yang memastikan Singapura terus berkembang maju, hari demi hari. Sama ada anda bekerja menggunakan tenaga empat kerat, dengan sepenuh jiwa raga, ataupun minda anda – dalam perkhidmatan penting, pejabat, kilang, atau makmal – dedikasi dan ketabahan anda menjadi nadi kemajuan negara kita.
Tanpa anda, tanpa kecekalan dan dedikasi anda, tanpa semangat kebersamaan anda untuk mencapai matlamat, Singapura tidak akan wujud. Singapura luar biasa, kerana anda luar biasa.
Sempena Hari Buruh, kami menyanjung tinggi sumbangan anda dan memperbaharu ikrar kami untuk berjalan seiringan dengan anda, demi membina Singapura yang lebih baik, lebih adil dan lebih inklusif. Bersama, marilah kita memastikan Singapura terus bersinar – demi generasi hari ini dan generasi yang akan datang.
Selamat Hari Buruh!
Explore recent content
Explore related topics